YA ATAU TIDAK??
Dua undi- YA. Lima undi- TIDAK. Ini bukan undi Pilihan Raya Umum. Bukan juga undi Pilihan Raya Kampus. Aku sendiri pun tidak faham undi apakah ini. Tiba-tiba saja aku dijadikan bahan untuk tajuk utama topik perbualan hari ini di Beast Garage. Aku tidak faham. Ianya dimulakan oleh Ryan dan kemudian “diselesaikan” oleh Sean ketika kami sedang mengerjakan kereta Iman, anak Tan Sri dari Alor Setar itu.
“Awat boss nampak sugul je beberapa hari ni?” Ryan bersuara.
“Hah?”
Jawapan “Hah?” itu dijawab serentak oleh Sean, Amy dan aku. Maklumlah, kami bertiga kan boss. Bukan hendak berbangga. Tapi itulah kekeliruan yang selalu berlaku di Beast Garage ini.
“Err, maksud saya boss.. err, abang Haris.” Ryan sengeh. Serentak itu, tujuh pasang mata memandang aku.”
“Ya ke kau sugul?” Amy pandang aku, selari dengan pandangan ala-ala “membelek” air muka aku.
“Err, ye ke aku nampak sugul?” Aku pulang balik soalan itu kepada... kepada siapa-siapa sajalah. Tetapi tangan aku yang sudah hitam ini terus melakukan kerja. Malas hendak komen.
“Memang. Nampak memang sangat sugul.” Ryan menambah.
“Mana ada. Aku tengah pening kepala dan penat nak siapkan kereta ni.”
“Dia jumpa balik ex dia beberapa hari lepas. Itu yang sugul tu kot.” Tiba-tiba Sean menyampuk. Aku tersentak. Sean ni memang nak kena betul.
“Ex?” Kali ini, enam pasang mata memandang aku dengan wajah pelik. Amy, Ryan, Danny, Jack, Lan dan Anif. Pandangan mata yang boleh aku terjemahkan antara campuran terkejut dan.. minta aku komen lebih lanjut. Ni yang malas ni. Sean ni memang nak kena. Aku pandang Sean dengan pandangan bengang. Nak aje aku “lutut” dahi si Sean ni.
“Kes serius ni bang kalau jumpa ex balik. Ex ni bahaya la bang. Boleh buat kita keliru dan menghalang kita untuk meneruskan hidup yang baru. Lagi susah kalau kita dah ada pengganti atau sedang menyimpan perasaan kepada seseorang. Boleh juga jadi pengacau hubungan kalau kita tak reti nak uruskan emosi kita. Saya vote untuk kata tidak kepada ex..” Hmm, bersemangat sungguh Ryan. Langsung di sinilah aku dapat undi-undi ini semua. Dua berkata YA dan lima berkata TIDAK. Yang berkata YA ialah Sean dan Danny.
“Ex yang mana satu?” Amy tanya.
“Wah, boss ada ramai ex ya?” Lan menyampuk sambil tersengeh.
“Hebat boss ni. Tak sia-sia saya jadikan boss sebagai idola.” Anif pula tumpang menyampuk.
“Berapa boss? 10 orang? 20 orang?” Danny join sama.
“Eh, sikit tu. Aku rasa 30.” Jack tak nak ketinggalan.
“99..” Ryan sengeh dengan wajah tidak bersalah.
“Haaaa.. 99!! Maknanya kalau kak Arisa Hana pun clash dengan boss nanti, dia akan jadi ex yang ke 100 lah ya?” Jack buat kesimpulan mudah. Yang aku rasa agak tidak masuk akal sebenarnya.
“Hoi!! Yang kau doa boss clash dengan kak Arisa Hana apsal?” Ryan sekeh kepala Jack.
“Mana ada.. aku cakap je la.. Kalau..” Jack mahu sekeh kepala Ryan balik.
“Hey.. hey.. hey.. sekejap.. sekejap.. Nama siapa kau sebut tadi Jack? Arisa Hana? Semenjak bila pula Arisa Hana jadi girlfriend Haris ni?”
“Laaa.. abang Sean tak tahu ke?”
“Tak tahu.. dan aku mahukan penjelasan. Macam mana korang tahu? Dan macam mana aku tak tahu? Haris? Apa semua ni? Tolong jelaskan kepada aku.. Tolong katakan ini semua fitnah semata-mata. Betul ke Arisa Hana tu girlfriend kau? Tolong katakan tidak. Tolonglah...” Sean pandang aku. Dengan pandangan mengharap.
“Tidak.” Aku jawab. Tetapi jawapan itu buat aku berfikir seketika. Betul ke tidak?
“Fuh!! Nasib baik. Syukur kepada Tuhan. Aku memang tahu kau dengan Arisa Hana tak ada apa-apa hubungan istimewa. Aku memang ada peluang lagi ni. Kau.. kau.. kau.. kau semua.. jangan nak buat-buat cerita pula. Hampir-hampir buat aku diserang sakit jantung.” Enam pasang mata kini memandang Sean dengan wajah keliru. Kemudian enam pasang mata itu memandang aku pula. Aku mengalih pandangan dan meneruskan kerja.
“Kak Zulika.. yang selalu datang tu, siapa abang Sean?” Ryan tanya. Ada kekeliruan dan kemusykilan sebenarnya di kepala mereka semua.
“Kawan.. masih dalam tahap berkawan.” Sean sengeh.
“Hah?” Ryan dan lain-lain makin keliru. Aku pula buat tak tahu. Mungkin dalam hati mereka, mereka sedang menuduh Sean buaya darat.
“Dah.. dah.. Kerja.. kerja.. kerja...” Amy bersuara menyuruh yang lain meneruskan kerja. Mereka yang lain kembali melakukan kerja masing-masing. Amy menghampiri aku. Menepuk-nepuk belakang aku dan tersenyum. “Betul ke tidak?” Amy tiba-tiba datang berbisik di sebelah aku. Dia perlahankan suara kerana tidak mahu yang lain dengar barangkali.
“Apa yang betul ke tidak?”
“Kau tak ada apa-apa perasaan dengan Arisa Hana?”
“Entahlah.”
“Tapi aku tak nampak macam tidak.. aku nampak macam ada.. macam ya..”
“Macam mana kau boleh nampak?”
“Kadang-kadang aku nampak.. cara kau dua orang pandang antara satu sama lain.. macam ada letrik.”
“Ya ke?” Aku pelik. Tak sangka Amy selalu memerhati.
“Kau, baik fikir betul-betul.”
“Hmm..”
“Kau jumpa Molly?” Amy tanya. Aku tidak menjawab apa-apa. Hanya membiarkan soalannya itu tergantung tanpa jawapan, di situ.
Amy yang aku kenal memang prihatin. Tetapi masalah yang dia bawa kepada Beast Garage buat aku tidak ada mood hendak bercerita lebih lanjut tentang hal peribadi aku dengannya. Aku rasa, hal peribadi aku tidak perlu difikirkan sangat di sini. Di Beast Garage ini, aku cuma mahu fikirkan tentang kereta-kereta yang perlu kami siapkan mengikut jadual dan menguruskan hal ehwal di Beast Garage ini dengan sebaik-baiknya.
“Dalam kehidupan kita ni, perkara yang selalu buat kita gagal ialah bila kita perlu berdepan dengan situasi yang memerlukan kita membuat pilihan. Kita gagal bila kita gagal memilih yang betul dan tepat. Itulah kehidupan.” Amy bersuara. Tangannya masih mengerjakan sesuatu pada enjin. Aku menoleh, memandang. Aku mengangguk walaupun Amy tidak memandang kepada aku. Aku tahu apa yang Amy katakan itu betul. Mungkinkah Amy juga sedang berada di dalam situasi yang memerlukan dia buat pilihan yang sukar? Kes dengan Cash? Mungkinkah?
RIMAS.
Hari Khamis. Semenjak bertemu beberapa hari lepas di Bitter and Sweet Cafe, Molly mula kerap menghubungi aku. Kadang-kadang aku angkat dan kadang-kadang aku biarkan saja panggilannya terlepas, dengan sengaja. Selalu sangat dia ajak aku keluar lunch, dinner dan sebagainya dengan dia. Aku menolak. Tidak mahu lagi melibatkan diri dalam hidup Molly. Dan aku juga tidak mahu dia terlibat dalam hidup aku lagi. Namun Molly suka mendesak. Katanya, apa salahnya keluar makan-makan? Sebagai kawan? Namun aku cuba mengelak lagi dan lagi.
Tetapi hari ini aku tidak dapat mengelak lagi kerana Molly tiba-tiba muncul di Beast Garage untuk mengajak aku keluar lunch.
“Apa awak buat kat sini?”
“Nak ajak awak lunch.”
“Saya sibuk ni. Banyak kerja.”
“Ala, lunch sekejap je. Jom lah.”
“Pergi je lah Ris. Orang dah susah-susah datang tu.” Amy muncul dari belakang. Mungkin dari tadi dia sudah perhatikan aku dan Molly.
“Tapi kerja banyak lagi ni.”
“Tak apa. Kita orang ada. Lagi pun kau memang kena makan pun. Dari pagi kau tak makan apa-apa lagi kan?” Amy mendesak. Aku tahu, dia tidak mahu Molly terus berdiri di situ mendesak dengan gaya memujuk.
“Hmm.. Saya basuh tangan sekejap.” Aku keberatan sebenarnya.
“Okey.” Molly senyum
Molly memilih untuk makan tengahari di sebuah restoran yang menyediakan menu nasi campur, masakan Melayu. Aku ikut saja. Aku ambil keputusan untuk pandu kereta aku sendiri walaupun dia mendesak supaya aku naik kereta dia. Aku tidak mahu. Nanti susah pula aku nak balik cepat. Silap-silap dia kidnap aku. Hmmm, apa aku fikir ni? Paranoid yang bukan-bukan nampaknya aku ini.
“Awak nak makan apa? Saya ambilkan.” Molly bertanya. Restoran itu berkonsepkan layan diri. Ambil nasi, pilih lauk dan cari tempat duduk. Kemudian akan ada pelayan yang akan datang bertanya- “Nak minum apa?”
“Eh, tak payah. Saya ambil sendiri. Awak pergilah ambil apa yang awak nak makan dulu.” Aku duduk di meja yang dipilih oleh Molly.
“Okey. Orderkan saya air oren ya.”
“Okey.” Aku angguk.
Molly berlalu dan aku kembali menebarkan pandangan ke sekeliling penjuru restoran. Pelanggan agak ramai. Maklumlah, waktu makan tengahari. Tiba-tiba aku ternampak satu susuk tubuh yang aku rasa macam cam. Alamak, apa dia buat kat sini? Tak kan makan masakan Melayu kot? Beberapa minit aku memerhatikannya dan tiba-tiba mata kami bertembung. Dia tersenyum kepada aku dan melambai. Kemudian dia melangkah menghampiri aku. Di saat itu aku nampak Molly juga sedang berjalan menghampiri meja. Dan Molly sampai dulu. Macam mana ni?
“Awak pergilah ambil nasi awak.” Molly duduk.
“Err..” Aku serba salah. Sekejap! Kenapa aku nak rasa serba salah? Molly tak ada hak untuk marah. Jadi aku cuba bertenang dan biarkan yang bakal terjadi, terus terjadi.
“Hi darling.” Si gadis berambut perang menegur aku tetapi entah kenapa aku terus bangun dan mengheret gadis rambut perang itu berlalu keluar dari restoran. Aku dapat melihat riak wajah Molly berubah dan merenung tajam. Namun aku biarkan.
Selepas 15 minit, aku kembali ke meja. Aku lihat nasi di pinggan Molly masih tidak terusik. Riak wajah Molly agak tegang. Dia pandang aku dengan pandangan yang tegang juga.
“Siapa perempuan mat saleh tu?”
“Nama dia Angelina. Dia kawan saya.”
“Kawan? Bukan main mesra lagi.”
“Biasalah..” Aku malas hendak melayan soalan Molly yang berunsur tegang itu.
“Saya dah tak ada selera.”
“Jadi?”
“Saya nak balik.”
“Hmmm...” Aku tidak tahu mahu cakap apa. Menyuruh tidak. Menghalang pun tidak. Dia nak balik, baliklah. Lantas, Molly berlalu dengan wajah muram. Dia sempat memandang aku dengan wajah sedih. Aku kurang pasti sedih kenapa. Aku kaku di situ. Tidak mahu bertindak balas kerana tidak mahu menimbulkan suasana ala-ala drama slot Akasia pula.
Aku sampain di Beast Garage dengan beberapa beg plastik berisi nasi campur untuk lapan kepala di Beast Garage, termasuk aku.
“Apa kes?” Amy tanya. Sebab dia yang suruh aku keluar makan dengan Molly. Alih-alih, aku balik dengan membimbit beg plastik berisi sajian makan tengahari untuk mereka semua.
“Entah.”
“Entah? Bukan ke patutnya lunch dengan Molly?”
“Dia kata tak ada selera.”
“Huh?” Amy musykil. Aku biarkan musykil dia itu tergantung di situ.
“Anak-anak semua, mari makan tengahari. Bapak ada belikan nasi untuk anak-anak semua.” Aku cuba berlawak. Dan semua “anak-anak” aku datang mengerumun bapaknya ini dengan senyum yang bukan main lebar. Boss belanjalah katakan. Makan free. Aku ikhlas.
Amy pandang aku. Masih mengharapkan jawapan. Tetapi aku malas hendak bercerita dan fikir tentang Molly buat masa ini. Berbaloi ke kalau aku fikir?
JUMAAT YANG TENANG.
Aku memandu masuk ke perkarangan Bitter and Sweet Cafe. Dari jauh mata aku menangkap susuk tubuh yang aku kenal, sedang menyusun pasu bunga. Panas-panas ni pun susun pasu bunga? Pelik betul. Aku geleng kepala sambil tersenyum sendiri. Aku parking kereta aku di bawah pokok yang rendang, berhampiran anjung cafe itu. Tak adalah nanti kereta aku ni panas pula nanti. Kesian kereta aku kalau kena panas. Apa aku merepek ni?
“Assalamualaikum.” Aku beri salam.
“Waalaikumussalam.” Arisa Hana senyum memandang aku. Namun tangannya masih sibuk mengalihkan pasu-pasu bunga itu semua.
“Panas ni. Apa buat kerja panas-panas ni?”
“Saja. Tak ada kerja. Lagi pun saya memang nak alih pasu-pasu ni. Sebab nanti nak tanam pokok bunga Azalea kat sini.”
“Azalea? Boleh hidup ke? Bukan Azalea tumbuh tempat sejuk je ke?”
“Memanglah. Tapi saya nak cuba tanam. Nanti nak suruh Luke pasangkan jaring, buat atap. Biar teduh sikit. Mana tahu Azalea boleh hidup.”
“Kalau tak boleh tu, tak boleh lah. Tak payah nak cuba-cuba.”
“Awak suka patahkan semangat saya. Apa salahnya saya cuba.”
“Ya lah. Cuba lah. Tapi percayalah. Azalea tak boleh hidup dalam cuaca tropika ni.”
“Awak!!” Arisa Hana bengang dan moncong.
“Okey.. okey.. tanam lah.. tanam.. Insyaallah hidup. Saya doakan projek pokok bunga Azalea awak tu berjaya ya cik Arisa Hana.”
“Terima kasih.” Arisa Hana sengeh. “Dari mana ni?”
“Masjidlah. Baru lepas solat Jumaat.”
“Wah, patutlah bukan main handsome, pakai Baju Melayu. Warna hijau. Sesuai sangat dengan awak. Nampak sejuk dan hot.”
“Mana satu ni? Kejap sejuk.. kejap hot..”
“2 in 1..”
“Hmmm.. Pujian ke ni?”
“Ya lah.”
“Terima kasih.”
“Sama-sama. Mesti ramai awek ngorat tadi kan?”
“Mana ada awek ngorat. Solat Jumaat, semuanya lelaki kat masjid tu tadi. Tak tahu?”
“Oh.. Maksud saya mungkin dlm perjalanan tadi?” Arisa Hana senyum lucu.
“Entah. Tak perasan pula.”
“Hmm, jomlah masuk. Panas ni.”
“Ingatkan tak tahu panas dah tadi.”
“Janganlah perli saya. Jom masuk. Awak mesti lapar kan?”
“Memang. Lapar sangat.” Aku sengeh sambil menggosok perut.
Aku mengekori Arisa Hana masuk ke dalam cafe. Sebab matahari masih terik, maka lebih baik berada di dalam cafe berbanding di anjung ini. Lagi pun, aku tidak merancang untuk berjemur. Ini Malaysia, buka England. Orang Malaysia tidak perlu berjemur kot. Aku pilih meja di penjuru yang menghala pemandangan taman belakang cafe. Dari situ aku boleh tengok kolam ikan koi.
“Awak nak makan apa?”
“Apa yang ada?” Aku menjawab soalan Arisa Hana dengan soalan aku.
“Apa yang ada?? Kat sini ada roti, kek dan pastri.”
“Saya nak makan nasi.”
“Awak salah pilih tempat ni. Nak makan nasi kena pergi restoran jual nasi la.”
“Saya salah lah ni ya? Adoi..” Aku mengeluh konon-konon. Sebenarnya aku datang ke sini bukan hendak makan pun. Tapi saja-saja. Tak tahulah kenapa. Kereta yang penting sudah kami siapkan semalam. Maka hari ni dah free sikit. Jadi selepas solat Jumaat tadi, aku terfikir untuk ke sini. Terfikirkan Arisa Hana sebenarnya.
“Hmm, sekejaplah saya masak.”
“Eh? Awak nak masak apa?”
“Awak nak makan nasi kan? Masak nasi lah.”
“Ada ke?”
“Ada. Nasi putih dengan telur mata kerbau dan kicap. Tunggu sekejap.”
“Awak...”
“Ya?” Arisa Hana menoleh.
“Awak tak bosan ke saya selalu datang cari awak, minta nak makan saja?”
“Boleh tahan la. Bosan juga.”
“Awak bosan?”
“Tak lah. Gurau je. Sekejap ya.”
“Awak.”
“Apa nya?”
“Saya tak nak makan nasi. Saya nak makan roti.”
“Roti je? Lunch roti, kenyang ke?”
“Tak kenyang.. tapi saya nak makan roti.. dan kek.. pancake ada?”
“Hey, mengada-ngada betul. Nak makan apa ni?”
“Saya tak nak makan.”
“Habis tu?”
“Awak, meh duduk sini sekejap.”
“Duduk?”
“Ya, duduk. Sini..” Aku tarik kerusi untuk Arisa Hana.
Wajah Arisa Hana berubah pelik. Dia pandang aku dan perlahan-lahan melabuhkan punggung ke kerusi. Hari Jumaat yang tenang untuk aku, mungkin tidak tenang untuk Arisa Hana. Aku faham kalau Arisa Hana tidak tenang. Sebab perangai pelik aku sekarang ini. Aku pandang ke matanya. Dan aku dapat mengesan keresahan di dalam mata itu.
“Kenapa nya ni?”
“Awak, saya suka awak.”
.... bersambung
~LoveMeLoveMeNot~
No comments:
Post a Comment