Sunday, 13 November 2011

Cinta Untuk Dijual- # 2~

 


Beast Garage.

     Seminggu sudah berlalu selepas kejadian Siti hilang. Angelina? Ya, aku tahu mesti ada yang mahu bertanya apa kesudahannya dengan Angelina? Tiada kesudahan. Kerana cerita aku dan Angelina seperti tergantung. Selepas kejadian pada malam seminggu yang lepas, aku langsung tidak menghubungi gadis Rusia itu. Dia ada hubungi aku beberapa kali tetapi panggilannya asyik terlepas saja. Aku tidak sempat menjawab panggilannya. Peliknya aku juga tidak ada hati hendak menghubunginya kembali. Aku biarkan saja sebab jadual harianku agak ketat beberapa hari ini. Aku malas hendak fikir tentang hal berseronok-seronok dengan Angelina walaupun dia cantik bak bidadari. Aku membuat keputusan untuk memberi tumpuan kepada perniagaan yang menuntut aku memberi perhatian yang lebih. Lalu aku membuat kesimpulan mudah; Kalau ada jodoh dan rezeki aku, Angelina tak akan ke mana. Dia mesti akan cari aku balik. Jadi, lebih baik aku bertenang dan kekal rasional.

     Beberapa hari ini, sepanjang masa aku di Beast Garage, bersama pekerja-pekerja kami, 'mengerjakan' beberapa buah kereta yang memerlukan perhatian dengan segera. Sebagai salah seorang pemegang syer, aku tidak terkecuali untuk turun padang dan menghitamkan tangan, menolong menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan kepakaranku. Ini memang patut dan satu kemestian. Kamu ingat apa? Jadi bos boleh dapat lesen goyang kaki, lenggang kangkung dan makan tidur-makan tidur? Tidak sama sekali. Disebabkan title salah seorang bos inilah, aku tidak terkecuali daripada bekerja dengan lebih keras. Aku cukup benci bila ada yang menuduh; Melayu kalau mula buat bisnes dan jadi bos, mula lah lupa daratan dan nak berlagak saja. Sebab itu perniagaan orang Melayu kebanyakannya 'bungkus' awal. Sebab belum ada apa-apa sudah lupa daratan dan khayal hendak menunjuk-nunjuk, berjoli sakan. Padahal hasilnya belum tentu. Kebanyakannya rugi hingga makan modal. Aku tidak mahu macam tu. Dan aku bernasib baik dapat rakan kongsi yang sama pemikiran. Orang kata, sekepala. Amy dan Sean memang sempoi. Kami tidak mengamalkan konsep berniaga cara Melayu yang begitu. Kami mengamalkan berniaga cara Melayu yang begini. Cara kami. Cara Melayu yang bermaruah, berpendirian dan berwawasan. Dengar macam berkeyakinan tinggi ya? Apa boleh buat, memang kami kena berkeyakinan tinggi. Berpandangan jauh. Optimis. Walaupun kadang-kadang pesimis itu diiktiraf, tapi kami tetap memilih untuk kekal berfikiran optimis.

     “Aku balik dulu bang. Jumpa Isnin minggu depan.” Jack sengeh memandang aku. Kalau aku tengok muka dia, aku akan teringat Luis Carlos Almeida da Cunha atau lebih dikenali sebagai Nani, pemain bola sepak kelahiran Portugal. Kadang-kadang kami panggil Jack dengan nama Nani. Dia pun nampaknya macam suka dipanggil begitu.

    
     “Hah? Oh, okey.” Aku yang masih kusyuk mengadap enjin hanya mengangguk-angguk. Aku pandang jam besar berwarna hitam di dinding. Jam itu sengaja kami sangkut tinggi-tinggi supaya kalau berdiri di luar garage pun, boleh nampak jam besar itu. Masa itu emas dan perlu dihargai. Sekarang sudah pukul 7.10 malam rupa-rupanya.

    
     “Jalan dulu bang.” Anif pula bersuara. Mamat ni mamat rock. Rambut panjang paras bahu, ikal ala-ala Antonio Banderas. Romeonya boleh tahan juga.


     “Ya.. ya.. selamat.” Aku nampak Danny dan Lan yang hanya mengangkat tangan dan tersengeh. Mereka berdua itu pasangan kembar seiras yang memang tidak boleh dipisahkan. Seorang bercermin mata dan seorang tidak. Aku tidak dapat bayangkan macam mana kalau mereka bertemu jodoh masing-masing nanti. Adakah akan kekal tidak boleh dipisahkan? Masalah.


     “Bang, Abang Sean panggil masuk office.” Ryan pula muncul.


     “Kenapa?”


     “Entah.” Ryan jungkit bahu.


     “Ya lah.”


     “Balik dulu, bang.”


     “Hmm, okey.” Aku memandang Ryan yang berlesung pipit di kedua belah pipi itu berlalu. Di Beast Garage ini, Ryan ialah mekanik aku yang paling jambu. Haa, jangan salah faham. Aku tidak ada apa-apa niat terpesong atau sumbang bila memberi komen begitu kepada Ryan. Aku beri komen begitu semata-mata hendak menguatkan lagi cerita tentang pelanggan-pelanggan kami yang berjantina perempuan. Kebanyakan pelanggan perempuan kami memang akan jatuh cinta kepada Ryan. Dan Ryan akan menjadikan pelanggan-pelanggan perempuan itu sebagai pelanggan tetap di Beast Garage. Setiap kali kereta mereka ada masalah, mereka akan datang dan hanya mencari Ryan. Oleh sebab itu kadang-kadang Anif, Jack, Danny dan Lan akan berbulu dan meluat. Kadang-kadang aku sendiri pun akan rasa rimas dan meluat. Bukan dengan Ryan. Tapi dengan budak-budak perempuan tu semua. Mereka selalunya berkelakuan tidak masuk akal dan menakutkan. Jangan tidak percaya, setiap minggu mesti ada saja jambangan bunga yang sampai, khas untuk Ryan.



     Kelebihan yang ada pada Ryan bukan setakat lesung pipit di kedua belah pipinya. Tapi sebab dia berwajah K-Pop. Aku harap kalian boleh gunakan daya imaginasi kalian yang aktif itu sekali lagi untuk membayangkan bagaimana jenis muka Ryan itu. Harap maklum kenapa dia menjadi kegilaan pelanggan-pelanggan perempuan kami yang rata-ratanya pelajar universiti awam berhampiran. Jadi jangan hairan lah kalau hendak minta tolong ditambah angin tayar pun mereka cari Ryan juga.

    
     “Ris, mana kau ni?” Sean melaung, menjengah dari pintu pejabat, tingkat atas.


     “Ya! Sekejap la. Aku nak cuci tangan dulu.” Panas pula hati aku bila Sean melaung-laung begitu. Satu yang aku tak berkenan dengan perangai Sean ialah dia suka melaung-laung. Ingat lagi bagaimana cara dia memanggi Siti masa Siti hilang minggu lepas? Hmm, macam itulah dia melaung memanggil aku. Bezanya cuma dia tidak buat bunyi berdecit-decit. Kalau dia buat juga masa panggil nama aku, memang nahas lah dia, aku kerjakan. “Ada apa?” Aku naik ke dalam pejabat selepas mencuci tangan yang dicemari minyak hitam tadi.


     “Cash call. Cari Amy.” Sean pandang aku. Aku pandang Sean. Beberapa saat kami kaku begitu, memandang antara satu sama lain.


     “Kau tak tanya dia, Amy deal apa lagi dengan dia?”


     “Tak sempat. Aku cakap Amy tak ada, dia terus letak phone.” Sean pandang aku dengan pandangan yang sama macam tadi. “Nak call Amy ke?”


     “Tak payah. Kita tunggu Amy balik KL dulu. Tak kan kita nak kacau dia sedang bercuti dengan anak bini dia?”


     “Hmm, aku ikut kau je. Tapi kau tak rasa pelik ke?”


     “Memang lah. Apa-apa pun kita tunggu Amy balik dulu. Lusa, tak lama pun.” Aku cuba bersikap cool dan bersabar. Kalau ikutkan, aku dah mula risau juga. Bimbang kalau-kalau kes yang lepas berlaku lagi. Aku harap tidak. Aku harap Cash cari Amy sebab perkara lain. Bukan sebab yang aku dan Sean sedang fikir.


     “Okey.” Sean angguk.


     “Dah lah. Aku nak balik. Kau tak nak balik lagi ke?”


     “Nak balik juga la ni..”


     Selesai mengunci Beast Garage dan memastikan ia selamat untuk ditinggalkan, kami memilih haluan berasingan dengan kenderaan masing-masing. Sean pulang ke rumah dia di TTDI dan aku juga mahu pulang ke rumah aku. Sebelum meninggalkan perkarangan garage, aku teringat untuk hidupkan kembali Blackberry Curve aku yang aku matikan semasa sedang buat kerja di garage tadi. Sebaik saja dihidupkan, melodi pesanan SMS masuk berbunyi empat kali. Aku mula membaca satu persatu.


      SMS pertama dari Kak Long: “Bang Ngah, esok jangan lupa wedding Shakira. Lebih baik jangan lupa kalau tak nak mama mengamuk.”


     Aku jawab: “Ya, cakap kat mama, esok sebelum subuh Bang Ngah sampai.”


     SMS kedua dari syarikat telekomunikasi yang aku langgan sekarang. Mereka suruh aku join peraduan terbaru mereka. Peraduan teka lagu Hindustan. Kalau menang dapat iPad 2. Aku tekan butang delete. Hindustan? Hmmm, aku tak berminat.


     SMS ketiga dari Sean: “Ris, masuk office kejap.” SMS dari Sean ni buat aku berfikir sekejap. Aku geleng kepala. Ni mesti yang tadi dia panggil aku masuk office.


     SMS keempat dari...


PUTUS.


     “Semuanya dah selesai. Rasa lega.


     SMS terakhir yang aku terima tadi berlegar-legar lagi dalam fikiran. Membuatkan aku terlupa tentang misteri tanda tanya kenapa Cash hubungi bengkel kami, mencari Amy. Disebabkan SMS itu aku mengambil keputusan untuk menghubungi si penghantar SMS itu. Perbualan kami beberapa minit berakhir dengan kami membuat keputusan untuk berjumpa malam ini. Aku pulang dulu ke rumah untuk mandi dan buat perkara yang wajib.


     Hampir jam 9 malam aku sampai ke sebuah gelanggang bola keranjang, di mana kami berjanji untuk berjumpa di situ. Berhampiran rumahnya. Dari jauh aku sudah nampak susuk tubuh yang aku kenali, memakai Baby-T berwarna putih dan seluar panjang berwarna ungu. Seluar itu jenama Baby Phat dan ia berwarna lilac, bukan ungu. Aku tahu sebab sebelum ini kami pernah bergaduh tentang jenama dan warna seluarnya itu suatu ketika dulu.


     “Macam tak tahan lama je kain seluar awak ni. Silap hari bulan lari sikit, koyak.”


     “Hey, ini jenama Baby Phat tau. Jenama Kimora Lee. Selesa dan selamat. Tak koyak. Tak kan tak tahu?”


     “Siapa tu?”


     “Ish, Kimora Lee tu seorang model dan ikon fesyen. Tak kenal? Kata dulu model.”


     “Kenal lah. Dulu saya selalu main congkak dengan dia.”


     “Statement bohong.”


     “E'eh.. Apa-apa aje lah. Saya dah tak peduli tentang fesyen dan jenama. Yang penting selesa.”


     “Haris!”


     “What? Okey, seluar awak tu, saya cuma berkenankan warnanya saja. Warna purple. Material, out! Macam tak selesa dan cepat koyak. Macam senang beku je pakai seluar tu.”


     “Ini kain velvet. Kat dalam kain kapas. Sangat selesa dan rasa suam bila pakai. Dan untuk pengetahuan awak, ini warna lilac.”


     “Lilac? Bukan purple ke? Bukan warna purple tu warna lilac ke?”


     “Bukan. Ini warna lilac. Purple lain.”


     “Sama saja. Tak payah rumitkan keadaan. Purple.”


     “Lilac!


     “Purple.. Ish, degil jugak awak ni ya? Purple.”


     “Awak pun degil. Lilac. Ini fakta.”


     “Tak habis-habis dengan fakta dia.” Insiden purple-lilac itu membuatkan dia bermasam muka dengan aku selama 1 jam dalam perjalanan kami ke restoran mamak. Bila sampai di restoran mamak, dia mula menegur aku dan senyum. Aku faham sangat perangai dia. Memang bukan jenis yang marah lama-lama. Aku masih ingat. Benar-benar ingat.


     Itu kejadian lama dulu. Sekarang aku lihat dia sedang berlari dan membaling bola masuk ke dalam jaring. Pergerakan dan lontarannya persis profesional. Aku senyum sendiri. Aku lihat jam di pergelangan tangan. 5 minit lagi sebelum jam 9 malam. Ya, aku tak lewat. Aku sampai tepat pada waktu yang dijanjikan.


     “Seorang saja?” Aku menegur.


     “Tak.” Dia berhenti. Namun nafasnya kelihatan sedikit kencang. Mesti sudah lama 'membuli' bola itu. “ Kenalkan, ini Scary. Dan ni Crazy. Scary, Crazy, ini Haris. Salam lah.


     “Kelakarlah sangat.”


     “Habis tu? Siapa suruh tanya soalan kurang cerdik? Tak nampak orang sorang ni?”


     “Oh, nampak. Saya rasa kita berada dalam satu kapal. Saya pun seorang ni.”


     “Kita berada dalam gelanggang bola keranjang. Awak tak tahu bezakan kapal dengan gelanggang bola keranjang ke?”


     “Tahu. Tapi bila saya lihat bola kat tangan awak tu dan jaring tu macam kena dera, saya ingat awak sedang membayangkan diri berada dalam kapal lanun. Sedang berperang. Jaring tu ibarat meriam dan bola tu ibarat pelurunya.”


     “Hmm, metafora yang boleh diterima pakai.” Dia senyum.


     “Dah lama sampai?” Aku letak beg sandang di atas lantai. Mengeluarkan sebotol air dan meneguknya hingga tinggal separuh botol.


     “10-15 minit lepas.”


     “Awak nampak okey. Tak nampak macam lepas putus kasih.” Aku buat beberapa pergerakan memanaskan badan. Namun mataku tidak lepas memandangnya. Dia nampak okey tetapi aku tahu dia memang tidak okey.


     “Bila masa pula saya putus kasih?” Dia terus melakukan aksi membaling bola memasuki jaring. Hebat. Langsung tidak tergelincir dari sasaran. Ada beberapa balingan membuatkan bola itu bergolek-golek di atas jaring tetapi tetap masuk akhirnya.


     “Putus tunang tu bukan putus kasih ke?”


     “Mungkin. Tapi dalam kes saya, tidak sama sekali.”


     “Wah, berlagak tuuu. Awak memang Snow Queen. Tahniah”


     “Terima kasih.”


     “Sama-sama. Tapi gelaran Snow Queen itu bukan satu pujian. Awak patut belajar dengan lebih mendalam tentang hubungan jiwa sesama manusia. Dan belajar menghargai lelaki yang cintakan awak.”


     “Tak faham.”


     “Tunang awak tu..”


     “Bekas.”


     “Hmmm. Bekas tunang awak tu sayang dan cintakan awak.”


     “Mana awak tahu dia cintakan saya?”


     “Saya lelaki. Saya tahu. Cara dia melihat awak, sudah cukup untuk membuktikan perasaan dia terhadap awak.”


     “Macam mana dia lihat saya? Macam ni?” Dia buat mata juling.


     “Serius sikit boleh tak?”


     “Okey.”


     “Awak betul-betul menolak tuah.” Aku selesai memanaskan badan dan tanpa berlengah dia membaling bola kepada aku. Aku sambut, membuat sedikit larian dengan langkah panjang dan melompat membuat jaringan gaya slam dunk.


     “Show off!”


     “Biasa.” Aku jungkit bahu gaya bagus-bagus.


     “Saya boleh buat juga kalau saya tinggi macam awak.”


     “Ya lah.. ya lah.. 'Kalau'.. Cakaplah apa saja. Awak boleh cakap apa saja tapi saya tahu awak tak akan dapat buat pun sampai bila-bila melainkan lubang jaring tu direndahkan 'sedikit'. Terima sajalah hakikat.”


     “Teruk!” Dia rampas bola dari tangan aku. Membuat larian menjauhi jaring dan membuat lontaran. Dengan jarak 20 kaki, bola itu bergolek-golek di atas jaring dan... Masuk?? Oh, Tuhan!! Macam mana boleh masuk? Dia buat muka riak. Ini tidak boleh jadi.


     “Oh, berlagak ya? Tengok ni.” Aku berlari memungut bola yang melantun dan mahu menjaringkan bola sekali lagi.


     “Tunggu.”


     “Apa??”


     “20 jaringan. Awak kalah awak kena tolong saya cuci rumah baru saya.”


     “Eh? Dah dapat kunci?”


     “Dah.”


     “Wow! Tahniah.”


     “Terima kasih. Berbalik kepada 20 jaringan, bersedia untuk tolong saya cuci rumah.”


     “Amboi! Yakin nampak. Kalau awak yang kalah?”


     “Saya tolong awak kemas garage.”


     “Tak payah. Itu budak-budak saya pun boleh buat.”


     “Habis tu?”


     “Awak kena cium saya 7 kali.” Aku senym nakal.


     “Eh, tak nak lah. Mana boleh.”


     “Habis yang awak sesedap rasa buat syarat suruh saya tolong awak cuci rumah tu??”


     “Tak nak cium. Tukar.. tukar..”


     “Banyak cantik nak tukar. Tak ada. Saya nak cium. Kalau saya tukar, awak pun kena tukar juga.”


     “Ala, Haris. Tolong la. Saya tak boleh tukar. Saya tak ada syarat lain. Lagi pun saya memang nak awak tolong saya cuci rumah. Please.” Dia buat muka kesian.


     “Tak berjaya.” Aku senyum. Dia moncong. Memandang aku beberapa saat dan..


     “Kenapa tujuh kali?”


     “Itu dah kira okey. Berbanding setiap titik peluh saya yang akan gugur bila saya tolong awak cuci rumah baru awak tu nanti.”


     “Awak akan kalah.”


     “Wah, confident gila. Ya lah tu. Nah, cik adik boleh mulakan dulu.” Aku baling bola kepadanya. Sempat aku buat muka berlagak. Menunjuk ke arah dia dan membuat isyarat leher disembelih. Dia menjelir lidah dan membuat isyarat.. isyarat apa entah. Aku tak faham. Dia memang suka buat isyarat yang dia sendiri saja yang faham. Syok sendiri. Kini kami adalah musuh.


    
      Balingan demi balingan berjaya aku sudahkan dengan pungutan mata. Siapa lagi yang lebih hebat menyumbat gol dalam permainan bola keranjang ini melainkan aku? Tapi nampaknya pihak lawan tidak kurang hebatnya. Nampak macam tidak mahu mengalah. Bersungguh-sungguh betul. Aku memandang gadis yang sedang berusaha untuk menang itu. Fizikalku sedang menghalang dirinya menghampiri jaring tetapi mindaku sedang mentafsir sesuatu yang lain bila aku melihat wajahnya yang tidak berperasaan itu. Sejuk, kaku, bagaikan melindungi gelodak jiwa yang sebenarnya.


Sedingin Salju.


     20-19. Aku kalah di tangannya. Nafasku masih putus-putus. Dia melompat kegembiraan.
Aku langsung terbaring di tengah-tengah gelanggang.


     “Macam tak percaya je saya memang.”


     “Hmm..”


     “Bangunlah Haris. Bangun.” Dia menarik tanganku, memaksa aku duduk. “Nah, air.” Dia hulur botol air aku.”


     “Hmmm.” Aku capai dan terus membuka penutup dan meneguk air itu. Aku buat-buat bengang melihat dia sedang tersenyum puas. “Tipis je. Jangan nak happy sangat. Lain kali saya akan kerjakan awak cukup-cukup. Jangan kata 20, 50 pun tak ada masalah.”


     “Apa-apa sajalah. Lain kali tu lain cerita. Sekarang ni kita cerita yang sekarang. Minggu depan mesti tolong saya basuh rumah.”


     “Kenapa tak upah orang saja buat kerja-kerja tu?”


     “Saja. Saya nak basuh rumah dengan awak.”


     “Awak memang suka ya tengok saya menderita?”


     “Hmm, mungkin..” Dia sengeh.


     “Arisa Hana....”


     “Hmmm??”


     Arisa Hana. Itu nama gadis di hadapanku ini. Agak lama aku mengenali Arisa Hana tetapi sukar aku hendak gambarkan tentang gadis ini. Ada masa aku rasa macam aku langsung tidak mengenalinya. Dan ada masa aku rasa macam sangat-sangat dekat dan mengenalinya. Entahlah.


      Gadis itu baru putus tunang. Aku langsung tidak percaya dia berani membuat keputusan itu. Aku fikir dia hanya main-main bila mengutarakan idea gilanya itu kepadaku bulan lepas. Sekarang ianya sudah jadi kenyataan. Dia dapat apa yang dia mahu. Dia sudah putus tunang dan dia nampak gembira dan terkawal. Berbeza dengan keadaannya yang macam sudah malas hendak hidup ketika masih bergelar tunang kepada lelaki bernama.. errr, aku lupa nama bekas tunang Arisa Hana. Damn!! Macam mana aku tiba-tiba boleh lupa ni?


     “Siapa dah nama bekas tunang awak tu?”


     “Kenapa tiba-tiba ni? Ni soalan bersifat memerli ke?”


     “Tak, serius. Saya.. terlupa. Siapa dah nama dia?”


     “Adam.”


     “Oh, ok. Adam.”

     Nama bekas tunangnya Adam. Aku kurang kenal tapi aku dapat rasa dia jenis lelaki baik. Tetapi aku tidak faham kenapa Arisa Hana begitu nekad membuat keputusan itu. Mungkin benar kata Arisa Hana. Dia telah cuba mengenali Adam selama 3 bulan dan dia dapat rasakan hubungan mereka tiada masa depan. Hanya derita dan sengsara yang akan menunggu di masa hadapan. Dia tidak mahu membuang masa mencuba satu hubungan yang tidak berbaloi untuk dicuba.


     “Macam mana penerimaan mama awak?”


     “Mama saya merajuk. Tapi jangan bimbang. Tak lama rajuknya tu. Mama saya perlu biasakan diri menerima kenyataan bahawasanya anak perempuan dia yang satu ini tidak boleh mematuhi arahannya sepanjang masa. Ini kehidupan saya. Yang hendak kahwinnya saya. Jadi hanya saya yang berhak menentukan lelaki mana yang akan saya pilih untuk hidup dengan saya.”


     “Kejam.”


     “Ada masa kita perlu buat keputusan yang bersifat tidak berhati perut dan kejam. Saya dah tak nak hidup di bawah kuasa dan telunjuk orang.”


     “Telunjuk orang? Itu mama awak..”


     “Sekarang memang di bawah telunjuk mama saya. Tapi kalau saya berkahwin dengan Adam, saya akan berada di bawah telunjuk dia pula, bukan mama saya. Saya tidak mahu hidup begitu.”


     “Isteri memang kena ikut telunjuk suami.”


     “Saya tahu. Tapi saya tak mahu ikut telunjuk dia. Sebab itu saya tak nak kahwin dengan dia. Awak faham tak?” Arisa Hana mengecilkan pandangan matanya memandang aku. Dah mula marah lah tu.


     “Okey... okey.. Jangan marah. Saya masih tidak faham. Tapi tak apa. Awak tak perlu jelaskannya. Nanti saya akan cuba faham sendiri.”


     “Tak payah cuba faham pun tak apa. Tak ada kena mengena dengan awak.”


     “Oh, okey.” Aku hilang punca. “... Jom..”


     “Mana?”


     “Makan la, apa lagi?”


     “Mana?”


     “Mamak la, mana lagi?”


     “Mamak kat Bangsar tu ya. Saya nak makan Nasi Biryani.”


     “Amboi, selera. Tak ada dekat lagi nak pergi? Ya lah.. ya lah..” Aku ikutkan sahaja. Lagi pun dia baru lepas putus tunang. Nampak sangat aku ni tidak berhati perut kalau aku berkeras tidak mahu pergi.


     “Haris.” Arisa Hana bersuara memanggil dari belakang.


     “Terima kasih kerana sengaja kalah. Saya tahu awak sengaja bagi saya menang tadi.”


     “Eh, sorry sikit. Siapa kata saya sengaja kalah? Bukan jenis saya okey. Siapa awak untuk saya sengaja buat-buat kalah? Helloooo??”

“Haris!”

Aku ketawa dan berlari menjauhkan diri dari Arisa Hana yang sedang mengejar aku. Bagaimana gadis bernama Arisa Hana itu boleh wujud dalam hidup aku akan aku ceritakan kemudian..



bersambung...



~LoveMeLoveMeNot~


No comments:

Post a Comment