Sunday, 27 November 2011

Cinta Untuk Dijual- # 4~



 LUNYAI.


     Aku perlu rehat. Sebab aku manusia dan bukan robot, maka aku perlu rehat. Empat hari berkerja melebihi 10 jam sehari benar-benar memenatkan. Ianya demi untuk mengerjakan enjin kereta Iman, anak Tan Sri dari Alor Setar itu. Tapi bukan aku seorang yang penat. Semua yang berkerja dalam Beast Garage penat. Dan aku tidak mahu bercerita lanjut tentang kepenatan. Penat atau tidak, enjin itu perlu disiapkan juga. Kami ada masa seminggu saja lagi untuk siapkannya. Harap-harap tiada aral yang melintang dan kami mahu kekal optimis. Tidak ada masa hendak merungut kepenatan atau merayu minta dimanjakan. Walaupun dalam pemanduan pulang, terdetik juga di hati;

     “Kalau balik rumah ada yang sedang menunggu untuk memanjakan dan mengurut tubuh ini, kan best.”


     Aku senyum sendiri dengan idea nakal itu. Namun aku buang jauh cita-cita itu bila otak aku mula berfikir secara rasional. Apa yang logik dan relevan untuk aku fikirkan sekarang ialah balik ke rumah, mandi, buat apa-apa yang wajib dan... tidur. Ya, itu lebih kedengaran matang dan relevan untuk tubuh aku yang sudah hampir 'lunyai' ini.


HUJAN.


     Pagi Sabtu yang tenang. Hujan renyai-renyai di luar sana. Membuatkan aku rasa hendak terus bermalas-malas di atas katil. Tetapi itu tidak mungkin kerana mata aku sudah jadi segar semacam. Dan perut aku tiba-tiba rasa lapar. Aku pun tidak faham kenapa. Mungkin sebab semalam aku balik ke rumah, dan terus tidur tanpa makan apa-apa. Aku bangun, keluar menuju dapur dan terus mencapai gelas tinggi. Membuka pili dan menadah air. Sebaik gelas itu penuh, aku tutup pili. Kemudian meneguk habis segelas air. Lega. Kenapa air dari pili? Sebab dalam rumah aku ini, air dari pili memang boleh terus diminum dengan selamat, tanpa was-was. Kemudian aku menuju bilik mandi. Perhatian! Air dari dalam bilik mandi aku juga selamat untuk terus diminum. Terima kasih kepada teknologi penapisan air yang sangat canggih. Cerita dalam bilik mandi tidak perlu aku ceritakan. Privasi. Tapi yang pasti, bila aku melihat wajah aku di cermin, aku rasa aku perlu bercukur hari ini. Semak sangat dah.


     Selesai mandi. Sejuk! Tapi rasa segar dan nyaman. Aku masih dapat dengar bunyi hujan turun. Agak-agak hujan akan turun sampai ke petang ke? Aku jengah Blackberry Curve yang aku letak di atas meja sisi. Seperti biasa, ada SMS- Selamat Pagi daripada orang yang sangat-sangat sukakan hujan. Siapa? Siapa lagi? Aku terus ke almari. Menolak pintu almari jenis 'sliding' dan mula memilih-milih baju apa aku nak pakai hari ini. Aku sambar t-shirt berwarna biru langit dan dockers berwarna cokelat muda. Selepas mengenakan pakaian, aku bega-bega rambut aku depan cermin. Membelek-belek sedikit muka, melihat kalau ada mana-mana yang tidak kena. Jangan pelik. Siapa kata lelaki tidak boleh belek muka? Aku sudah biasa dengan perkara ini memandangkan 7 tahun aku berada di dalam dunia modeling. Dunia yang memestikan aku untuk menjaga penampilan dan personaliti. Nak tak nak memang kena. Walaupun pada mulanya aku bukan jenis lelaki yang mengambil berat tentang “kecantikan”. Tetapi semua ini sudah menjadi kebiasaan apabila 7 tahun aku perlu melatih diri untuk hidup dengan rutin ini. Sebut tentang dunia modeling, banyak kenangan yang tersimpan di dalam tajuk itu. Tapi, lupakan saja. Aku tidak mahu bercerita tentangnya. Sekurang-kurangnya tidak untuk masa ini.


     Aku mengenakan jam tangan dan capai wallet serta Blackberry Curveku. Aku masukkannya ke dalam poket seluar sebelum keluar dari bilik. Kemudian ke dapur untuk minum lagi segelas air dari pili. Sempat aku melirik jam tangan yang menunjukkan pukul 8 pagi. Aku hendak keluar bersarapan pagi. Lantas aku capai kunci kereta yang tergantung pada dinding.


     Tidak sampai 20 minit, aku sudah berada di perkarangan Bitter & Sweet House. Bitter & Sweet House ialah sebuah bunglo yang sudah diubah suai menjadi cafe yang menghidangkan pelbagai jenis roti, kek, pastri dan juga pelbagai jenis kopi dan teh. Cafe ini berkonsepkan cerita dongeng Hansel and Gretel. Namun mungkin konsepnya sudah dikontemporarikan sedikit supaya ia kelihatan tidak terlalu tradisional Hansel and Gretel. Walau apa pun, aku sukakan konsep ini. Ideanya berjaya buat aku kagum kerana setiap kali aku datang ke sini, aku rasa hendak makan pagar, dinding, atap, pintu dan segala-galanya pada cafe ini. Tetapi untuk sesiapa yang tahu tentang cerita dongeng German ini, mereka tidak perlu takut kerana di dalamnya tidak ada nenek kebayan yang suka makan budak. Dia dalamnya ada pelbagai pilihan roti, kek dan pastri serta minuman panas yang menyegarkan. Juga ada gadis-gadis pembuat roti, kek dan pastri yang.. Apa aku mengarut ni?

     “Buat apa tercegat kat luar tu Haris?” Teguran Fiona mengejutkan aku dari lamunan. Entah dari mana dia muncul, tiba-tiba ada di depan aku.

     “Menikmati pemandangan.”

     “Apa yang menarik sangat?”

     “Sini kejap.” Aku panggil Fiona.

     “Kenapa?” Fiona menghampiri aku.

     “Kau tengok tu.”

     “Apa?”

     “Cuba tengok betul-betul. Ada yang aneh dekat kekisi tu.”

     “Apa nya? Aku tak nampak lah.”

     “Ada sarang burung.”

     “Laaaaaa... Aku ingatkan apa lah tadi. Buat seram orang saja. Dah lah, masuk.”

     “Sekejaplah. Aku nak try tengok burung apa.”

     “Burung merpati putih.”

     “Mana tahu?”

     “Arisa Hana. Dia dah panjat tengok sarang tu.”

     “Panjat?”

     “Ya. Baik kau masuk sekarang. Hujan lagi tu.”

     Aku diam. Namun masih memikirkan bahagian Arisa Hana panjat tengok burung. Biar betul? Tinggi tu.

     “Kau nak berdiri kat situ sampai lencun ke? Nanti demam pula.”

     “Ya, aku masuk.” Aku mendengar arahan Fiona dan masuk ke dalam cafe. Agak ramai juga pelanggan di dalam cafe walaupun di luar masih hujan renyai-renyai.

     “Kau nak makan dan minum apa?”

     “Cappuchino dan... bagi Swiss Brioche.” Aku menjawab. Langsung mengatur langkah ke penjuru ruang yang menjadi tempat kegemaran aku. Aku suka tempat itu kerana dari situ, aku dapat lihat pemandangan indah taman di belakang bunglo lama ini. Tidak sampai 5 minit, apa yang aku pesan tadi sampai. Fiona yang menghantarnya sendiri ke meja aku.

     “Lama tak nampak kau.” Tanpa di pelawa, Fiona melabuhkan punggungnya di kerusi dan nampak macam hendak mengajak aku berbual-bual.

     “Sibuk.” Aku mengangkat cawan dan menghirup Cappuchino panas itu dengan berhati-hati.

     “Bagus tu.”

     “Apa yang bagus?”

     “Sibuk itu bagus. Maknanya ada bisnes. Tapi awas! Jangan sibuk-sibuk sudah. Atau buat-buat sibuk.”

     “Kau buat lawak ke apa ni?”

     “50-50.”

     “Hahaha..” Aku ketawa. Jujurnya aku pun rasa Fiona cuba buat lawak dalam serius. Aku namakan ia lawak pagi.

     “Lawak ke?”

     “Boleh lah.”

     “Ah, kau.. benda tak lawak pun kau gelak. Apa-apa entah. Apa mimpi datang pagi ni?”

     “Datang salah, tak datang salah. Ish.”

     “Aku tanya je lah. Kalau kau datang nak jumpa Arisa Hana, dia tak ada.”

     “Aku tahu. Sabtu kan selalu dia ke Syurga Kasih.”

     “Oh, aku lupa pula yang kau tahu. Maklumlah, dah lama kau tak datang. Hampir-hampir aku lupa siapa kau tadi.” Fiona ini bahasanya selamba dan ada masa kedengaran kasar. Itu memang perangai dia. Dulu, aku agak seram dengan isteri orang dan emak orang yang seorang ini. Dulu, selalu juga aku tanya Arisa Hana, kalau-kalau kawan dia yang satu ini membenci aku. Arisa Hana jawab tidak. Katanya Fiona memang macam itu sejak azalinya. Jadi aku lega. Bukan apa. Aku tidak berapa gemar dengan situasi dibenci orang. Lebih-lebih lagi kalau mereka tak ada sebab untuk membenci aku.

     “Nasri dan Nisya sihat?”

     “Alhamdulillah, sihat walafiat. Kau tak nak tanya khabar aku ke?”

     “Tak payah tanya kot. Aku yakin, Insyaallah, kau sihat. Malah aku nampak kau macam makin sihat.”

     “Nak cakap aku gemuk lah tu.”

     “Bukan lah. Berisi sikit. Okey lah tu. Nisya apa perkembangan?”

     “Makin nakal. Pantang lepas, semua nak ditarik. Penat betul nak melayan.”

     Walaupun kedengaran macam merungut dan membebel, namun aku yakin Fiona bahagia dengan kehidupan berkeluarganya. Jujurnya aku mengenali Fiona melalui Arisa Hana kerana Fiona ialah kawan baik Arisa Hana. Dan cafe ini milik mereka berdua dan seorang lagi kawan mereka yang aku tidak berapa kenal. Helen, jarang aku jumpa. Sebab Helen selalu ke luar negara mengikut suaminya. Khabarnya telah berkahwin dengan lelaki German yang berkerja dengan syarikat minyak terkemuka. Aku hanya pernah berjumpa Helen beberapa kali

     “Haris..”

     “Huh?”

     “Mengelamun ke kau ni?”

     “Mengelamun apa nya? Aku tengah makan ni. Nampak?” Aku menyuap Brioche yang telah aku sapu mentega, ke dalam mulut sambil mengunyah perlahan. Brioche, memang perlu dinikmati dengan kunyahan yang perlahan. Untuk menikmati teksturnya yang lembut itu.

     “Aku nak tanya kau sikit boleh?”

     “Sikit saja, boleh.” Aku menyuap lagi Brioche ke dalam mulut.

     “Kau dengan Arisa Hana, ada apa-apa ke?”

     “Apa-apa tu apa?”

     “Jangan buat-buat tak faham boleh tak? Aku tahu kau faham.”

     “Kalau 'apa-apa' yang kau maksudkan itu ialah hubungan romantik, baik kau tanya Arisa Hana. Aku no komen.

     “Huh, jawapan standard artis. Ni aku tak gemar ni.”

     “Kenapa tiba-tiba tanya ni?”

     “Aku rasa aku tak patut cakap kat kau. Tapi aku yakin kau dah tahu pasal Arisa Hana dengan Adam kan?”

     “Hmmmm.. Kau nak ajak aku mengumpat ke ni?”

     “Bukan lah. Kes ni ada kena mengena dengan kau. Sebab tu aku rujuk kau.”

     “Aik?”

     “Mama si Arisa Hana tuduh kau yang rosakkan hubungan Arisa Hana dengan Adam. Khabarnya masih merajuk. Kau mengaku tak?”

     “Huh?”

     “Kau tak tahu ke? Arisa Hana tak cerita?”


URUSAN EMOSI.


      Memang Arisa Hana tidak ada cerita apa-apa tentang “plot” mama dia tuduh aku yang menjadi punca putusnya hubungan dia dengan Adam. Satu masalahnya dengan Arisa Hana itu ialah dia tidak suka bercerita tentang hal peribadinya. Dia tidak sukakan situasi yang memerlukan dia buat “ulasan selari”. Dia lebih suka bercerita tentang isu semasa daripada bercerita tentang isu emosi dia.

     Selepas bersarapan di Bitter & Sweet House, aku memandu pulang ke rumah. Aku meninggalkan Fiona dengan soalannya. Aku langsung tidak memberikan apa-apa jawapan kerana secara seriusnya, aku tidak ada jawapan. Mungkin aku patut balik berehat atau cuci kereta atau menonton TV saja di rumah. Namun sesuatu telah membuatkan kau menukar hala tuju. Aku memandu menuju ke Syurga Kasih. Mahu mencari jawapan kepada persoalan yang bermain dalam kepalaku pula.

     Aku sampai di Syurga Kasih. Rumput dan tanah kelihatan masih basah. Mungkin hujan baru sahaja berhenti di sini. Pakcik pengawal menjengah dari 'pos kawalan'nya.

     “Assalamualaikum pakcik.”

     “Waalaikumussalam.” Pakcik Karim menghampiri. “Oh, Encik Haris. Lama tak datang. Pakcik hampir-hampir tak cam tadi. Ingat siapalah tadi segak benar.”

     “Pakcik apa khabar? Sihat?” Aku menyalami lelaki lebih separuh abad itu.

     “Alhamdulillah, sihat. Kamu pun nampak sihat ni. Makin segak. Sudah kahwin?” Pakcik Karim sengeh. Menampakkan gigi palsunya yang tersusun kemas.”

     “Belum lagi pakcik.”

     “Ingatkan dah lama tak datang, sudah kahwin.”

     “Tak ada lah. Sibuk sikit dengan kerja. Tak ada masa ke mari.”

     “Oh, bagus-bagus. Muda-muda ni lah kena kerja kuat. Biasalah tu sibuk. Dah tua macam pakcik ni, dah tak larat nak kerja kuat. Boleh jadi jaga saja.”

     “Jaga pun kerja pakcik. Dapat rezeki halal juga.”

     “Ya lah. Betul.. betul.. Ni datang nak jumpa Cik Arisa Hana?”

     “Ya, pakcik.” Pakcik Karim memang sudah sedia maklum.

     “Baiklah. Masuk.. masuk..” Pakcik Karim membuka pintu pagar luas-luas dan aku memandu masuk ke perkarangan Syurga Kasih.

     Aku nampak kereta Arisa Hana yang berwarna putih. Sama warna dengan kereta aku. Maka aku parking kereta aku sebelah kanan kereta dia. Mematikan enjin dan berjalan masuk ke kawasan bangunan selepas mengunci kereta. Aku dapat lihat sekumpulan kanak-kanak sedang mencabut rumput diperkarangan, ditemani dua orang guru perempuan. Sempat aku berbalas senyuman. Aku tidak tegur kerana aku tidak berapa kenal dengan guru-guru itu. Aku mula melilau-lilau mencari Arisa Hana. Sengaja aku tidak mahu hubungi dia. Elok aku cari sendiri. Aku dapat dengar suara kanak-kanak di mana-mana saja. Hari ini hari Sabtu. Setahu aku hari Sabtu ialah hari mereka mengemas dan membersihkan Syurga Kasih. Aku nampak sekumpulan kanak-kanak sedang membasuh kolam ikan. Mereka nampak gembira walaupun kena buat kerja. Sambil buat kerja sambil bergelak ketawa main air. Aku meneruskan pencarianku. Mana Arisa Hana ni? Kan lebih senang kalau aku call dia saja. Namun suara dalam hati aku berdegil mahu terus mencari. Aku terus melilau mencari. Cuba untuk menguji instinct sendiri. Aku yakin boleh jumpa. Tetapi..

     “Haris??”

     “Errr..” Nampaknya Arisa Hana yang jumpa aku dulu.

     “Apa awak buat kat sini?”

     “Cari awak.”

     “Cari saya? Kenapa?”

     “Saja. Bosan kat rumah. Tak tahu nak pergi mana. Lalu saya memandu membuta-tuli. Tiba-tiba sampai ke sini.”

     “Hahaha.. Ada-ada saja lah. Kacaknya hari ni. Baju biru.. saya suka.”

     “Errr..” Tak semena-mena aku jadi malu dan terkedu dengan pujian itu. Apa dah jadi dengan aku ni?

     “Dah makan?”

     “Dah. Tadi makan kat cafe awak.” Erk? Alamak. Aku tak patut beritahu dia aku pergi cafe dia tadi. “Errr, kenapa dengan muka awak ni?”

     “Kenapa?” Dia menyentuh pipinya sendiri. Itu adalah tindakan luar kawalan yang biasa kita lakukan bila orang tegur tentang muka kita.

     “Comot. Warna-warni.”

     “Oh, tadi tolong budak-budak lukis mural.” Dia senyum.

     "Lukis mural ke lukis muka?"

     "Lukis mural la. Ish.." Dia moncong konon-konon bengang.

     “Dah siap ke?”

     “Belum. Ada lagi banyak dinding nak kena lukis. Awak nak tolong ke?”

     “Boleh juga.”

     “Betul ni?”

     “Betul la.” Dia pandang aku lama. Mungkin tidak percaya yang aku ada bakat melukis mural. “Kenapa? Awak tak percaya saya boleh melukis kan?”

     “Adalah sikit tidak percaya.”

     “Percayalah.”

     “Okey. Jom.”

     Aku diberi satu dinding berukuran 3 kaki lebar kali 7 kaki tinggi. Biar betul? Serupa macam ukuran kubur saja.

     “Nak lukis apa ni?”

     “Lukis sajalah apa yang awak nak lukis. Jangan lukis yang lucah-lucah sudah lah.”

     “Awak ingat saya ni gersang sangat ke?”

     “Saya tak cakap apa-apa pun. Kat sini semua peralatan ada. Awak boleh guna.” Dia sengeh dan meninggalkan aku sendirian mengadap dinding kosong itu. Tiba-tiba aku hilang punca. Apa aku nak lukis ni? Arisa Hana memang sengaja nak kenakan aku. Aku datang sini nak cari dia. Dia suruh aku lukis mural pula. Tapi salah aku juga. Aku yang menawarkan diri untuk tolong lukis mural ni.

     Arisa Hana ialah salah seorang sukarelawan di Rumah Anak-Anak Yatim Syurga Kasih ini. Setiap hari Sabtu dia akan ke sini. Kadang-kadang tidak kira hari apa. Asal ada hari yang lapang, memang ke sini saja dia akan tuju. Aku kagum dan hormat dengan minatnya ini. Bila aku tanya kenapa mahu buat ini semua? Jawabnya;

     “Saya suka. Saya tidak perlu bercakap banyak di sini. Kalau bercakap pun, dengan budak-budak kecil yang masih naif dan memerlukan kasih sayang. Sukarelawan-sukarelawan dan cikgu-cikgu kat sini pun baik-baik. Suasana di sini pun tenang dan tidak menyesakkan kepala.”

     Memang betul apa yang dia kata. Memang susana di sini tenang dan tidak menyesakkan kepala. Ianya terletak tidak jauh dari kawasan bandar tetapi kawasan yang dikelilingi hutan simpan ini memberikan satu pengalaman seolah-olah berada di desa.

     “Apa awak sedang mengelamun tu?” Tiba-tiba Arisa Hana muncul. Di tangannya ada sebotol air mineral.

     “Err, saya sedang berfikir.”

     “Tentang?”

     “Awak..”

     “Kenapa pula fikir tentang saya?”

     “Entah. Terlalu banyak tanda tanya bermain dalam kepala saya.”

     “Contohnya?”

     “Awak suka saya ke?”

     “Suka.”

     “Betul ni?”

     “Hmmm.”

     “Jadi betul lah bila mama awak tuduh saya yang merosakkan hubungan awak dengan bekas tunang awak?”

     “Eh, mana ada. Mana awak dengar cerita ni? Tak ada sesiapa yang merosakkan hubungan sesiapa. Ianya memang sudah tertulis begitu. Jangan fikir terlalu banyak. Nah, air.”

     “Terima kasih.” Aku sambut huluran itu.

     “Cepatlah lukis. Tak siap, tak boleh balik.” Dia berlalu lagi meninggalkan aku. Ada masa aku tidak faham dengan Arisa Hana. Bila dia cakap dia suka aku tadi, aku masih was-was. Aku tidak tahu maksud sebenar perkataan suka yang dia tuturkan itu. Suka yang macam mana? Suka kawan atau suka lebih dari kawan?



     “Awak..” Aku menguatkan sedikit suara memanggilnya. Bukan melaung. Aku cuma menguatkan suara.

     “Hmmm?” Arisa Hana menoleh.

     “Errr...”

     “Apa?”

     “Bila nak bersih rumah baru awak tu.” Aku tidak jadi hendak tanya soalan sebenar. Hanya soalan bersih rumah yang terpacul dari mulut.

     “Tak payah lah. Saya akan upah orang buat. Tapi jangan lupa minggu depan ya.”

     “Oh, okey. Tak lupa.” Aku terlupa sebenarnya. Tapi sekarang aku ingat. Ingat lagi pagi hari Isnin lepas Arisa Hana hubungi aku? Dia ada agenda yang memerlukan pertolongan aku. Tapi bukan agenda bersihkan rumah. Agenda ini lebih serius dan penting. Dan ketika ini, aku masih bermain dengan emosi serta perasaan ingin tahu yang membuak-buak, di mana situasi begini sebenarnya jarang berlaku dalam hidup aku. Atau sudah lama tidak berlaku kerana aku cuba sedaya upaya untuk mengelaknya.



.... bersambung



~LoveMeLoveMeNot~

No comments:

Post a Comment