Sunday, 11 December 2011

Cinta Untuk Dijual- # 6~


APA SEMUA NI??


     Selepas aku menghantar blok kereta anak Tan Sri itu ke machine shop dan beli bearing, gasket serta barang-barang sampingan lain, aku terus memandu pulang ke Beast Garage. Ketika aku sampai, waktu sudah menghampiri lewat petang. Beast Garage sudah menghampiri waktu untuk menamatkan operasi hari ini. Aku memandu masuk ke perkarangan Beast Garage dan memarkirkan kereta aku betul-betul di depan kawasan masuk utama Beast Garage. Dah lewat petang. Jadi tak ada masalah kerana tiada customer yang akan datang pada waktu begini. Aku nampak kapcai Amy masih ada di bawah pokok sana. Belum pulang ke rumah lagi ke? Selalunya waktu-waktu begini Amy sudah pulang. Aku pelik. Yang tambah pelik lagi, kereta Sean pula yang tak ada. Sean balik awal? Pelik betul ni.


     “Jack, buat apa lagi tu? Kau tak nak balik ke?” Aku menegur Jack yang masih terbongkok-bongkok menyusun barang di penjuru bengkel.


     “Eh, bos. Terkejut aku. Aku nak susun barang-barang ni sikit lagi. Esok senang nak buat kerja. Abang tak balik lagi ke?” Jack, memang rajin. Dia pekerja yang memang berbaloi untuk dibayar. Satu lagi, dia ni jenis suka hati dia saja nak panggil aku apa. Sekejap bos, sekejap abang. Tapi aku tak kesah. Cuma kadang-kadang aku keliru juga. Sebenarnya aku sudah pesan kepada pekerja-pekerja kami supaya tak perlu panggil aku bos. Tapi suka hati mereka lah. Aku tak ada apa-apa halangan.


     “Aku ada hal sikit. Budak-budak lain dah balik?”


     “Ryan dan aku je yang tinggal bang. Ryan ada kat belakang. Tandas. Dia salah makan. Asyik sakit perut je lepas makan tengahari tadi.”


     “Dia makan apa sampai sakit perut? Keracunan ke?” Aku risau. Bukan buat-buat risau. Tapi aku betul-betul risau dan sentiasa menjaga kebajikan pekerja-pekerja aku.


     “Makan nasi dengan kari ikan mamak. Kuah kari tu dia bubuh banyak-banyak. Dia kan alahan dengan kari mamak. Tapi degil. Nak juga makan. Mengidam katanya.” Jack gelak. Aku senyum sumbing.


     “Hmm, merasalah. Kau pesan kat dia pergi beli ubat sakit perut. Minum air kosong banyak-banyak. Cuci perut.”


     “Cuci perut?”


     “Ye lah.” Aku buat muka confident selepas memberikan petua yang aku sendiri tidak pasti keberkesanannya secara saintifik. Tapi mengikut pengalaman aku, petua tu ok. Ye ke? Hmmm..


     “Bukan minum air teh pekat ke bos?”


     “Boleh juga.” Aku jawab dengan yakin. Aku rasa petua Jack tu lebih logik kot.


     “Baiklah bos.”


     Aku meninggalkan Jack dengan kerjanya dan berjalan menuju ke tangga, mahu naik ke atas, ke pejabat. Sebaik aku melangkah ke dalam pejabat, aku bertembung dengan Amy yang mahu turun.


     “Eh, kau tak balik rumah terus ke?” Amy menegur. Wajahnya sedikit terkejut. Mungkin kerana cara kami bertembung tadi. Yang hampir-hampir membuatkan hidungnya tersondol dagu aku. Nasib baik aku sempat mengelak. Kalau tidak, pasti sudah berlaku perlanggaran yang aneh antara aku dan Amy.


     “Tak. Ingatkan nak ambil barang tertinggal.” Aku beri alasan yang baru aku cipta secara sepontan. Sebenarnya aku pulang ke Beast Garage sebab nak jumpa Sean. Tak sangka Sean sudah pulang.


     “Oh, okey lah. Aku balik dulu ya.”


     “Errr, Amy..”


     “Ya?” Amy menoleh.


     “Aku ada perkara nak bincang sikit dengan kau. Kau ada masa tak?”


     “Perkara apa? Cakap je lah.”


     “Elok kalau kau masuk dan duduk dulu.” Aku pandang Amy. Amy pandang aku, was-was. Dia masuk kembali ke dalam pejabat dan duduk di sofa. Aku tutup pintu pejabat itu. Tidak mahu sesiapa di luar mendengar perbualan kami berdua.


     “Apanya?” Amy yang selalunya cool kelihatan cemas sedikit. Aku tak pelik pun bila lihat Amy cemas sebab mungkin kata-kata aku kedengaran dramatik pada pendengaran Amy sehingga membuatkan dia jadi cemas. Aku duduk pada sofa berdepan dengan Amy. Cuba untuk bertenang kerana aku perlu bertenang.


     “Aku sebenarnya tak suka situasi macam ni. Tapi aku harap kau faham.”


     “Cakap saja lah.”


     “Cash.. Kau ada apa-apa projek dengan Cash ke bro?”


     “Kenapa tiba-tiba kau tanya ni?” Amy resah dan macam tidak suka dengan soalan aku tadi.


     “Aku tanya sebab beberapa minggu lepas, Cash ada call sini cari kau. Masa kau sedang bercuti. Kau ada apa-apa penjelasan ke? Aku bukan hendak mendesak atau nak tuduh kau apa-apa. Tapi sekurang-kurangnya aku harap kau boleh beri jaminan yang Beast Garage tidak akan terbabit dengan kerja-kerja yang melanggar undang-undang.” Aku pandang Amy. Amy diam tetapi mengalihkan pandangannya. “Kita semua tahu siapa Cash. Kau pun tahu. Jadi aku tak nak kau terbabit dengan kerja-kerja kotor dia. Tak mustahil dia ada rancangan jahat, Amy. Kau pun tahu kan dia pernah tak puas hati dengan kita. Dan tak mustahil dia berdendam kan?”


     “Kita? Dia tak puas hati dengan kau saja. Bukan aku. Jadi hal kau dengan dia, tak ada kena mengena dengan aku.”


     Aku diam sejenak. Tidak sangka Amy menjawab begitu. Aku pandang Amy. Agak kecewa bila mendengar kata-kata itu keluar dari mulut seorang kawan yang aku sudah anggap macam abang aku sendiri.


     “Okey, aku minta maaf. Aku tak patut cakap macam tu dengan kau.” Amy kelihatan seolah-olah rasa bersalah. Aku cuba berlagak biasa. Aku tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan walaupun kata-katanya tadi benar-benar mengguris hati aku. “Aku fikir bisnes. Dia minta aku buat 5 buah kereta dia . Itu saja.”


     “Bro, kau tahu kan dia ada record buat kerja-kerja kotor tu semua? Aku.. aku risaukan kau.”


     “Terima kasih sebab risaukan aku. Tapi itu semua aku tak nak ambil tahu. Lagi pun aku buat kerja dengan budak-budak dia. Tak babitkan budak-budak Beast Garage. Ini kerja luar.”


     “Amy..”


     “Dah lah. Aku tahu kau takut. Tapi kau jangan risau. Aku tak akan babitkan orang-orang dalam sini. Lagi pun aku cuma buat kereta dia saja. Yang lain-lain aku tak campur. Aku balik dulu.” Amy bangun dan berlalu keluar meninggalkan aku sendiri dalam bilik pejabat. Aku buntu. Langsung tidak tahu apa hendak fikir saat itu. Macam mana Amy boleh membuat keputusan semudah itu? Semenjak bila dia langsung tidak fikirkan risiko yang akan kami tanggung di Beast Garage ini?


     “Bos, kami balik dulu ya.”


     “Huh?” Teguran dari Jack mengejutkan aku dari lamunan.


     “Kami nak balik dah ni.”


     “Oh, okey. Semua pintu dah kunci? Roller shutter?”


     “Dah bos.”


     “Okey.”


     “See you tomorrow, bos.”


     “Okey. See you..” Aku geleng kepala memandang Jack. Dan kemudian senyum sekadar untuk menutup gelodak hati yang sebenar. Aku tidak mahu pekerja-pekerja tahu konflik yang tidak perlu mereka tahu.



CELARU.


    
     Di rumah, selepas selesai mandi dan melakukan apa-apa yang patut, aku cuba hubungi Sean. Namun panggilan aku sebanyak 2 kali langsung tidak dijawab oleh Sean. Aku malas hendak call banyak-banyak kali. Lagi pun itu bukan kebiasaan aku. Aku biarkan dengan harapan dia akan hubungi aku kembali bila melihat missed call dari aku. Aku melihat jam di dinding. Hampir jam 8 malam. Perut terasa lapar. Langsung aku teringatkan Arisa Hana. Kalau dia senang, mungkin boleh ajak dia keluar makan. Aku capai Blackberry Curveku dan mula menaip-naip SMS.


     Awak kat mana?


     Lima minit kemudian dia membalas; Kat cafe.. Kenapa?


     Aku balas; Belum tutup cafe?

     Arisa Hana; Dah tutup. Tapi saya ada kerja sikit. Kenapa nya ni?

     Aku; Saya lapar.. :'(

     Arisa Hana; Haha.. Kesinnya dia. Datang sini lah. Saya masak..

     Aku senyum sendiri dan lantas membalas; 20 minutes!

     Sampai di Bitter and Sweet Cafe. Aku nampak cahaya terang benderang di laman dan di dalam cafe. Aku juga nampak hanya kereta Arisa Hana sahaja yang ada di laman. Lalu aku parking kereta bersebelahan dengan kereta Arisa Hana. Aku nampak Arisa Hana tercegat di anjung sambil tersenyum. Eh? Tadi tak ada. Tiba-tiba ada pula tercegat di situ. Aneh ni. Nasib baik tidak merupa menjadi nenek kebayan macam dalam cerita dongeng Hansel and Gritel tu.

     “Awak, tolong kuncikan mangga pagar depan tu. Nanti ada pula yang singgah, ingat cafe ni buka lagi.”

     “Okey.”

     “Terima kasih.” Arisa Hana berlalu. Mungkin pergi buat kerja dia lah tu.

     Selepas mengunci mangga, aku menapak ke bahagian anjung cafe. Kemudian aku duduk di kerusi. Aku hela nafas sambil mendongak ke langit. Aku lihat langit yang cerah dengan beberapa butir bintang bertaburan. Nampaknya cuaca baik malam ini. Tiada tanda-tanda akan hujan. Tapi, siapa tahu. Cuaca asyik tidak menentu saja beberapa minggu kebelakangan ini. Sekarang cuaca baik. Dan mungkin 5 minit selepas ini hujan pula. Ya, siapa tahu.

     Aku teringatkan perbualan tegang aku dengan Amy lewat petang tadi. Perbualan tadi benar-benar meletakkan emosi aku dalam keadaan sedikit terganggu. Sean pula hilang entah ke mana. Dari tadi tak ada pun Sean hubungi aku balik. Ke mana pula Sean ni? Aku keluarkan phone dari poket dan cuba hubungi Sean lagi. Masih tidak berjawab. Mana pula mamat ni hilang ni?

     “Kenapa duduk luar? Tak nak masuk dalam?” Arisa Hana muncul dengan menatang dulang berisi secawan nescafe dan sebotol air mineral Spritzer.

     “Rasa nak menikmati udara malam.” Aku letak phone atas meja dan cuba bertenang.

     “Awak okey ke?”

     “Saya nampak tak okey ke?”

     “Sikit.” Dia senyum. Aku hela nafas. “Betul tak nak duduk dalam ni?”

     “Hmmm.. Kat luar best. Ada angin.”

     “Asalkan awak bahagia.” Arisa Hana senyum lucu. “Minum dulu ya. Kejap lagi makanan siap.” Dia letak secawan nescafe dan botol air mineral tadi di atas meja, di depan aku.

     “Yang lain semua dah balik ke?”

     “Zoey ada kat dapur. Tengah kaji nisbah dan buat eksperimen.”

     “Resepi baru ke?”

     “Ha'ah. Bulan depan kami nak buat 5 produk baru.”

     “Zoey yang buat? Bukan selalu awak dengan Helen ke buat?”

     “Saya suruh dia cuba buat satu. Budak tu ada bakat dan idea. Tak salah bagi dia cuba. Err, sekejap ya. Saya siapkan hidangan untuk awak.”

     “Okey.”

     Arisa Hana berlalu. Aku hanya memerhati dia berlalu dan kemudian aku kembali mendongak memadang langit.

     “Hai abang Haris!!”

     “Errr, hai!” Terkejut aku. Entah dari mana si Zoey ni muncul, aku pun tidak tahu. Terkejut aku dibuatnya. “Jangan sergah-sergah abang macam tu boleh tak? Nasib baik tak ada lemah jantung tau.”

     “Sebab Zoey tahu abang tak ada lemah jantung la, Zoey sergah. Zoey tahu abang Haris sehat dan kuat! Hahahaha..”

     “Pandailah kamu membodek. Eh, bukan ke kena buat eksperimen kat dapur?”

     “Ya. Tapi penat. Nak rehat sekejap. Dah 3 jam tahu Zoey duduk kat dalam dapur tu tak keluar-keluar. Habis kaki, tangan, pinggang ni kejang-kejang.”

     “Elok lah tu. Orang perempuan memang kena belajar duduk kat dapur lama-lama. Cerah masa depan. Mak mertua sayang.”

     “Abang Haris perli ya?”

     “Perli apanya? Betul lah. Hari ni buat resepi apa?”

     “Rahsia. Tapi sebab abang Haris ni handsome dan baik hati, Zoey beritahu..”

     “Zoey...” Arisa Hana muncul.

     “Alamak! Kakak tiri dah datang. Zoey masuk dulu. Abang Haris tanya la resepi baru tu kat kak Arisa Hana. Bye bye..” Zoey berlari anak masuk ke dalam. Sempat dia mencuit pinggang Arisa Hana dan hampir-hampir membuat Arisa Hana melompat terkejut. Nasib baik dulang yang ditatang masih kukuh di tangannya. Aku pula naik risau dan hampir terbangun dari kerusi ingin menolong Arisa Hana mengimbangi badan. Tapi tuan empunya badan lebih cekap mengawal keadaan..

     Zoey ialah adik kepada Helen. Tetapi hubungan dia dan Arisa Hana sudah seperti adik beradik dan sangat rapat. Malah, dari pandangan mata aku, Zoey lebih rapat dengan Arisa Hana berbanding Helen, kakaknya sendiri.

     “Nakal tak tentu pasal.” Arisa Hana mengomel tentang kenakalan Zoey.

     “Awak lah punca dia nakal.”

     “Dia bernasib baik sebab Helen tak ada. Kalau tidak, memang dah kena tarik telinga dengan kakak dia tu.” Sambil itu tangannya menghidangkan pinggan-pinggan yang berisi perlbagai makanan di atas meja, di depan aku. “Hmmm, silakan.” Arisa Hana melabuhkan punggung di kerusi berdepan dengan aku.

     “Wah, macam-macam ada ni. Betul awak masak ke beli ni?”

     “Assalamualaikum. Saya masak sendiri okey.” Dia cebik.

     “Waalaikumussalam. Boleh percaya ke?” Aku sengeh.

     “Tak nak percaya sudah. Tak ada paksaan.”

     “Alah, merajuk pula.”

     “Tak ada maknanya nak merajuk.”

     “Itu merajuk lah tu. Ya lah. Saya percaya. Gurau sikit pun tak boleh.”

     “Hmmm..” Arisa Hana malas hendak melayan pujukan bodoh aku.

     “Tak ajak Zoey makan sekali?”

     “Dia kata dia diet.”

     “Hahaha.” Aku ketawa. Sebab tak tahu nak komen apa bila Arisa Hana kata Zoey diet. Zoey mungkin perlu diet kalau dia mahu muat memakai skinny jeans.

     “Jom kita makan.”

     Kami menjamu selera dengan Spaghetti Carbonara, Grilled Chicken Salad dan hidangan sampingan iaitu beberapa jenis roti dan sup cendawan. Makan malam yang sungguh “meriah” dan tenang berbumbung langit malam yang cerah dan beberapa butir bintang bertaburan.



     “Jauh mengelamun Encik Haris?” Arisa Hana memulakan perbualan setelah hampir 10 minit kami berdiam diri. Aku diam kerana di dalam kepala aku sedang memikirkan tentang Amy dan Sean. Arisa Hana pula diam, mungkin sebab dia sedang memerhatikan aku yang hanya berdiam diri sambil menikmati Spaghetti Carbonara yang sedap ini.


     “Huh? Err, sedap.” Aku tidak tipu. Memang sedap dan rasanya cukup seimbang.


     “Apa yang sedap?”


     “Carbonara ni.. sedap. Sampaikan saya kusyuk menikmatinya. Awak boleh buka restoran masakan Itali suatu hari nanti.”


     “Ya lah tu.”


     “Betul lah.” Aku terus menyuap Spaghetti Carbonara ke mulut.


     “Kalau nak tambah, ada lagi.” Dia senyum.


     “Okey.” Aku senyum juga. Aku langsung buntu untuk mencipta topik perbualan ketika ini kerana fikiran aku sedikit bercelaru.


     “Family awak okey?”


     “Hmm, Alhamdulillah semuanya okey.”


     “Garage?”


     “.. pun okey.”


     “Oh ya, Sean ada datang sarapan kat sini pagi tadi.”


     “Ya ke?” Tiba-tiba aku jadi teruja. Banyak sebab membuatkan aku teruja dengan apa yang Arisa Hana beritahu itu. Pertama, Sean bukan suka sarapan di luar. Dia selalu sarapan di rumah dia. Jadi kenapa tiba-tiba pagi ini dia sarapan di sini? Kedua, semasa Sean tiba di Garage pagi tadi dengan wajah sugul, mesti selepas dia bersarapan di sini. Adakah punca Sean sugul ialah Arisa Hana? Ketiga, yang aku sangat-sangat jelas, Sean suka Arisa Hana. Adakah Sean telah membuat pengakuan yang dia suka Arisa Hana? Dan dia sugul sebab Arisa Hana menolak? “Sean datang makan apa pagi tadi?” Ish!! Apa punya soalan aku tanya ni?


     “Makan Sweet Scone dengan kopi Java.”


     “Awak ingat?” Apa aku merepek ni? Adakah soalan aku ini berbaur cemburu? Harap-harap Arisa Hana tidak syak apa-apa.


     “Kalau saya yang ambil order, saya ingat lah. Atau mungkin saya ingat sebab Sean tu kawan awak.”


     “Oh.. Kalau bukan kawan saya?”


     “Tengok keadaan lah. Biasanya saya ingat. Tapi kadang-kadang lupa juga. Yang awak tanya Sean makan apa tu kenapa?”


     “Err, saja.”


     “Kamu berdua okey ke?”


     “Okey. Kenapa awak tanya macam tu?”


     “Sebab riak muka Sean pagi tadi, sama macam riak muka awak masa sampai sini tadi. Monyok, mendung, macam ada masalah. Awak boleh bercerita dengan saya kalau awak nak.”


     “Tak perlu lah. Nanti menyusahkan awak pula. Lagi pun bukan masalah serius pun. Dan yang penting, saya tak ada apa-apa masalah dengan Sean. Kami cuma berhadapan dengan masalah yang sama di Garage. Itu saja. Beberapa hari lagi selesailah.”


     “Awak tahu tak apa bezanya lelaki dan perempuan bila berdepan dengan masalah?”


     “Tak berapa tahu.”


     “Okey, dengar saya cerita. Sambil tu awak makan.” Arisa Hana letak sudu dan garfu walaupun spaghettinya masih berbaki di dalam pinggan.


     “Oh, okey. Silakan. Tapi awak pun, makan lah. Tak habis lagi tu.”


     “Dengar..”


     “Baiklah.”


     “Perempuan, kalau ada masalah, memang senang boleh dikesan oleh orang sekeliling. Tetapi lelaki, sebaliknya.”


     “Jadi?”


     “Jadi, dalam kes awak dan Sean ni, ianya jelas boleh dikesan dan dilihat yang kamu berdua memang ada masalah.”


     “Jadi?”


     “Bila ianya jelas kelihatan, bermakna masalah yang kamu berdua sedang hadapi itu ialah masalah besar. Sangat besar.” Arisa Hana meletakkan beberapa keping Grilled Chicken dan beberapa helai daun salad, lada benggal, potongan bawang dan potongan tomato ke dalam pinggan aku.


     “Oh..” Aku no komen. Mungkin betul teori Arisa Hana itu. Tapi tak kan aku nak beritahu masalah di Beast Garage kepada Arisa Hana? Masalah dengan Amy?? Tak perlu lah. Aku rasa tidak perlu untuk aku membebankan fikiran gadis ini dengan masalah kami. Langsung aku menyuap Grilled Chicken pula ke dalam mulut dan mengunyahnya. Saladnya aku abaikan buat sementara.


     “Oh saja?”


     “Sebenarnya Sean tengah mabuk bercinta.” Oh tidak! Apa aku cakap ni? Perlu ke Arisa Hana tahu Sean sedang mabuk bercinta? Apa motif aku beritahu dia? Adakah dengan niat supaya Arisa Hana tahu yang Sean sudah ada teman wanita dan dengan harapan supaya Arisa tidak melayan Sean kalau Sean cuba menggatal dengan Arisa Hana?


      “Bermakna awak pun tengah mabuk bercinta juga lah ni? Patutlah sama saja pesennya.”


     “Eh, bukan.” Ah, sudah! Dia tuduh aku mabuk cinta juga. Padan muka aku.


     “Awak tahu tak?”


     “Tak tahu.”


     “Jatuh cinta ini boleh mmbangkitkan aktiviti otak yang menyerupai campuran kegilaan, demensia dan sikap keterlaluan. Dalam erti kata lain; ANGAU.. bahaya tu!!”


     “Angau? Hmm, bahaya tu. Saya setuju.”


     “Jadi, siapa gadis yang bertuah tu?”


     “Namanya Zulika.”


     “Wow, cantik namanya. Mesti cantik juga rupanya kan?” Mata Arisa Hana bercahaya. Biar betul? Tak kan gembira bukan main lagi bila aku bercerita tentang Zulika?


     “No komen. Itu awak kena tanya Sean.”


     “Sean? Saya tanya gadis bertuah yang berjaya mencuri hati awak la. Bukan Sean.”


     “Eh, saya mana ada. Gadis bertuah mana? Tak ada.. tak ada..” Aku keliru dengan soalan itu.


     “Bukan awak pun sedang angau bercinta ke?”


     “Eh, bukan. Awak dah salah faham. Lain kali dengar dan faham betul-betul bila saya bercerita. Demi untuk mengelakkan ralat yang macam ni la. Jelas?”


     “Jelas.” Arisa Hana mencebik. “Apa-apa entah. Habis kalau awak tak angau, kenapa awak monyok macam Sean?”


     “Ceritanya lain. Nanti saya cerita bila masanya.”


     “Tak best lah awak ni.”


     “Kenapa? Sebab saya tak layan bergosip dengan awak? Dah, habiskan makanan ni. Tak kan nak harapkan saya makan semua ni?”


     “Ya lah.” Arisa Hana pandang aku sambil memoncongkan mulutnya. Macam cencurut. Merajuk campur marah kot.


     Makan malam berakhir hampir jam 10 malam. Aku bantu Arisa Hana mencuci pinggan di dapurnya walaupun dia menolak dan menyuruh aku pulang saja. Macam tidak manis pula kalau aku terus pulang. Sudahlah makan free. Jadi apa salahnya aku tolong cuci pinggan kan? Zoey pula cakap aku sweet sebab tolong cuci pinggan. Aku gelak besar. Aku cuci pinggan bukan sebab aku sweet. Tapi sebab aku ini bermoral dan berhati perut. Arisa Hana juga tumpang gelak sebab dia rasa lucu bila Zoey cakap aku sweet. Sweet ke? Hahaha..


     Zoey yang sedang diet itu masih ceria melayan eksperimennya dengan pelbagai jenis bahan dan tepung-tepung. Sempat dia memperkenalkan kepada aku beberapa jenis tepung. Pada mata kasar, tepung-tepung itu kelihatan sama saja pada aku. Tetapi sebenarnya, fungsi dan kegunaan setiap satunya berbeza-beza. Aku kagum dengan minat dan kepintaran Zoey itu. Lihatlah siapa gurunya? Aku kagum dengan Arisa Hana juga.


     Malam itu aku pulang ke rumah dengan perut yang kenyang dan dapat melupakan sejenak masalah yang sedang aku fikirkan.




DINGIN.


     Bunyi panggilan masuk mengejutkan aku dari tidur. Aku meraba-raba meja sisi, cuba mencari Blackberry Curveku dengan mata yang masih terpejam. Aduh, tertekannya. Siapa pula yang call lewat-lewat ni?


     “Hello?” Aku menjawab dengan suara yang lunyai. “Huh?? Kau buat apa kat depan guard house tu?” Aku bangun terduduk. “Okey, sekejap.” Lantas dengan keadaan yang separuh mamai, aku gagahkan diri untuk bangun meninggalkan katil empuk, bantal gebu dan selimut lembut aku itu. Aku raba-raba dinding mencari suis lampu. Selepas menghidupkan lampu, aku keluar dari bilik dan menuju pintu utama. Aku tekan butang interkom dan menyuruh guard di bawah membenarkan Sean naik ke rumah aku. Selang 15 minit, Sean sudah berada di depan pintu rumah aku. Aku pandang Sean atas bawah bila melihatkan penampilan Sean yang tidak seperti biasa. Biasanya dia segak dan wangi. Tapi sekarang?? Hutan paya mana pula mamat ni pergi redah ni?


     “Kau ni kenapa? Mana kau pergi? Aku call kau banyak kali tak angkat.”


     “Buka la grill ni dulu. Nanti aku cerita.”


     “Jam berapa dah ni bro? Kenapa tiba-tiba kau datang rumah aku ni? Kau tak mengantuk ke?” Aku tutup grill dan pintu selepas Sean melangkah masuk ke rumah aku. Sean dengan selamba terus menuju dapur dan membuka peti sejuk. Aku nampak dia capai setin Coke. Membuka tin itu dan meneguk isinya. Kemudian dia terbatuk-batuk. Tersedak air Coke.


     “Itulah. Minum tak baca Bismillah.”


     “Dah baca dalam hati.” Dia jawab. Aku gelang. Malas hendak layan. Aku duduk di sofa, capai bantal kusyen dan memeluknya sebab aku sejuk.


     “Ada apa kacau aku ni? Muka kau dengan baju tu, comot hitam-hitam. Kau pergi redah sungai minyak mana? Baik kau jangan duduk atas sofa aku ni.”


     “Pinjamkan aku towel, Ris. Aku nak mandi.”


     “E'eh dia ni. Rumah kau tak ada air ya? Ini yang datang kacau aku pagi-pagi buta ni kan? Nak tumpang mandi? Rupa tu dah macam kucing jantan baru balik dari mengawan. Kau tahu?”


     “Mana aku tahu.”


     “Kau tanya Siti.”


     “Bagi lah aku pinjam towel. Aku nak mandi dulu. Aku ada cerita nak beritahu kau ni.”


     “Cerita apa?”


     “Nanti aku cerita. Aku nak mandi dulu. Kau tak bagi aku duduk atas sofa kau. Jadi tak kan kau nak suruh aku bercerita sambil berdiri? Ini bukan sesi bercerita macam kat sekolah tu.”


     “E'eh, banyak pula cakap dia ni. Lantai tu ada. Duduk la.”


     “Sampai hati kau, Ris. Kau tak kesian kat aku ya? Aku baru lepas redah 3 hutan bakau tau.”


     “Hey, ada-ada je lah dia ni. Sekejap.” Aku berlalu ke bilik tamu. Aku buka almari dan keluarkan sehelai tuala. Kemudian aku melangkah kembali ke ruang tamu. “Nah.” Aku hulur tuala kepada Sean.


     “Terima kasih. Aku mandi sekejap ya.”


     “Hmmm.” Sempat aku melihat Sean berlalu. Bukan dengan niat mahu meng”usha” dia dari belakang. Tapi aku terfikirkan perkara-perkara pelik yang dia telah lalui sehinggakan dia muncul di rumah aku dengan pakaian yang kotor macam itu. Oh, lupa pula nak ambilkan pakaian untuk Sean. Tak kan nak suruh dia bertuala saja nanti. Lain macam pula. Lantas aku masuk ke bilik dan mengambil sehelai t-shirt dan kain pelikat. Aku letak dalam bilik tetamu. 15 minit kemudian Sean selesai mandi. Aku sudah tersengguk-sengguk atas sofa.


     “Baju kat dalam bilik tu.”


     “Terima kasih.” Yang bagus nya tentang Sean ini, banyak. Salah satunya, dia seorang lelaki yang sopan santun. Sampaikan dengan aku pun nak berterima kasih bagai. Aku keliru juga kadang-kadang dengan dia ni. Selang beberapa minit dia keluar siap memakai t-shirt dan kain pelikat. “Ada makanan tak? Aku lapar lah.” Sean sengeh sambil menggosok-gosok perut sendiri.


     “Heeeeyyyyy, kau ni. Pergi tengok kat dapur lah. Roti ada. Biskut ada. Maggie pun ada. Kau pilih je lah apa yang kau nak makan.”


     “Order McD boleh?”


     “Suka hati kau lah labu.” Aku malas hendak layan. Jenuh dah aku tunggu dengan menahan rasa mengantuk ni.


     “Aku gurau je. Aku makan roti kau dengan jem ni ya.”


     “Makan lah. Sambil-sambil tu cerita apa yang kau nak cerita tu. Pasal apa? Pasal Zulika?” Aku teringatkan kata-kata Arisa Hana ketika di cafe;


     Jatuh cinta ini boleh mmbangkitkan aktiviti otak yang menyerupai campuran kegilaan, demensia dan sikap keterlaluan. Dalam erti kata lain; ANGAU.. bahaya tu!!


     Agaknya sebab itu Sean comot bukan main tadi. Sebab angau ke?

     “Bukan.” Sean menidakkan bila aku petik nama Zulika.

     “Habis tu? Ke Siti lagi?”


     “Bukan juga.” Sean duduk di bar counter sambil mengunyah roti yang disapu jem Blueberry.


     “Habis tu?”


     “Pasal Cash dan Amy. Aku pergi menyiasat mereka dua tiga hari ni.”


     “Huh? Kau biar betul Sean?” Aku terkejut. Terus jadi tidak mengantuk. Langsung aku bangun menghampiri bar counter dan duduk mengadap Sean. “Cerita la.”




.... bersambung



~LoveMeLoveMeNot~

No comments:

Post a Comment