SUSULAN.
Memang aku sengaja kalah dengan Arisa Hana. Lagi pun tak ada apa-apa sebab yang boleh buat aku rasa perlu tunjuk hebat kepada gadis itu. Memang dia sendiri pun sudah tahu aku hebat bab menyumbat gol bola keranjang. Alah, apa lah sangat kan? Lagi pun memang pantang datuk nenek moyang aku menunjuk-nunjuk kehebatan kepada kaum perempuan yang lemah lagi lembut itu. Kaum lelaki keturunan kami terkenal bersifat budiman dan bertimbang rasa dengan kaum perempuan. Selagi mereka tidak berkelakuan yang “pelik-pelik” dan tak masuk akal atau cuba memijak kepala, maka aku okey dan memang boleh bertolak ansur. Dengan Arisa Hana, aku rasa dia bukan jenis yang suka memijak kepala. Dia jenis yang suka memijak kaki. Selalu sangat dia pijak kaki aku. Sama ada sengaja atau tidak, masih jadi misteri.
Sampai di Restoran Mamak di Bangsar, Arisa Hana tak boleh makan nasi biryani pun. Elok-elok kami sampai, nampak seorang mamak tu tengah angkat periuk nasi biryani yang sudah kosong. Arisa Hana pandang aku. Aku pun pandang Arisa Hana. Seperti biasa dia buat muka sedih kalau dia tak dapat apa yang dia nak.
“Makan benda lain lah.” Aku cuba beri idea yang kedengaran macam tak ada idea.
“Benda lain? Nak makan apa ya?” Dia pandang aku. Aku jungkit bahu. Tapi aku tahu dia tak boleh terima jawapan jungkit-jungkit bahu aku ni.
“Tu.. roti nan, ayam tandoori, nasi campur mamak, roti canai, capati, tosei. Eh, banyak tuuuu.. Apa kata kita pilih tempat duduk dulu? Sambil-sambil tu awak boleh fikir.” Arisa Hana pandang aku tapi diam. Kemudian menonong ke dalam restoran. Aku membontoti Arisa Hana. Dia pilih meja yang paling hujung dalam restoran ni.
“Sini okey?”
“Okey je. Duduk lah.” Dia duduk. Aku duduk. Kami duduk bertentangan. Beberapa minit tiada perbualan lisan antara kami. Hanya perbualan mata. Dia pandang aku. Aku pandang dia. Eh, sampai bila nak pandang-pandang ni? Perut dah lapar. Mamak ni pun satu. Mana ni? Orang nak order ni. Tiba-tiba Arisa Hana angkat tangan tinggi-tinggi. Macam budak darjah satu berebut nak jawab soalan cikgu.
“Makan apa abang, adik?” Seorang mamak pelayan menghampiri.
“Hah, tanya adik ni dulu.” Aku cebik kepada Arisa Hana. Arisa Hana senyum lucu. Mesti Arisa Hana nampak apa yang aku nampak. Kami senyum-senyum lucu. Aku cover sikit. Tapi Arisa Hana senyum lebih-lebih pula. Mamak kat depan ni pula dah perasan konon Arisa Hana senyum kat dia. Tapi Arisa Hana memang senyum kat mamak ni pun. Lagi pun dia memang jenis suka senyum. Eh, senyum ke sengeh? Hmm, macam sama je.
“Nescafe tarik, roti nan, ayam tandoori bahagian paha ya.. dan kuah kari ikan.” Mamak itu angguk-angguk. Tak tulis pun. Main ingat pakai otak. Hebat mamak ni. Aku kagum. Jangan datang nanti ordernya salah, sudah. Tapi bila tengok bawah, aku jadi tak kagum.
“Abang, makan apa?”
“Bagi saya teh tarik kurang manis dan tosei macam-macam kuah.”
“Wokey..” Mamak itu menggerakkan kepala dan berlalu. Kemudian melaung-laung menyebut apa yang kami pesan tadi. Ni yang aku tak gemar ni. Tabiat suka melaung-laung macam Sean. Kenapa dengan dunia ni? Mana aku pergi, mesti ada yang suka melaung-laung macam Sean. Aku geleng kepala.
“Kenapa geleng-geleng ni?”
“Tak ada apa-apa. Saya teringat Sean.”
“Sean suka pakai seluar ketat ke?”
“Eh, bukan. Mamak tu suka melaung-laung macam Sean. Tapi Sean tak suka pakai seluar ketat macam mamak tu.” Arisa Hana ketawa. Kemudian dia tutup mulut sambil ketawa lagi. “Sudah-sudah la tu ketawa.” Aku pandang dia dan geleng kepala lagi. “Oh, nak tengok gambar tak?”
“Gambar apa?”
“Sekejap.” Aku keluarkan Blackberry Curve aku. Menekan butang-butang kecil, mencari gambar yang hendak aku tunjukkan kepadanya. “Nah..” Aku hulur Blackberry Curve aku kepadanya.
“Wow! Nampak Hebat.”
“Nampak?? Apa pula nampak-nampak? Memang hebat la babe.. Lu ni, pandai tengok tak?” Kenapa aku tiba-tiba cakap gaya mat rock ni? Ni Anif punya pengaruh la ni. Langsung aku terjebak.
“Ceh, gua mana pandai tengok kereta-kereta ni bro. Lu tunjuk kereta sama gua. Sama macam lu tunjuk besi sama itu tikus maaa.” Janggal pula aku dengar Arisa Hana cakap macam tu. Tapi lucu. Sungguh.
“Oh, ya ka? Jadi lu ni tikus lah ya? Gua sulah tunjuk silap tikus la ni ya?” Dah, jadi slang apek pula.
“Hey, cakap mau baik-baik sikit haaa..” Langsung kami ketawa. “Bila siap ni? Cantik sport rim..”
“Cantik kan? Semalam siap. Tapi tak sempat nak test lagi. Tadi siang ada kereta nak kena siapkan. Esok pula kena ikut family pergi kerduri kahwin sepupu saya. Ahad nak rehat. Minggu depan lah kot test.”
“Kenapa tak lowered kan lagi. Biar betul-betul cecah jalan. Best!”
“Uih, idea sesat tu. Mana boleh babe. ”
“Hmmm, saya tak faham dengan minat awak. Tapi tolong lah hati-hati bila bermain dengan nyawa.”
“Insyaallah.”
Mamak tadi menghampiri meja kami. Kami berhenti berbual seketika. Dia menghantar pesanan minuman. Beberapa minit kemudian mamak itu menghantar pesanan makanan kami pula. Kami terus menjamu selera. Arisa Hana letak seketul ayam tandoori atas tosei aku. Aku biarkan saja dia letak apa yang dia nak letak dalam pinggan besi aku ini. Asalkan bukan racun. Tapi Insyaallah, dia tak akan sampai hati nak meracun aku pun.
“Awak tak nak kahwin ke Encik Haris?”
“Eh, siapa kata tak nak? Mesti lah nak. Kahwin tuuu..”
“Jadi tunggu apa lagi? Awak memang patut kahwin secepat mungkin.”
“Wah, cakap.. senang ya? Kenapa tiba-tiba suruh saya kahwin ni?”
“Awak patut kahwin. Bila awak kahwin, ada isteri dan anak, awak akan lebih hargai nyawa awak. Tak ada lah sibuk nak “berlitar lumba” saja.”
“Shhh, makan.”
“Saya serius ni. Dengar la..”
“Ya lah. Saya tahu. Sila makan elok-elok kalau awak tak nak tercekik” Aku pandang Arisa Hana. Boleh bayangkan tak macam mana orang yang cakap dia serius itu sedang bercakap dengan pipi kembung penuh roti nan? Hmmmm... Arisa Hana pandang aku dan diam. Aku tahu dia bengang bila aku malas hendak layan isu yang dia bangkitkan. “Kalau saya kahwin, siapa nak teman awak keluar tengok movie? Lawan basketball? Shopping? Jogging? Jalan-jalan cari makan? Jalan-jalan cari pasal?”
“Eh, mana ada saya ajak awak jalan-jalan cari pasal.”
“Orang buat lawak, tak faham? Apa lagi? Gelak la.”
“Hahaha.. lucu sangat. Sangat lucu sampai rasa nak nangis.”
“Itu perbuatan orang gila. Bahaya. Jangan buat.” Aku buat muka serius. Tosei sudah hampir habis. Lepas satu sudu-satu sudu aku suap ke mulut sambil berbual-bual dengan “awek” depan aku ni. Arisa Hana cebik.
“Saya serius, awak main-main. Ni yang saya tak suka ni.”
“Saya pun serius lah ni. Betul tak apa yang saya cakap tadi? Kalau saya kahwin, mesti awak susah. Kan?”
“Ada pula macam tu. Awak kahwin, saya pandai-pandai lah nak hidup. Saya boleh je buat semua-semua tu seorang diri. Lagi pun Fiona dan Halen ada. Kalau fikir pasal ni, sampai bila-bila pun awak tak kahwin. Awak tak perlu bimbang pasal saya. Awak kena kahwin cepat.”
“Tak ada calon.”
“Kata girlfriend keliling pinggang.”
“Sebab keliling pinggang la susah nak pilih.”
“Hmmm, itu lah. Padan muka. Sekarang dah jadi satu masalah. Oh ya, minggu lepas dengar khabar dapat gadis rambut perang? Betul ke?”
“Mana tahu pula ni?” Aku pelik. Tak boleh jadi ni. Macam mana Arisa Hana tahu pasal Angelina?
“Rahsia.” Arisa Hana gelak.
“Ni yang tak suka ni. Rahsia je memanjang. Mana tahu ni?”
“Minggu lepas tu. Yang saya cerita saya ke garage, service kereta. Awak tak ada, keluar masa tu. Jack kata ada satu malam tu dia nampak awak dengan seorang gadis rambut perang.” Arisa Hana sengeh nakal.
“Jack memang nak kena lah. Busy body betul. Ni mesti semua kat garage dah tahu. Pandai diaorang ya.. senyap-senyap tapi semua benda tahu. Ish, tak boleh jadi ni.”
“Eh, awak jangan marah Jack pula.”
“Takde.. siaplah dia nanti. Apa lagi dia cerita kat awak?”
“Itu saja. Saya pun tak tahu kenapa dia cerita kat saya pasal gadis rambut perang tu. Saya dengar je. Tapi mungkin dia rasa gosip ni seronok untuk dikongsi kot.” Arisa Hana terus mengunyah roti nan yang dicicah kuah kari ikan. “Apa-apa pun, jangan asyik main-main je. Awak kena cari yang serius. Kena cepat. Cepat kahwin.”
“Sibuk pasal orang pula. Yang awak tu, bila nak kahwin? Ni pun satu masalah juga ni. Dah ada tunang, buang. Orang tu sikit punya baik, reject. Tak faham saya dengan awak ni. Macam ni aje lah. Saya ada satu idea.”
“Idea apa?”
“Macam ni. Memandangkan awak dah putus tunang. Saya pula terlalu ramai girlfriend sampai tak tahu nak pilih mana satu nak buat isteri. Maka apa kata kita mudahkan kerja.”
“Mudahkan kerja? Kerja apa?”
“Kerja kahwin ni lah. Awak kahwin dengan saya, saya kahwin dengan awak. Kita kahwin antara satu sama lain. Jadi awak tak payah lagi tanya bila saya nak kahwin dan saya pun tak payah tanya awak bila nak kahwin juga. Errr, boleh faham?”
“Entah. Awak cakap macam orang mabuk. Saya tak faham.”
Lawak aku tak menjadi. Arisa Hana kata aku macam orang mabuk pula. Mabuk apa? Mabuk tosei? Hish, rasa macam tidak. Langsung Arisa Hana blur. Aku tak pasti dia betul-betul blur atau dia buat-buat blur. Elok aku jangan fikir. Selepas kami selesai makan, aku hantar Arisa Hana pulang ke rumahnya dengan selamat.
“Pandu hati-hati.” Sempat Arisa Hana berpesan.
“Insyallah.”
“Oh ya, Haris...”
“Hmmm??”
“Mungkin kita akan kekal sebagai kawan saja. Tapi kalau lah di penghujung cerita nanti awak dan saya memang akan ditakdirkan bersama, saya harap awak tak akan menyesal.”
“Errr, menyesal?? Kenapa menyesal? Apa maksud awak?” Tiba-tiba aku rasa bodoh kerana tidak dapat mencerna maksud kata-kata Arisa Hana itu.
“Good night, Haris.” Arisa Hana senyum dan berlalu meninggalkan aku dengan 1001 tanda tanya. Aku hanya memerhati sehingga figura Arisa Hana hilang dari pandangan mata aku.
Dalam pemanduan meninggalkan perkarangan rumah Arisa Hana, aku memandu melepasi gelanggang bola keranjang, tempat kami bermain tadi. Aku pandang sepintas lalu. Dapat melihat lampu masih menyala dan beberapa lelaki muda dalam gelanggang itu. Bila Arisa Hana pindah ke rumah barunya nanti, aku pasti akan merindui gelanggang bola keranjang itu yang menyimpan 1001 kenangan suka duka kami di gelanggang itu selama ini.
Kenduri Kahwin Shakira.
Jam 10 pagi aku sudah berada di depan rumah keluarga aku, di Bandar Baru Bangi. Aku nampak kereta abang Johan, suami kak long. Aku nampak kereta adik aku juga. Dan aku nampak basikal kenit milik Aiman, anak buah aku yang semakin nakal dan cergas persis Cristian Ronaldo. Baru berumur 2 tahun tapi nakalnya makin menjadi-jadi. Nampaknya semua ahli keluaga aku ada di dalam rumah.
“Ayah Ngah dah syampai!!” Aiman muncul di pintu dengan sebiji bola dalam pelukan. “Ayah Ngah.. Ayah Ngah.. Hayyak!!” Aiman tendang bola ke arah aku. Hampir-hampir melantun terkena bahagian sulit aku, kalau aku tak mengelak. Hey, budak ni!! Aku kais bola dengan kaki dan melantunkannya ke atas. Kemudian aku tangkap bola itu. “Halaaaaa.. syepak la balik. Syini..” Amboi, sudah pandai nak bagi arahan nampaknya.
“Ah, tak ada. Aiman hampir buat ayah ngah cedera tadi.”
“Ye ke?”
“Ye ke.. ye ke.. menjawab. Mari sini. Salam ayah ngah dulu.” Aiman berlari menghampiri aku. Menghulur tangan kecilnya. Aku duduk mencangkung dan mengepit bola di celah lengan. Walaupun baru berumur 2 tahun, Aiman agak petah bercakap.
“Syalam la..”
“Hmmm.” Aku hulur tangan. Aiman salam dan cium tangan aku dan tersengeh-sengeh. Nampak gigi kapak kecilnya dua batang.
“Bola Aiman tu?” Dia tunjuk bola di celah lengan aku. Cuba mencapai bola yang aku kepit ini.
“Aiman nak bola, kena cium pipi ayah ngah dulu. Cepat.” Aiman mencium pipi aku. Yang pada gambaran betulnya, dia bukan mencium tapi menghidu dengan menggunakan hidungnya. Aku terus dukung Aiman. Namun dia meronta-ronta hendak turun dan mahukan bolanya.
“Kamu buat apa lagi kat luar tu? Masuk.” Mama muncul di pintu. Aku turunkan Aiman dari dukungan dan hulur bola kepadanya. Kemudian aku hampiri mama, bersalam mencium tangannya, memeluk dan mencium kedua belah pipinya. “Masuk tukar baju. Hari ni semua kena pakai baju warna hijau.”
“Hijau ma?? Alahai.”
“Jangan banyak cakap. kak long dah gosok Baju Melayu kamu tu. Pergi naik, tukar.”
Aku menonong mengekori mama. Nampak abah, aku terus salam dan memeluknya. Gaya macam dah lama tak jumpa. Padahal aku memang balik setiap minggu. Kak long dan abang Johan baru turun dari tingkat atas. Adik aku, Hafis entah mana entah. Entah-entah tidur lagi. Aku naik ke atas menukar baju. Ketika aku buka pintu bilik, nampak Hafis baru lepas keluar bilik mandi dengan bertuala.
“Huih, terkejut adik. Apa lah bang ngah ni. Nasib baik adik pakai towel.”
“Apsal? Selalu kau bogel ke keluar bilik mandi? Rosak kau ni.”
“Tak ada lah.” Hafis sengeh.
“Mana baju bang ngah?”
“Entah.”
“Ish..” Aku keluar dan cari mana kak long sangkut Baju Melayu aku.
“Baju bang ngah kat dalam bilik kak long.” Suara kak long melaung dari bawah. Haa, sorang lagi manusia yang suka melaung-laung ialah kak long aku. Macam Sean. Aku tidak menjawab laungannya itu. Aku terus masuk biliknya. Melilau-lilau sekejap dan nampak Baju Melayu aku tergantung elok di pintu almari. Aku capai dan keluar. Aku tuju bilik adik aku pula.
“Ish, bang ngah nih..” Sekali lagi dia terkejut. Semenjak bila pula adik aku ni pandai terkejut-terkejut dengan aku. Ada ke muka aku ni macam boleh buat orang terkejut?
“Kau ni kenapa? Terkejut je memenjang. Kau ada buat benda tak baik ke?”
“Bukan la. Adik nak pakai seluar ni.”
“Pakai je lah. Kan sama je? Kau ada, aku pun ada. Apa-apa entah.” Aku tukar baju. Malas nak endahkan Hafis. Selesai tukar baju, aku bega-bega sikit rambut aku depan cermin. Aku capai songkok dan pakai.
“Ceh, macam nak kahwin je gaya bang ngah ni.”
“Eh, ye ke?”
“Ye lah. Tak payah la songkok-songkok tu.”
“Hmmm.” Aku malas nak komen apa yang Hafis cakap. Mungkin betul. Aku tanggalkan songkok dan keluar tinggalkan dia yang masih terkial-kial mengenakan Baju Melayu. Aku turun ke bawah.
“Kenapa tak pakai songkok?” Mama pula tanya.
“Adik kata macam orang nak kahwin.”
“Ish, tak ada. Pergi ambik. Pakai. Kalau ya pun macam orang nak kahwin, biarlah. Kamu tu pun memang dah patut kena kahwin.”
E'eh, ke situ pula mama ni. Aku confused. Malas hendak menjawab. Nak aja aku melaung suruh Hafis campakkan songkok aku ke bawah. Tapi aku bukan jenis yang suka melaung-laung. Aku naik balik. Lagi pun songkok tu nak letak atas kepala. Mana boleh main baling-baling. Itu pendapat aku.
Jam 11 kami bertolak ke rumah pengantin. Rumah pak cik aku, saudara jauh-jauh belah abah aku. Shakira, anak pak cik aku yang akan kahwin. Khabarnya dengan seorang jurutera. Aku pernah jumpa beberapa kali. Tapi belum cukup beramah mesra dengannya. Tak apa. Mungkin lepas ini akan ada lebih banyak peluang untuk beramah mesra.
Hampir sejam kemudian kami sampai di perkarangan rumah pengantin. Patutlah mama suruh pakai hijau. Ada warna tema rupa-rupanya. Kami mula buat haluan masing-masing. Aku, adik aku dan abang Johan membontoti abah aku menuju ke arah kawasan lelaki-lelaki berkumpul. Abang Johan memimpin Aiman. Mama dengan kak long entah menuju ke mana. Aku rasa destinasi yang mereka tuju ialah bilik pengantin. Biasalah, orang-orang perempuan. Nak tengok pengantin perempuan lah dulu.
Di kawasan yang dipenuhi kaum lelaki, aku jumpa dengan ramai saudara mara lelaki dalam “puak” kami. Semua pak cik- pak cik aku ada. Sepupu-sepupu, saudara-saudara jauh, biras-biras, ipar- duai dan macam-macam. Kami mula berbual. Macam-macam topik. Yang muda-muda dengan topik mudanya. Yang veteran-veteran, dengan topik veterannya. Tapi topik yang tidak akan terlepas untuk mereka jadikan aku bahan ialah topik kahwin. Seperti biasa, soalan keramat yang bisa menimbulkan suasana gamat itu memang akan menjadi pilihan. Macam-macam idea dan teori muncul. Aku hanya mampu bergelak ketawa dengan usikan mereka. Eh, sekejap. Ini majlis kahwin Shakira. Tapi kenapa pula aku yang menjadi tumpuan? Susah betul jadi orang popular ni. Kesimpulannya, majlis kahwin Shakira dan Shahir memang meriah. Nasi minyak dengan pelbagai lauknya pun sedap. Tak sia-sia aku pakai Baju Melayu siap bersampin dan bersongkok.
MASIH MISTERI.
Hari Isnin, sepatutnya giliran aku ke Beast Garage jam 2 petang. Kami ada sistem. Nanti aku akan terangkan tentang sistem kami ini kemudian. Yang aku hendak cerita sekarang ialah, tengang gangguan panggilan telefon dan SMS yang bertubi-tubi masuk ke dalam talian phone aku. Lepas SMS Sean, SMS Amy. Lepas SMS Amy, SMS Sean. Lepas satu, satu. Panas betul hati aku. Hey, tak boleh jadi ni. Akhirnya aku mandi dan bersiap-siap untuk ke Beast Garage lebih awal.
Sampai di Beast Garage, aku parking kereta aku sebelah Lancer milik Sean. Aku nampak kapcai Amy di bawah pokok sana. Amy selalu datang garage dengan kapcai saja. Rakan kongsi aku yang seorang itu memang sempoi. Berbeza dengan Sean yang sentiasa wangi semerbak walaupun destinasinya hanya ke garage ini. Aku tak faham dengan Sean dan wangian semerbaknya itu. Personaliti Sean agak complicated berbanding Amy. Teringatkan Amy, tiba-tiba nafas aku tersekat bila teringatkan panggilan telefon dari Cash, Jumaat lepas mencari Amy. Aku cuba bertenang. Tak apa. Nanti dulu.
Aku masuk ke dalam Beast Garage. Pekerja pertama yang aku nampak ialah Jack. Dia tengah kusyuk memberi tumpuan kepada enjin di depannya. Melihatkan kerajinannya itu, aku tak jadi nak membebel kepada dia tentang gosip yang dia kongsi dengan Arisa Hana. Hish, mamat muka macam Nani ni mulut macam perempuan juga kadang-kadang. Lantas aku terus naik ke pejabat tanpa menyapa seorang pun pekerja-pekerja kami yang sibuk dengan tugas masing-masing. Mereka pun sudah biasa dengan style dan angin aku. Jika aku berkelakuan begini, pastinya ada emergency ataupun meeting penting yang menagih perhatian penuh. Jadi jangan kacau aku, jangan tegur aku, jangan buat apa-apa. Diam saja lebih baik dan buat kerja masing-masing. Aku masuk ke dalam pejabat. Nampak Sean sedang menjawab panggilan dan Amy sedang mengadap komputer. Mereka serentak memandang aku. Sean masih melayan panggilan. Amy pula sudah memusing kerusi mengadap aku.
“Sorry kacau kau awal pula hari ni.”
“Tak ada hal lah bro. Macam mana cuti? Best?” Aku tanya Amy. Dia baru balik dari bercuti dengan isteri dan anaknya. Katanya bercuti ke Pulau Langkawi.
“Okey. Tapi Nora dan Lily yang enjoy lebih. Aku ni layankan aja.”
“Eh, kan banyak lagi sofa tu. Nak juga bertenggek dekat-dekat orang. Jauh sikit.”
“Aku memang suka tenggek-tenggek kat kau.” Sean gelak. Amy pun gelak. Mereka sebenarnya memang suka membuli aku cara halus. Cara macam ini lah. Mereka tahu aku tak suka aksi-aksi manja sesama lelaki, tapi itu lah yang mereka suka buat kat aku. Gangguan seksual betul.
“Ish.” Aku tolak Sean. "Ok, aku dah sampai ni. Apa cerita SMS banyak-banyak tadi? Siapa customer VIP tu? Apa yang dia nak buat dengan kereta dia?"
“Ha, ni aku nak cerita ni.” Sean pindah duduk di sofa bersebelahan sofa aku.
Dalam pejabat ini, kami susun sofa mengelilingi sebuah coffee table. Amy yang tadi duduk di kerusi mengadap komputer, telah pindah duduk di bahagian sofa juga. Kami duduk mengelilingi coffee table tetapi tak ada coffee pun atas table ini. Yang ada hanya sebuah pasu bunga. Tapi tak ada bunga. Sedih! Apa boleh buat, semua jantan. Semua pemalas bab-bab kerja bersifat feminin. Nak bancuh air untuk diri sendiri pun malas. Inikan pula nak bubuh bunga dalam pasu?? Aku rasa Beast Garage ni memerlukan seorang gadis pembancuh minuman. Idea yang baik ni. Tak apa. Nanti akan aku usulkan pada mesyuarat kami yang akan datang.
"Cerita lah.” Aku bersuara. Tidak mahu buang masa.
“Tadi, ada anak Tan Sri apa entah dari Alor Setar, call. Katanya esok dia nak turun hantar kereta dia kat sini. Nak full spec. Oversize, upstroke, lighten, balance siap dengan gearbox. Dia tanya boleh siap dalam 2 minggu tak?"
“Habis kau jawab apa?” Aku tanya.
“Belum jawab lagi lah ni. Sebab tu yang suruh kau datang ni. Nak tanya kau juga. Kena buat keputusan bersama.” Sean jawab.
"Hmmm... Full spec? Dua minggu? Biar betul Sean?” Aku sedikit terganggu dan sedikit terkejut. Macam tak masuk akal saja pemintaannya. “Dia nak kejar masuk race apa ni? Hantar machine shop saja dah 4-5 hari, bro. Nak order piston pun dah makan masa 3 minggu. Korang nampak tak masalah yang aku nampak?"
"Nampak. Tapi anak Tan Sri tu Ris. Network baik punya. Tak kan nak tolak job ni?” Amy mencelah.
“Anak Tan Sri betul ke celup?”
“Wallahualam. Tapi Insyaallah Tan Sri betul. Dia janji esok dia akan hantar kereta. Soal “kertas”, kita tak perlu risau.” Kertas yang Amy maksudkan itu ialah duit. Harap maklum. “Dia akan transfer terus ke account Beast Garage esok juga. Kalau ada extra cost, kita sebut saja. Dia tak kesah."
“Betul ni?”
“Betul la.”
Aku diam sejenak untuk berfikir. Masalah enjin kat bawah pun belum selesai, datang pula job baru ni. Boleh siap ke?
“Okey tak bro?” Sean tanya, bila melihat aku lama berdiam. Sean ni jenis cemas sikit. Berbeza dengan Amy yang lebih steady.
“Macam ni... Nak buat tu tak ada masalah. Cuma timing dia tu yang masalah. 2 minggu, kau dua orang yakin boleh siap ke? Dia nak kejar masuk race ape? Bulan ni punya race confirm tak sempat."
"Dia bukan nak kejar masuk race. Dia target nak masuk Sepang bulan depan. Tapi dia tak nak parents dia tahu, dia bikin kereta. Parents dia sekarang sedang holiday di Paris. So, dia nak kereta tu siap before parents dia balik Malaysia."
Aku terdiam seketika. Ada-ada saja lah alasannya. Aku buat sedikit timbang tara dan membandingkan positif dan negatif job akan datang tu. "Hmmm, okey lah. Kita buat job tu. Tapi budak tu okey ke? Maksud aku, cara driving dia, kau dua confident dia boleh handle power banyak tu? Oh, dan satu lagi, dia jenis huru-hara ke tak?"
"Budak ni okey. Student lagi. Baru 20 tahun. Dia pun baru dapat kereta tu. Dia dapat tahu pasal Beast Garage ni pun dari website. Dia cakap dia nak buat. Tak kan aku nak cakap: 'Oh, abang tak boleh buat lah dik..' Kan?" Amy memberi penerangan terperinci tentang budak yang dimaksudkan itu. Siap ada dialog lagi.
Aku mengangguk. Betul juga cakap Amy tu. Tak kan nak cakap tak boleh kan? Rezeki, tak kan nak tolak. Aku pandang Amy dan Sean. Sebenarnya bukan komitmen Amy dan Sean dan pekerja-pekerja kami yang aku risaukan. Tapi komitmen vendor dan supplier yang selalunya tak pernah hantar barang on time.
"Ok lah. Kita buat enjin dia. Esok kita bincang pasal clutch ngan minyak apa dia nak pakai. Kejap lagi, aku terus pergi order piston dan bincang dengan budak machine shop. Amy, kau beritahu budak-budak kita, standby untuk kerja keras bermula esok atau lusa ni”
“Baik, abang tukang setting.” Amy senyum lucu. Main-main pula dia dengan aku.
“Petang karang aku nak pergi dyno kereta Remy tu kat USJ. Korang nak follow tak?" Aku pandang Amy dan Sean. Sean dan Amy pandang satu sama lain dan serentak menjawab
"Tak apa lah."
Jawapan yang memang dah di duga. Rutin harian mereka memang selalunya di bengkel saja. Lepas habis kerja di bengkel, mereka balik ke rumah. Amy, pastinya balik ke rumah sebab ada anak dan isteri. Sean? Sean balik ke rumah sebab Siti. Tapi khabarnya sudah ada gadis yang terpikat dengannya. Aku kurang pasti sebab belum dengar dari mulut Sean sendiri. Aku dengar gosip tu pun dari Jack dan Anif. Haa, tengok, Jack jugak!! Hmmmm... Kata mereka ada perempuan selalu cari Sean di bengkel. Baguslah tu. Tak adalah Sean asyik dengan Siti saja. Lagi pun bukan Sean boleh kahwin pun dengan Siti tu.
“Aku turun bawah dulu lah. Nak beritahu dia orang semua. Nak tengok apa si Lan dah buat dengan kereta kuning tu juga.” Amy bangun dan berlalu ke bawah. Aku dan Sean saling berpandangan. Setelah pasti Amy sudah berada di bawah Sean bersuara.
“Kau tak nak tanya ke?”
“Susah lah. Aku tak tahu nak tanya macam mana.”
“Tapi kena tanya juga. Kau tanya lah. Kau syer sama percent dengan Amy.”
“Ceh. Macam tu pula?”
“Habis?”
“Ye lah.. ye lah.. Nanti aku tanya.” Memang aku kena tanya juga nanti. Bila isu yang bersangkut dengan Cash, ia memang akan jadi serius. Memang patut sangat Sean menggelabah mahukan jawapan dengan cepat.
“Ris.”
“Hmmm?” Sapaan Sean buat aku terhenti dari melangkah keluar dari pejabat. Sean sengeh-sengeh. “Apa?”
“Kau ingat Zalika?”
“Zalika? Zalika mana?”
“Zalika.. Zalika Md. Zaki tu.”
“Cik Zalika kereta kancil purple tu? Pensyarah universiti tu?”
“Ha'ah.” Sean sengeh. Aku nampak sengeh Sean kali ni lain macam. Sengeh ala-ala kerang busuk. Hahaha..
“Kenapa dengan dia?”
“Aku tengah kawan dengan dia sekarang ni.”
“Kawan biasa ke luar biasa?”
“Kawan yang hampir luar biasa.”
“Baguslah. Aku doakan kau dapat cinta yang tulus dan abadi kali ni.”
“Insyaallah. Terima kasih Ris.” Sean sengeh lagi. Kemudian garu-garu kepala. Ceh, malu lah tu konon.
“Hmm, sama-sama.”
“Errr, Arisa Hana... Lama aku tak jumpa dia. Kau ada jumpa?”
“Ada. Dua hari lepas.”
“Oh, tak cakap aku pun ya? Apa cerita awek tu?”
“Dah putus dengan tunang dia.”
“Eh, tak cakap aku pun??”
“Cakap kat kau buat apa?”
“Kau tak tahu ke selama ni aku tunggu dia?”
“Hello, bro.. Apa cerita pula nanti dengan cik Zalika kau tu? Cuba fokus sikit.”
“Kalau kau cakap awal, aku tak ada lah layan Zalika. Ish, melepas lagi.”
“Eh, dengar sini. Kau jangan nak macam-macam. Nanti ada yang kena paksa telan bearing sembilan biji sekali gus. Nak?”
"Eh, tak nak."
"Tak nak, jangan cakap banyak."
“Marah nampak.” Sean sengeh.
Tanpa menjawab soalan Sean, aku meninggalkan Sean dalam bilik pejabat. Ceh, ada hati dengan Arisa Hana rupa-rupanya mamat tu. Mana boleh. Langkah mayat aku dulu. Eh, sekejap. Apa aku cakap ni? Aku bukannya ada apa-apa dengan Arisa Hana. Kami kawan saja. Kenapa pula aku nak bengang bila Sean kata ada hati dengan Arisa Hana. Rosak!! Nampaknya aku kena format balik otak aku ni. Teringat balik kata-kata Arisa Hana dua malam lepas.
“Mungkin kita akan kekal sebagai kawan saja. Tapi kalau lah di penghujung cerita nanti awak dan saya memang akan ditakdirkan bersama, saya harap awak tak akan menyesal.”
Tiba-tiba jantung aku berdegup kencang. Entah kenapa. Namun aku biarkan saja. Cuba bertenang dan mengatur nafas dengan teratur. Aku menuruni tangga, ingin menuju ke bahagian garage. Tiba-tiba Blackberry Curveku di dalam poket seluar berbunyi. Aku lihat skrin. Nama Arisa Hana muncul. Automatik kepala aku menoleh ke arah pejabat, teringatkan Sean. Baru tadi Sean sebut nama Arisa Hana. Panjang umur betul. Hish, tak boleh jadi ni. Apa sebab pula awek sorang ni call aku time pagi macam ni? Selalu SMS saja..
bersambung...
~LoveMeLoveMeNot~
No comments:
Post a Comment