MURAL.
Aku lihat tangan aku yang sudah hitam akibat meramas-ramas seketul arang yang diberikan oleh Arisa Hana tadi. Arang itu gunanya untuk melakar lukisan secara kasar. Aku tidak berapa mahir menggunakan arang sebagai alat untuk melukis. Aku biasa guna pensel. Sebab sebelum ini aku tidak pernah melukis dalam skala yang bersaiz besar seperti dinding di depanku ini. Paling besar pun aku pernah melukis atas kertas bersaiz A4. Itu pun lukis watak bengis seorang pahlawan yang aku tiru dari sebuah komik yang tidak elok untuk tatapan kanak-kanak kerana watak itu watak ganas dan kejam. Maka aku lupakan watak pahlawan itu.
Aku beralih berfikir tentang watak Disney pula. Fikir punya fikir, tiada satu pun watak Disney yang aku berkenan. Nak lukis Beauty And The Beast ke? Naaaaaaaahhhh!! Tidak berapa sesuai. Aku tidak mahu budak-budak itu semua berangan hendak bercinta ala-ala Beauty And The Beast pula bila tengok lukisan aku nanti. Untuk pengetahuan semua, cerita tu cerita cinta dongeng. Di alam realiti, kita tidak digalakkan bercinta dengan haiwan jadian seperti si Beast itu. Lagi pun lukisan watak Disney tidak menggambarkan originaliti aku. Watak Marvel? Hmmm, tidak sesuai juga. Kartun Jepun? No.. No.. No.. Watak komik Manga? Uih, rosak! Lantas, selepas hampir 30 minit berfikir, akhirnya aku berjaya memecahkan kebuntuan. Aku sudah dapat idea.
Arang di tangan perlahan-lahan aku lari-larikan di atas permukaan dinding berukuran saiz kubur itu. Stroke demi stroke aku hasilkan. Jujurnya aku tidaklah berbakat sangat dalam kerja melukis dengan teknik free hand ini. Tapi entah kenapa tiba-tiba di pagi Sabtu yang redup dan damai ini, aku jadi hebat pula. Aku senyum sendiri dan meneruskan tugas aku ini dengan harapan dapat disiapkan hari ini juga. Tadi Arisa Hana kata, kalau tak siap tak boleh balik. Jadi aku kena siapkan lukisan ini sebab aku nak balik. Tak kan nak tidur sini kan?
“Hmmmm.. Boleh tahan. Idea yang menarik.”
“Uih, terkejut saya.”
“Kusyuk sangat. Tu yang terkejut tu.”
“Nak hasilkan kerja seni, masterpiece ni.. bukan master piston.. memang kena kusyuk, fokus.. Cantik tak?”
“Masih terlalu awal untuk saya komen.”
“Huh..” Aku cebik dan buat muka tidak puas hati kepada Arisa Hana. Dia sengeh.
“Okey.. tunggu.. tunggu..”
“Tengah tunggu lah ni. Awak tak nak berhenti dulu ke? Dah nak dekat Zuhur. Saya rasa elok berhenti dan selesaikan apa yang wajib dulu dan makan. Lepas tu boleh sambung.”
“Hmmm, okey.” Aku letak arang dalam kotak dan berjalan membontoti Arisa Hana.
“Lepas solat, awak ke dewan makan ya. Saya tunggu kat sana.”
“Okey.” Kami berpisah persimpangan itu. Arisa Hana ke kiri dan aku ke kanan.
Selesai solat, aku terus ke dewan makan. Sampai, aku nampak Arisa Hana sedang mengadap beberapa orang kanak-kanak yang sedang makan. Kanak- kanak itu sedang ketawa kecil. Arisa Hana nampak aku dan membuat isyarat, menunjuk ke arah meja yang berhampiran dengan pentas. Ya, dalam dewan makan itu ada pentas. Pentas kecil yang sesuai untuk kanak-kanak. Lima minit kemudian Arisa Hana menghampiri aku sambil menatang satu dulang.
“Hari ni kita semua kat sini makan nasi minyak.”
“Siapa yang kahwin?”
“Siapa yang kahwin??” Arisa Hana mengulangi soalan aku dengan wajah keliru.
“Kata nasi minyak?”
“Awak ni.. Tak semestinya ada orang kahwin je boleh makan nasi minyak.”
“Tapi macam jarang kan?”
“Hmmm.. Sebenarnya Umi yang tiba-tiba nak buat nasi minyak. Budak-budak pun dah lama tak makan nasi minyak ni.”
“Awak patut bagi idea kat Umi.”
“Idea apa?”
“Dewan-dewan yang ada tu, sekali sekala boleh sewakan untuk orang buat kenduri kahwin. Jadi, budak-budak boleh selalu makan nasi minyak.”
“Tak berapa bernas idea tu. Dah.. Sila makan. Bismillah..”
“Terima kasih.” Aku mula menjamu selera dengan menu nasi minyak dan beberapa jenis lauk serta air nescafe. Air nescafe? Ya, kelihatan macam tidak kena dengan nasi minyak. Biasanya kalau ada nasi minyak, kena ada air sirap kan? Tapi sebab aku lebih suka minuman panas dan suka nescafe, maka inilah dia gabungannya. Dan Arisa Hana sudah sedia maklum. Sebab tu dia buatkan nescafe untuk aku.
Memikirkan mural yang masih belum siap itu, aku mula rasa kebarangkalian aku akan mengantuk selepas makan nasi minyak ini. Mampukan aku menyiapkannya selepas aku menghabiskan sepinggan nasi minyak ini? Hmmm, fokus.. dan kekal positif Haris! Aku bermonolog dalam hati.
PETANG YANG TENANG.
Akhirnya lukisan itu berjaya aku siapkan. Aku melirik jam di pergelangan tangan. Hampir jam 6.30 petang. Aku lihat kedua belah tangan yang telah bertukar warna daripada warna asal ini. Lantas, aku melilau-lilau mencari pili air untuk mencuci tangan. Selesai mencuci tangan pada pili berhampiran taman itu, aku kembali kepada lukisan aku tadi. Aku senyum sorang-sorang. Tidak sangka aku punya bakat terpendam yang boleh dibanggakan. Okey, ia kelihatan seperti syok sendiri. Tapi apa salahnya? Ini hasil kerja seni aku yang pertama. Master piece okey. Okey, cukup! Tidak perlu bercerita panjang tentang lukisan ini lagi. Aku teringatkan Arisa Hana. Mana entah dia hilang. Mesti sedang sibuk dengan muralnya lagi. Lalu aku keluarkan Blackberry Curve dari poket seluarku. Menekan-nekan butangnya, mahu menghantar SMS.
Saya dah siap lukis mural. Saya nak balik. Penat..
Selesai menaip, aku tekan butang send sambil kaki melangkah meninggalkan kawasan itu, untuk menuju perkarangan utama Syurga Kasih, di mana aku parking kereta aku semasa tiba tadi. Tidak sampai seminit, Blackberry Curveku berbunyi. Arisa Hana hubungi aku.
“Ya? Hmmm.. Saya dah siapkan lukisan tu.. Dah nak balik.. Hmmm, okey...” Aku menamatkan perbualan dan masih berjalan menuju perkarangan utama Syurga Kasih. Dari jauh aku sudah nampak Arisa Hana sedang tercegat di situ sambil tersenyum. Aku balas senyuman itu tetapi dengan gaya senyum orang sedang penat.
“Tak nak tunggu makan malam ke?”
“Tak lah kot. Rasa tak selesa dan kotor. Nak balik mandi dan buat apa-apa yang patut.”
“Hmmm, kesian awak. Sorry.”
“Tak payah cakap macam tu. Saya sendiri yang cari pasal datang serah tengkok kat sini.”
“Oooo, jadi awak rasa macam saya dera awak ke ni?”
“Sikit lah. Orang datang sini nak berborak dengan dia. Dia suruh kita lukis mural pula. Sudah lah tinggalkan kita lukis mural sorang-sorang kat belakang tu.. Awak..”
“Okey, okey.. Saya minta maaf. Tapi memang saya sibuk hari ni dengan kerja-kerja mengemas dan macam-macam. Tak ada masa pun nak berborak dengan awak. Serius.. Sorry awak..” Arisa Hana serba salah. Aku tahu sebab riak wajahnya memang senang untuk aku baca.
“Saya gurau je. Saja nak buat awak serba salah.”
“Jahat.”
“Sampai hati cakap saya jahat.”
“Oh, sorry.. sorry.. Err, awak tak balik Bangi ke minggu ni?”
“Tak tahu lagi. Kalau rajin, esok balik kejap.”
“Kirim salam family awak ya.”
“Insyaallah.” Aku berjalan menuju ke kereta. Arisa Hana mengekori.
“Haris..”
“Hmm??”
“Terima kasih ya untuk hari ni. Hati-hati memandu.”
Aku senyum dan mengangguk. Arisa Hana mesti bermalam di sini malam ini. Sudah menjadi kebiasaan, jika kerjanya selesai lambat, dia akan bermalam di Syurga Kasih. Akhirnya aku memandu meninggalkan Arisa Hana di perkarangan Syurga Kasih, selepas mengucapkan selamat tinggal. Walaupun tubuh aku terasa penat, tetapi ia langsung tidak membebankan. Malah aku rasa.. lega dan tenang. Sempat aku memandang ke cermin pandang belakang. Dapat lihat Arisa Hana yang masih tercegat berdiri di situ. Aku senyum sendiri.
Sampai di rumah, aku menuju dapur dan minum segelas air. Terfikirkan rancangan untuk balik ke Bangi esok, aku hubungi mama untuk memberitahunya. Tetapi jawapan mama;
“Tak payah balik lah esok. Mama dan abah nak pergi jemputan makan-makan kawan mama. Malam baru balik kot. Kamu balik pun, tak ada orang kat rumah. Adik pun mesti keluar dengan kawan-kawan dia.”
E'eh? Lain macam je mama aku ni. Anak sendiri nak balik rumah, dia tak bagi pula. Tapi jangan ambil hati dan jangan ambil serius. Perkara begini selalu juga berlaku kalau mama dan abah aku ada agenda mereka sendiri dengan kawan-kawan mereka. Aku tidak kesah. Asalkan mereka gembira dengan apa yang mereka buat, aku sudah cukup senang hati. Nampaknya esok aku boleh berehat di rumah saja. Okey juga. Tanpa membuang masa, langsung mengatur langkah ke bilik mandi untuk... mandilah.
SEJUK DAN LEMBAP.
Pagi Isnin. Bunyi SMS diterima mengejutkan aku dari tidur. SMS dari Arisa Hana.
Selamat Pagi Encik Suka Tidur!
Kenapa lain macam pula SMS pagi ini? Encik Suka Tidur? Bila masa aku suka tidur? Saja je nak mengejek aku. Aku baca ayat seterusnya;
Cantik lukisan awak. Saya terpegun melihatnya. Rasa macam nak masuk ke dalam lukisan tu. Terima kasih ya. Semoga hari awak baik-baik saja hari ni.. :)
Aku senyum sendiri. Sempat melihat jam di Blackberry Curve aku yang menunjukkan jam 9.00 pagi. Tapi entah kenapa aku rasa begitu liat untuk bangun pagi ini. Suasana bilik yang suram-suram, tiba-tiba melahirkan mood romantik dalam hati aku. Hmmm, baik aku jangan layan. Susah pula nanti. Aku cuba bangun. Tetapi kepala terasa berat. Nak demam ke? Aku pegang dahi sendiri. Sejuk!
Hmm, mahunya tidak sejuk. Air-cond dalam bilik aku ini terpasang pada suhu 17 darjah celcius. Kipas pun terpasang. Sah-sah memang hampir macam dalam iglu. Entah-entah di luar sedang hujan. Tidak mustahil kerana suhu yang lain macam sejuk ini benar-benar menyengat hingga ke tulang hitam. Selimut 3 lapis yang aku gunakan ini pun tidak terlalu membantu. Lantas aku gagahkan diri untuk bangun dan melangkah menuju sliding door yang menjadi pembahagi kepada ruang bilik tidur aku dan balkoni. Sliding door itu terpasang langsing berwarna gabungan mocha dan cream. Aku suka warna tanah, kerana ia memberi mood tenang dan ala-ala berada dalam bilik hotel mewah. Kemudian aku menyingkap kain langsir itu untuk melihat ke luar. Tepat sekali jangkaan ku. Di luar, cuaca agak mendung dan hujan renyai.
Aku berkira-kira untuk membuka sliding door itu tetapi aku matikan niat kerana tidak mahu berhadapan dengan cuaca sejuk yang akan menerpa masuk dan membuatkan semua tulang-temulangku menjadi beku dan ngilu. Akhirnya aku menuju bilik mandi. Aku perlu mandi kerana pagi ini aku perlu sampai awal ke Beast Garage. Demi untuk menyiapkan enjin kereta Iman, anak Tan Sri dari Alor Setar itu. Ada banyak kerja lagi perlu dilakukan ke atas enjin itu. Bukan kerja mudah dan tidak boleh main-main sebenarnya.
Selesai mandi dan mengenakan pakaian, aku mengatur langkah ke luar dari bilik dan menuju dapur. Aku bancuh secawan nescafe. Duduk menikmatinya sekejap bersama 2 keping roti yang disapu mentega. Kemudian aku minum segelas air kosong sebelum melangkah keluar, untuk ke Beast Garage.
Hampir jam 10 pagi, aku tiba di Beast Garage. Aku bertukar sapaan dengan Danny dan Lan. Aku sempat bertanyakan mengenai enjin yang perlu disiapkan sebelum aku naik ke pejabat. Ketika aku membuka pintu pejabat, aku lihat kelibat Amy di hadapan komputer.
"Assalamualaikum bro. Awal hari ni?" Aku sapa Amy.
“Waalaikumussalam. Awal apa nya? Dah nak dekat jam 10 kan?” Amy memusing kerusi pusing itu, mengadap aku.
“Oh, ya lah.” Aku sengeh. Pura-pura tak percaya sambil lihat jam di pergelangan tangan.
“Matahari dah naik, mimpi lagi ke? Ni mesti mimpi best semalam kan? Sampai terbawa-bawa ke sini.”
“Eh, mana ada. Semalam tidur nyenyak. Tak ada mimpi-mimpi.” Aku senyum. Amy gelak besar. Aku tidak berapa jelas tentang sebab dia gelak besar. Tapi seolah-olah faham, aku pun gelak sama. Okey lah kan? Tak salah gembirakan hati di pagi hari kan? Aku melabuhkan punggung di sofa. Menebarkan pandangan di sekeliling bilik pejabat. Tiba-tiba hilang punca sekejap.
“Kenapa diam?” Amy pelik. Aku pun pelik. Tidak tahu kenapa aku jadi tak tahu nak cakap apa. Rasa hendak tanya Amy tentang Cash. Tapi aku rasa macam belum masanya. Aku tidak mahu Amy hilang mood pula sedangkan kami ada kerja penting di bawah sana yang perlu disiapkan mengikut jadual.
“Errr..”
“Oh ya, aku dah call Vincent, machine shop tadi. Dia kata, kalau kita hantar blok Iman tu arini, dalam 2 hari boleh siap. Itu paling cepat dia boleh buat. Dia kata, kalau nak cepat lagi boleh, tapi nanti jangan bising pasal kualiti kerja."
“Hmmm, kalau 2 hari, tak apa lagi kot. Lepas ni aku terus pergi hantar blok tu ke kedai dia la. Piston macam mana? Kau dah order ke belum?"
“Oh, lupa aku nak beritahu kau. Pasal piston yang kita nak guna untuk enjin ni, kita bernasib baik. Piston yang aku order untuk projek enjin aku tu kan tak guna lagi. Kita boleh guna yang tu.”
"Kau sure ke nak bagi dia piston kau tu? Kan piston kau tu custom siap forged lagi? Tak menyesal?"
"Alah, nanti aku order la yang lain. Lagipun aku nak buat spec yang baru. Projek aku tu pun bukan urgent. Bagi je la dia pakai dulu. Nanti kita cas la tinggi sikit."
"Kalau kau dah cakap macam tu, aku tak ada masalah. Nanti lepas hantar blok, aku pergi beli bearing, gasket ngan barang-barang sampingan lain tu.”
“Okey.”
“Eh, Sean mana? Tak masuk ke hari ni?"
"Entahlah, aku call dari tadi tak berangkat. Ada hal lain la tu kot." Amy kembali beralih mengadap komputer. Seolah-olah perkara Sean tak angkat call itu perkara biasa. Mungkin betul ianya biasa. Tapi aku musykil juga. Sean jarang tak angkat call. Ada apa-apa berlaku ke?
"Nantilah aku cuba call dia.” Aku bangun, mahu turun ke bawah.
“Okey.” Amy macam biasa lagi.
“Amy, sebelum aku lupa, nanti kau tolong call minta wiring diagram Haltech untuk kereta aku. Rasa tak sedap pula. Setting lari kot."
"Orait. Eh, kau pakai ECU apa ya?"
"Sport 1000 la. Tolong minta wiring diagram ngan software dia sekali ya.
“Okey.”
“Okeylah. Aku nak pergi machine shop hantar blok anak Tan Sri tu.” Aku meninggalkan Amy dengan kerja komputernya dan turun ke tingkat bawah.
Aku menjengah-jengah mencari Jack. Jack yang selalunya menyimpan bahagian-bahagian enjin pelanggan. Jack seorang yang teliti. Setiap bahagian yang dibuka akan dilabel dan diletakkan setempat supaya mudah dicari dan tidak tertukar dengan bahagian dari kereta lain.
"Jack, blok anak Tan Sri tu mana? Kau yang buka hari tu kan?"
"Ya bos. Sekejap ya bang, aku ambil bawa ke hadapan."
"Nanti kau letak dalam Triton ya. Aku nak jumpa Danny kejap"
Aku mencari Danny. Nampak dia sedang dalam proses menyiapkan kotak gear kereta aku. Berkerut-kerut dahi Danny melihat ratio baru kotak gear kereta aku yang baru sampai dari Singapura semalam. Agaknya dia tak pernah memasang ratio yang sebegitu rumit.
"Danny, kereta aku tu, kau tinggal kejap.”
“Kenapa bang?” Danny pandang aku dengan wajah sejuk beku tanpa apa-apa riak. Danny memang macam tu. Walaupun ribut taufan melanda sekali pun, aku rasa muka dia memang macam itu saja. Tak ada perasaan. Tenang sentiasa.
“Sekarang ni kita fokus untuk siapkan kereta anak Tan Sri tu dulu. Customer nak cepat. Kau ambil piston yang Amy order untuk kereta dia. Cuci, pastu pump siap. Nanti petang aku bawa conrod.”
"Wah!, confirm laju kereta tu pakai piston abang Amy." Walaupun suara Danny macam teruja, tetapi riak wajahnya macam tu juga. Aku tidak faham. Tidak mengapalah. Aku memerlukan pekerja yang berkeupayaan buat kerja, bukannya yang berkeupayaan mempamirkan riak muka yang bervariasi.
“Kembar kamu mana?”
“Lan? Dia pergi buang sampah.”
“Oh.”
Danny sudah berlalu, melakukan kerja yang aku suruh tadi. Aku menuju ke Triton yang diletakkan di hadapan Beast Garage. Aku lihat Jack sudah masukkan blok kereta yang diminta itu ke belakang Triton. Mendengar deruman enjin yang aku kenal, pandangan aku kemudiannya beralih kepada Lancer milik Sean yang baru masuk ke perkarangan Beast Garage. Aku berdiri di sebelah Triton, menunggu Sean keluar dari keretanya. Aku nampak wajah Sean suram dan pucat. Dia mengunci keretanya dan berjalan menghampiri aku.
“Kau okey?” Aku tanya begitu sebab aku lihat dia lain macam.
“Tak berapa okey.”
“Awat?? Siti hilang lagi.”
“Bukan. Lebih serius.”
Aku diam dan tidak terus bertanya. Apa lagi masalah yang lebih serius kepada Sean selain daripada Siti?
“Kau nak bercerita ke?”
“Nantilah. Bukan di sini.” Sean mengalihkan pandangan matanya entah ke mana.
“Okey.” Sean angguk. Aku masuk ke dalam Triton. Memandang Sean. Dia buat isyarat supaya aku pergi. Aku angguk dan terus memandu meninggalkan Beast Garage dengan seribu tanda tanya tentang Sean. Apa lagi yang jadi ni? Kes Amy dan Cash pun aku belum dapat jawapan lagi. Nak tanya, asyik tertangguh-tangguh saja. Datang pula kes Sean yang aneh dan misteri ini.
KHABAR ANGIN.
Aku ada terdengar berita tentang projek rahsia Amy dan Cash daripada sumber-sumber yang boleh dipercayai beberapa hari lepas. Namun aku tidak pasti sama ada Amy tahu atau tidak niat sebenar Cash. Cash ada sejarah bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan yang melakukan pelbagai jenayah berat termasuklah aktiviti perniagaan yang salah di sekitar bandar Kuala Lumpur dan beberapa negeri lain. Dengar khabar, mereka sudah meluaskan kawasan liputan mereka hingga ke Selatan dan Utara. Perkara ini sudah tidak asing di telinga aku. Dulu, aku pernah ditawarkan untuk bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan ini. Aku tolak bila aku dapat menghidu mereka ada melakukan sesuatu aktiviti perniagaan yang aneh dan berisiko. Tidak keterlaluan kalau aku cakap, perniagaan mereka itu salah di sisi undang-undang.
“Lu kena tanya sama lu punya abang itu. Wa talak belani mau cakap ini celita betul atau tipu ma. Tapi wa ala lengar itu macam celita dali wa punya olang yang boleh dipecayai. Lu kasi siasat betul-betul. Kalau itu Amy sangkut, lu punya satu Beast Galage juga sangkut sama ma. Susah mau cari makan kalau itu paku-paku sulah aim sama lu punya galage..”
Paku-paku? Oh, polis. Ish, Jimmy ni. Buat keliru aku je. Tapi masalah ini memang serius. Kalau akan bersangkutan dan memudaratkan Beast Garage dan keluarga Beast Garage, ianya memang serius. Aku tidak boleh ambil mudah. Teringat kata-kata berbau ketakutan daripada Sean ketika mula-mula dapat tahu hal Amy dan Cash;
“Bro, aku tak nak jadi kes bro. Kalau betul Cash umpan Amy puluh-puluh riban untuk kerja dengan dia, buat kereta laju-laju, aku tak kesah sangat. Tapi kalau kereta laju-laju tu diaorang guna untuk transport debu putih tu??” Sean telan liur. “.. kalau kena, masak bro. Sampai kan kita sekali sabit nanti. Aku takut bro.”
“Kau nak takut kenapa? Kita tak buat salah pun. Lagi pun, selagi kita tak dengar dari mulut Amy sendiri, kita tak boleh buat sebarang andaian.”
“Bilanya nak dengar dari mulut Amy? Kau asyik tunda-tunda je nak tanya dia. Aku tak nak nanti dah terlambat.”
“Insyaallah belum terlambat. Nanti aku tanya. Kau ni pun satu. Nak harapkan aku je. Kenapa kau tak tanya sendiri.”
“Aku hormat Amy. Lagi pun macam tak sampai hati nak desak-desak dia dengan soalan macam-macam. Nanti dia kata tak percayakan dia pula. Aku rasa elok kau aje yang tanya. Kau cool. Aku beku..”
Itu perbualan aku dengan Sean beberapa minggu lepas. Dan sehingga hari ini aku masih belum ada masa dan keberanian untuk bertanya. Tidak susah sebenarnya untuk bertanya soalan itu. Tapi yang menjadi susahnya bila orang yang aku hendak tanya soalan itu ialah sahabat baik aku sendiri. Soalan yang bersifat seolah-olah aku tuduh dia mengkhianati aku dan Sean.
..... bersambung
~LoveMeLoveMeNot~
No comments:
Post a Comment