Sunday, 6 November 2011

Korban Cinta~

     Sempena Hari Raya Korban atau dipanggil juga Hari Raya Haji, saya terasa hendak bercerita sedikit tentang korban dalam cinta. Cinta, skopnya sangat luas. Maka bila saya mahu sentuh tentang korban cinta, saya maksudkan ia secara umum. Maksudnya boleh jadi cinta kepada sahabat, cinta kepada keluarga, cinta kepada kekasih, cinta kepada suami/isteri dan cinta kepada Tuhan. Atau cinta kepada siapa-siapa saja dan apa-apa saja.

     Ada kawan saya, dia cintakan keretanya. Tiada apa yang lebih penting dalam hidupnya melainkan keretanya sahaja. Kalau keretanya “sakit”, dia pun akan “sakit” juga. Mungkin itulah namanya sehati sejiwa. Saya langsung tidak faham. Dan bukan menjadi tanggungjawab saya untuk faham sebab saya mungkin tak akan faham sampai bila-bila. Oleh sebab cinta yang teramat kepada keretanya itu, dia sanggup berkorban wang ringgit dan masa demi untuk mencantikkan dan mengperhebatkan kereta kesayangannya itu. Tidak mustahil kalau adalah workshop yang menawarkan khidmat/skil buat kereta ada sayap, nescaya dia akan tambah sayap pada kereta kesayangannya itu. Siapa-siapa yang terasa, tolong jangan terasa lama-lama. Mohon maaf top to toe ya.. ;)

     Seorang lagi kawan saya ini, cintakan seorang gadis. Malangnya gadis itu tidak cintakan dia. Tapi dia degil dan optimis. Katanya; “Kalau kita sayang dan cintakan seseorang dengan ikhlas, maka orang itu akan membalas balik kasih sayang dan cinta kita. Keputusannya, dia silap!! Sampai ke sudah gadis itu tidak cintakan dia. Malah gadis itu telah mempergunakannya dan mengambil kesempatan ke atas kebaikannya yang tidak terperi itu. Dia menghabiskan masa dan tenaga melayan kerenah gadis itu. Dia juga hadiahkan sebuah Honda Accord (mungkin ada yang kata, alah, apalah sangat Honda Accord tu) dan mengsponser sesi rawatan menguruskan badan kepada gadis itu dengan nilai hampir 13K. Bila saya sebut sesi menguruskan badan, saya harap saudara saudari boleh menggunakan daya imaginasi saudara saudari yang hebat itu untuk membayangkan bagaimana saiz dan susuk tubuh gadis tersebut. Okey, ini bukan entri yang bertujuan untuk mengutuk siapa-siapa ya. Cuma ingin memberitahu betapa cinta itu buta dan kawan saya itu benar-benar ikhlas mencintai “gadis bertuah” itu. Selepas gadis itu berjaya mengecilkan saiz badannya dari XL ke S, dia meninggalkan kawan saya yang malang itu. Ayat keramat yang terakhir diucapkan oleh gadis itu; “Baby, I anggap you tak lebih dari seorang abang. I rasa kita lebih baik jadi macam adik beradik sebab kawan-kawan I semua kata muka kita seiras.” Adoi!! Maka, tepuk kepala tanya lah pokok kelapa. Mungkin pokok kelapa itu lebih bersifat menyenangkan hati. Sebenarnya, dalam sesetengah kes, kita tak boleh terlalu optimis. Contohnya kes ini. Tapi apa boleh cakap. Saya ulang balik statement klise; Cinta itu buta. Dan cinta memungkinkan kita untuk berkorban apa saja.

     Nampak tak? Maknanya kalau kita sayang dan cintakan seseorang atau sesuatu, maka kita akan mula melakukan pengorbanan secara sukarela dan tidak masuk akal walaupun kesudahannya mengecewakan kita atau membuatkan kita jatuh miskin tinggal sehelai sepinggang.

     Itu yang negatifnya. Saya tidak akan sentuh yang negatif sahaja kerana topik pengorbanan ini lebih banyak yang positif. Contohnya sangat banyak di sekeliling kita. Saya ambil beberapa kes pengorbanan yang suci dan positif.

1-     Ibu bapa yang berkorban untuk anak-anak mereka. Demi untuk memberikan keselesaan hidup dan pelajaran ke peringkat paling tinggi untuk anak-anak, ibu bapa sanggup mengorbankan masa, wang ringgit, tenaga dan juga kehendak material mereka. Contohnya si bapa yang mahu memiliki sebuah kereta mewah, sanggup memendam cita-citaya itu demi untuk simpanan masa depan anak-anaknya. Dan juga ibu yang mahu melancong ke kota-kota syurga fesyen seperti London, Paris, Milan, New York dan sebagainya telah memendam hasratnya demi untuk bersama anak-anak yang lebih dahagakan perhatian dan kasih sayangnya. Sungguh besar pengorbanan mereka. Kita sebagai anak mungkin tidak ada peluang untuk membalasnya seumur hidup kita. Dan pada masa ini saya mahu beralih kepada kes pengorbanan ke dua;

2-      Anak-anak yang berkorban untuk kebahagian dan kegembiraan ibu bapa. Anak-anak yang baik sanggup berkorban apa sahaja untuk ibu bapa mereka. Macam-macam kes juga saya pernah dengar. Ada yang sanggup menyambung pelajaran dalam bidang kedoktoran padahal dia suka bidang masak memasak. Ada yang memilih untuk memohon pekerjaan yang lokasinya dekat dengan ibu bapa walaupun telah mendapat tawaran kerja yang jauh lebih baik di tempat lain. Ada yang sanggup berkahwin dengan pilihan ibu bapa walaupun dia ada calonnya sendiri. Ada yang sanggup tidak kahwin-kahwin sampai ke tua sebab mahu jaga ibu bapa. Ada yang sanggup buat apa sahaja yang ibu bapa suruh walaupun dia sebenarnya tak ada masa hendak buat semua-semua tu dalam satu masa. Mana-mana saja pengorbanan yang saya senaraikan di atas, ianya sangat mulia. Di mana lagi tempat hendak kita menabur bakti melainkan kepada ibu bapa? Siapa lagi yang kita hendak ambil berat melainkan ibu bapa? Tetapi ada juga kes pengorbanan yang memerlukan perhatian dan pertimbangan secara wajar dan rasional seperti kes ke tiga;

3-      Kekasih yang berkorban untuk kekasihnya. Dalam kes ini, kita selalu dipesan oleh mama abah kita supaya berkorban berpada-pada. Korbankan apa yang patut dan jangan korbankan apa yang tidak patut. Ada akal, fikir secara rasional. Ada hati, timbang secara teliti. Bersyukurlah saudara saudari jika dipertemukan dengan kekasih hati yang baik hati, rasional, berhemah dan menyayangi seikhlas hati. Boleh saling membimbing. Tapi agak malang jika bertemu dengan yang sebaliknya. Ia akan menjadikan satu-satu hubungan itu meletihkan dan membosankan kerana hanya sebelah pihak sahaja yang beria-ia berkorban untuk kebaikan bersama sedangkan sebelah pihak lagi macam Tugu Negara. Tugu Negara tu okey la jugak. Kalau dapat jenis yang suka “mengorbankan”?? Minta dijauhkan lah ya..

4-     Suami Isteri yang berkorban sesama sendiri. Boleh faham tak? Macam pelik je ayat tu. Tapi tak apalah. Di sini kita amalkan penulisan secara kasual. Hahaha.. Suami yang berkorban untuk kegembiraan isterinya. Contoh: Suami yang sanggup meredah perjalanan yang jauh untuk mencari jagung bakar di awal pagi demi untuk isteri. Isteri mengidam sebab dia mengandung. Jadi kena la layankan aje. Tak layan nanti merajuk. Kata isteri: “Baby kat dalam ni yang nak makan. Bukan saya. Tak kan awak nak bagi baby kita berlapar?” Hahahaha.. Isteri yang berkorban untuk kebahagian suaminya. Contoh: Isteri yang sanggup dimadukan. Berkorban demi suaminya yang gatal nak kahwin lagi satu. Isu ini agak taboo dan meloyakan bagi sesetengah pihak. Terutama kaum wanita. Tapi jangan lah marah. Saya bagi contoh ni sebab inilah contoh pengorbana paling hebat seorang isteri. Sebab tidak ramai isteri yang sanggup berkorban sehingga ke tahap ini. Serius!! Siapa yang tak suka dgn contoh ni, mohon maaf sekali lagi. Tapi saya akan bagi satu lagi contoh pengorbanan isteri iaitu; Isteri yang sanggup berkorban berkongsi pendapatannya bila si suami perlukan pertolongan. Kita sedia maklum, pendapatan isteri adalah hak isteri. Haram bagi seorang suami mengambil kesempatan untuk makan hasil pendapatan isterinya melainkan isterinya redha. Selebihnya saya tak nak komen.. Stay up temankan suami dan buat nescafe atau bakar roti untuk suami yang nak kena siapkan kerja untuk presentation esok pagi tu pun satu pengorbanan ya sayang..

5-      Sahabat yang berkorban untuk sahabatnya. Banyak benda juga yang kita boleh berkorban untuk sahabat kita. Yang simple pernah saya buat, saya tanda kedatangan sahabat saya yang tak boleh datang kuliah sebab dia mengalami PMS yang teruk. Risiko yang saya bakal tanggung kerana tanda kedatangan dia ialah pointer saya akan dipotong. Mandatori. Tapi sebab saya tak nak pointer dia kena potong sebab ponteng kuliah, saya secara hati keringnya telah mengambil risiko itu. Nasib baiklah berjaya dan tidak dikesan. Kalau tak kami dua-dua kena potong pointer

Break kejap untuk iklan: PERINGATAN PENUH KASIH SAYANG!! Adik-adik, tolong jangan tiru perlakuan ini ya. Tolong tanda kedatangan kuliah untuk kawan adalah salah. Tidak baik. Salah tetap salah.

Okey, saya sambung.. Saudara saudari kena faham. Masalah PMS bukan masalah enteng ya. Tidak boleh dibuat main. Huhuhu.. cukup!! Dan sebab kenapa saya sanggup mengambil risiko itu, amat-amatlah berbaloi (tapi adik-adik tetap kena rujuk peringatan di atas ya). Kerana hubungan persahabatan kami sangat-sangat utuh. Baiklah.. Berbalik kepada sahabat yang berkorban untuk sahabatnya. Mungkin senang untuk kita mencari kawan. Tapi sangat susah untuk mencari seorang kawan yang boleh dijadikan sahabat. Sahabat yang sanggup berkorban apa saja dan sentiasa ada di sisi kita di saat suka dan lebih-lebih lagi duka. Bila kamu dapat seorang yang boleh dikategorikan jenis sahabat, hargainya. Ianya berbaloi dan boleh dibawa ke mati. Ini yang dinamakan hubungan jiwa tanpa hubungan darah. Ada juga yang menjadikan suami atau isteri mereka sahabat. Ya, boleh jadi juga.

      Okey, saya mahu akhiri topik ini. Konklusi saya; Pengorbanan boleh datang dari siapa-siapa saja dan berkorban boleh dilakukan oleh siapa-siapa sahaja. Bila kita sebut korban, ia semestinya datang dengan rasa ikhlas dari hati, demi Tuhan. Mana ada orang berkorban dengan terpaksa. Itu bukan nama korban. Itu namanya beban. Jadi fikir-fikirkan lah sebelum saudara-saudari mengaku bahawa saudara saudari pernah berkorban. Kerana mungkin apa yang saudara saudari fikir korban itu sebenarnya beban bagi saudara saudari. Bila kita rasa ia beban, kita jadi tidak ikhlas. Jika ia tidak ikhlas, maka kita tak dapat pahala. Malah kita dapat dosa pula sebab kita asyik merungut-rungut di belakang. Baik jangan buat macam tu. Fikir-fikirkan lah. Berkorbanlah dengan ikhlas demi Tuhan dan demi insan yang dicintai/disayangi. Sekian.

** Selamat Hari Raya Korban/Haji untuk semua umat Islam di seluruh dunia, yang boleh membaca dan faham penulisan dalam bahasa Melayu.

~LoveMeLoveMeNot~

No comments:

Post a Comment