Monday, 28 November 2011

Teh Azalea~




     Bunga Azalea memang amat dikenali dengan kecantikan dan keindahan warna dan 'fizikal'nya. Pertama kali saya melihat bunga ini ialah semasa bercuti ke Seoul, Korea pada musim bunga beberapa tahun lepas. Kami singgah di satu tempat yang dipanggil Branded Shops, kerana di tempat itu memang banyak kedai-kedai yang menjual barang berjenama dan berkelas tinggi. Namun bukan kedai-kedai itu yang menarik minat saya tetapi landskapnya yang dihiasi penuh dengan pokok-pokok bunga Azalea. Ibarat melangkah masuk ke taman syurga. Sungguh indah!!



      Pada mulanya saya tidak tahu jenis bunga itu. Lalu saya bertanya kepada Mr. Lee, pemandu pelancong kami. Katanya, bunga cantik itu ialah bunga Azalea. Bunga ini ialah rahsia kepada kecantikan kulit wanita-wanita Korea dan sangat popular di gunakan oleh masyarakat di Korea terutamanya oleh kaum wanitanya. Bunga Azalea banyak kegunaannya. Boleh digunakan dalam masakan untuk memberi rasa yang unik. Boleh di gunakan dalam hal kecantikan contohnya ditumbuk dan di sapukan pada kulit. Dan boleh dijadikan sebagai minuman teh. Cara minum dengan menjadikannya teh adalah lebih senang dan popular.




     Rasa yang dihasilkan daripada Teh Azalea ialah rasa masam yang tidak terlalu ketara. Baunya pula ialah seperti bau daun yang dihancurkan bercampur bau tanah selepas hujan. Sukar untuk saya gambarkan tentang baunya.


Khasiat dan kebaikan Teh Azalea:

1. Bagus untuk sistem pernafasan di mana ia mampu menyembuhkan batuk dan asma.

2. Bagus untuk wanita yang mempunyai masalah kitaran haid yang tidak teratur.

3. Untuk memutihkan kulit dan mengelakkan terbentuknya bintik-bintik hitam pada kulit seperti jeragat dan sebagainya.


Cara menyediakannya:




     Seperti biasa, ianya tidak rumit. Ambil dua sudu kecil bunga Azalea. Masukkan ke dalam teko. Kemudian tuangkan air panas bersuhu 90-95 darjah celcius sebanyak 500ML ke dalam teko. Biarkan selama 5 minit dan ianya sudah sedia untuk dinikmati. Selepas 5 minit, terus keluarkan bunga Azalea dari rendaman kerana jika direndam terlalu lama, teh akan menjadi terlalu masam dan ada rasa sedikit kelat dan pahit.




     Anda boleh menambahkan sedikit madu jika kurang gemar dengan rasa masam yang dihasilkannya. Tetapi bagi saya, rasa masam itu adalah identiti teh Azalea yang mampu memberikan mood segar.

**Kepada wanita mengandung atau yang mempunyai masalah kesihatan, sila rujuk doktor anda sebelum mencuba teh ini.


~LoveMeLoveMeNot~

No comments:

Post a Comment