KETIDAKSELESAAN JIWA.
Awal pagi tadi, selepas dengar cerita pengalaman “adventure” Sean yang menyiasat aktiviti projek Amy dan Cash, aku terus rasa tak sedap badan. Rasa macam hendak demam. Aku juga tidak dapat melelapkan mata bila memikirkan apa yang Amy fikir ketika dia terima tawaran dari Cash untuk buat kerja tu semua? Apa masalah dia? Dia tidak fikir tentang risiko yang dia akan hadapi ke? Tak kan Amy tak fikir tentang keluarga dia? Aku pelik. Langsung aku tidak pasti jam berapa baru aku terlelap.
Sekarang, aku terjaga dari tidur. Terjaga bila dikejutkan oleh Sean. Semalam, selepas selesai sesi bercerita, dia langsung terlelap di sofa, di ruang tamu rumah aku. Aku biarkan saja. Tak kan nak kejut, halau dia balik kan?
“Dah pagi ni Ris. Bangunlah.” Sean cuit-cuit lengan aku. Aku buka mata dan nampak Sean tercegat di tepi katil sambil tersengeh. Dia nampak macam sudah mandi. Dan dia sedang pakai t-shirt dan jeans CK aku. Aduh.. Jeans CK aku!! Bau wangi menusuk ke dalam hidung aku. Aku kenal bau tu.
“Aku pinjam t-shirt dan jeans kau. Jeans ni selesa betul.”
Aku pandang Sean. Mahunya tak selesa? CK tu bro!! Nak dekat 3K sehelai harganya tu. Limited Edition!! Namun kata-kata itu hanya bermain dalam kepala aku. Malas hendak bercerita dengan Sean. Aku hela nafas berat.
“Dan aku guna cologne kau ni...”
Haaaa, kan?? Aku dah agak dah bau tu.
“... sorry ya Ris. Aku guna dulu baru cakap. Sebab tak nak kacau kau tidur tadi. Tapi cologne kau ni wangilah. Aku suka.”
“Wangi ke? Aku rasa tak lah wangi.” Jawapan dalih sebenarnya tu. Aku masih bengang bila lihat jeans CK aku yang Sean pakai. Jeans CK aku! Jeans bertuah aku tuuuuu...
“Kau ni biar betul, Ris? Wangilah bro. Ada satu perasaan yang sukar digambarkan bila aku bau cologne ni. Aku ingat nak pergi beli juga satu. Kau beli kat mana? Apa jenamanya ya? Aku tengok botol ni tak ada label.” Sean tersengeh sambil menunjukkan botol cologne itu. Dah serupa macam buat iklan wangian. Tapi sah-sah Sean fail. Faizal Tahir lagi berbakat walaupun aku rasa aksi Faizal Tahir agak lucu dalam satu iklan wangian itu. Yang jenamanya, kamu-semua-tahu-tahu-sendiri-lah.
“Tak ada jenama.” Aku tolak selimut. Bangun dari baringan dan duduk di birai katil. Aku menarik nafas dalam, beberapa kali. Kepalaku rasa sedikit berat. Mungkin sebab tak cukup tidur dan masih ada rasa macam hendak demam. Tekak aku rasa kering. Aku capai botol mineral yang isinya masih berbaki di atas meja sisi, di tepi katil aku. Aku buka dan teguk habis isinya.
“Tak ada jenama? Macam mana boleh tak ada jenama? Mana kau dapat ni?”
Arrgghh!! Aku tertekan dengan soalan-soalan Sean. Ada juga yang kena flying kick pagi-pagi ni karang. Tapi sebab memikirkan mamat Sean ni kawan baik aku, maka aku cuba bersabar di pagi hari yang tidak berapa nyaman ini.
“Itu bukan cologne. Itu bauan untuk tujuan eksperimen.”
“Hah? Ekperimen apa?” Sean tunjuk muka keliru.
“Eksperimen untuk mengkaji persamaan manusia dan kambing.”
“Hah? Ada ya eksperimen macam tu? Manusia dengan kambing tak sama la bro. Nak kaji apa lagi?”
“Bukan persamaan secara fizikal atau jenis.”
“Habis tu?”
“Nafsu.”
“Hah?” Sean buat muka terkejut.
“Dia orang nak cari persamaan nafsu manusia dan kambing.”
“Ya ke? First time aku dengar ni.”
“Ya. Projek eksperimen ni rahsia. Tapi sebab kau dah cuba dan tahu, mungkin kau boleh jadi salah seorang daripada subjek eksperimen rahsia ni.”
“Bagus juga tu. Jadi, apa keputusan yang didapati daripada subjek-subjek yang lain?”
“Subjek yang rasa bauan dalam botol tu wangi, mempunyai kecenderungan nafsu yang sama macam kambing. Bila subjek itu bernafsu macam kambing, dia hanya akan tertarik kepada jenis yang kambing-kambing juga. Jadi kesimpulannya, kau cakap bauan tu wangi kan? Maka nafsu kau macam kambing Jelas? Dah.. Aku nak mandi.”
“Hah? Biar betul.. Ris?? Eh, betul ke? Haris.. Wei, Ris..”
Aku bangun mencapai tuala dan melangkah masuk ke dalam bilik mandi. Malas hendak melayan Sean. Dalam bilik mandi, aku senyum sorang-sorang. Seronok dapat kenakan Sean pagi-pagi ni. Hilang sekejap sakit kepala aku ni. Itu balasan kepada Sean yang pakai jeans CK aku tanpa minta kebenaran aku dulu. Apa-apa entah si Sean tu.
Sebenarnya cologne aku yang Sean guna itu ada label jenamanya. Tetapi botol asalnya sudah retak dan hampir pecah akibat aku cuai, aku terjatuhkannya. Disebabkan aku sayang dan sukakan baunya, maka aku tukar botol cologne itu kepada botol baru. Sebab itu botolnya tidak berlabel. Tak sangka boleh beri peluang untuk aku kenakan Sean pagi ni. Nasib dia lah.
Selesai mandi dan bersiap apa yang patut, aku ajak Sean keluar bersarapan di luar. Walaupun pada asalnya Sean kata dia hendak masak scrambled eggs yang diberi nama- Scrambled Eggs ala Sean. Sedap untuk dimakan dengan roti katanya. Aku suruh dia lupakan niat dia hendak memasak resepi ala Sean dia tu. Aku rasa lebih baik kami pergi sarapan di luar. Aku rasa idea untuk bersarapan dengan roti telur ala mamak lagi menarik dari scrambled eggs ala Sean. Tetapi Sean tak nak sarapan di kedai mamak. Katanya, dia nak sarapan di Bitter and Sweet Cafe. Aku hela nafas panjang, ala-ala mengeluh. Meluat bila lihat Sean buat muka gembira yang lain macam bila dia sebut Bitter and Sweet Cafe.
SWEETNYA BITTER AND SWEET CAFE.
Sean pandu Lancer dia sebab aku masih rasa sedikit pening dan tak ada mood untuk memandu. Aku diam sepanjang perjalanan. Sean pula membuka cerita tentang Amy. Aku dengar saja dia bercakap tentang teori dan ramalannya. Aku malas hendak menyampuk walaupun aku rasa ada sesetengah teori dan ramalannya tu betul. Apa yang pasti, segalanya sudah jelas sekarang. Memang sah Amy ada buat kerja dengan Cash. Ianya tidak salah jika Amy hendak cari pendapatan lebih dengan menerima job dari Cash. Tapi yang salahnya, bila memikirkan risiko yang bakal menunggu Amy jika perkara yang tidak sepatutnya berlaku, akan berlaku. Dan yang memeningkan kepala aku lagi ialah, jika risiko itu akan melibatkan Beast Garage juga. Aku hela nafas. Semenjak akhir-akhir ini aku asyik menghela nafas dan mengeluh secara senyap-senyap. Kerana aku tidak suka bercerita seperti mamat Sean di sebelah aku ini.
Kami tiba di Bitter and Sweet Cafe. Tidak tahu kenapa, setiap kali aku datang ke cafe itu, aku rasa satu macam ketenangan. Ianya masih misteri. Mungkinkah kerana suasana persekitaran dan rekabentuk cafe yang menepati citarasa aku? Atau mungkin sebab aku tahu siapa yang akan aku jumpa bila aku masuk ke dalam cafe itu? Aku sempat melirik jam di pergelangan tangan. Pukul 9.15 pagi. Perkarangan Bitter and Sweet Cafe hampir penuh dengan kereta-kereta pengunjung yang datang untuk bersarapan atau sekadar minum-minum. Sean parking Lancernya hampir dengan pagar utama. Jadi kami perlu berjalan sedikit untuk masuk ke cafe itu.
“Tak nampak pun kereta Arisa Hana.” Sean melilau. Aku pandang Sean. Tanpa berkata apa-apa aku membuat isyarat, menunjuk dengan menggunakan hidung aku ke arah kereta Arisa Hana yang sedikit tersorok di antara kereta-kereta pengunjung cafe itu. “Oh, ada. Ingat tak ada.”
“Kenapanya cari kereta dia?”
“Saja.”
“Jangan lupa Zulika.”
“Zulika? Hmmm, Zulika tu.. aku masih belum buat apa-apa keputusan tentang hubungan aku dan dia.”
“Maksud kau?”
“Aku suka dia. Tapi aku tak ada feel dengan dia. Mungkin kena ambil masa. Lagi pun aku rasa sedikit tertekan bila dia asyik suruh aku masuk meminang. Kenal pun tak sampai 2 bulan, macam mana aku nak masuk meminang?”
“Masalah betul kau ni.” Kami melangkah ke bahagian anjung cafe. Aku lantas mengatur langkah ke penjuru anjung. Sean mengekori. Seperti biasa, dia memang tidak kesah kat mana pun kami duduk. Tidak sampai seminit, pelayan cafe menghampiri kami. Aku kenal pelayan itu. Namanya Luke atau Lukman.
“Wah, lama tak jumpa abang Haris.” Kami berjabat tangan.
“Cuti ke sekarang?”
“Ha'ah.” Luke sengeh.
“Ini Luke. Adik sepupu Arisa Hana.” Aku memperkenalkan Luke kepada Sean. Mereka berjabat tangan juga.
Luke sempat menanya khabar aku dan kami berbual-bual sedikit. Dia sempat bercerita tentang motor berkuasa tinggi yang baru dihadiahkan oleh bapanya. Sudah lama dia idamkan motor itu. Dulu, selalu sangat dia menyebut-nyebut impian dia untuk memiliki motor itu kepada aku. Aku layankan semangat dan jiwa mudanya itu. Biasalah. Aku pun pernah bersemangat dan berjiwa muda sepertinya satu ketika dulu. Ketika darah masih panas menggelegak. Sekarang pun darah aku masih panas. Tapi tidak lah menggelegak. Darah aku panas dan terkawal.
Luke kadang-kadang akan ada di cafe ini kalau dia ada masa free atau tidak ada kelas atau sedang bercuti seperti sekarang. Luke seorang lelaki muda yang baik dan boleh diharap. Dia suka membantu tanpa meminta apa-apa balasan dan langsung tidak pernah merungut. Itu kata Arisa Hana.
“Abang Haris dan abang Sean nak order apa?”
“Apa yang special dan best hari ni?” Sean bertanya sambil silang kaki. Aku tidak gemar betul tengok cara Sean silang kaki. Macam gaya perempuan. Menyilang kaki dengan gaya perempuan dan memakai jeans CK bertuah aku? Hmmmm...
“Hari ni kami ada Bitter Panettone.. Resepi baru kami. Hari ini, first day kami perkenalkannya.”
“Bitter? Bukan selalu Panettone manis ke?”
“Memang bang. Tapi ini resepi baru kami. Di luar manis, tapi di dalam ada inti rasa pahit sikit..”
“Macam mana nak makan kalau pahit?” Sean musykil, langsung memotong kata Luke.
“.. abang jangan bimbang. Kami taburkan icing sugar sebagai toppingnya. Jadi ia nampak seperti salji si atas atap bumbung rumah.”
Atap bumbung rumah? Aku kerut dahi. Betul ke Luke ni? Aku pandang Luke yang masih terus memberi penerangkan tentang resepi baru Panettone itu kepada Sean. Melihatkan riak wajah Sean yang serius dan kagum itu, aku rasa hendak ketawa. Tapi aku lupakan niat untuk ketawa dan kembali menumpukan perhatian kepada penerangan Luke.
“...Abang pasti suka bila menikmatinya nanti. Lebih-lebih lagi bila dinikmati dengan Latte.”
“Oh. Ya ke? Apa inti di dalamnya?”
“Dark Chocolate yang cair dan bertekstur lembut.”
“Okey. Abang percayakan kau. Bagi abang satu. Dengan Latte.”
“Abang Haris?”
“Croissant dengan Cappuccino.”
Luke mengangguk sambil menulis. Kemudian tersenyum sebelum berlalu.
“Luke, sekejap.” Sean tiba-tiba memanggil.
“Ya bang?”
“Kak Arisa Hana ada?”
“Oh, ada. Nanti saya panggilkan ya.”
“Okey. Bagus.. bagus.. Kau bakal jadi adik kesayangan abang nanti.” Sean sengeh dan Luke... juga sengeh. Luke sengeh confused sebenarnya. Kemudian berlalu.
“Kau ni kenapa?” Aku tanya Sean. Dia nampak ceria bukan main sekarang ni. Aku sendiri tidak faham.
“Aku rasa cologne eksperimen kau tu tadi memang memberi kesan yang positiflah kepada mood aku. Aku rasa macam sedang “bernafsu” dan teruja.”
“Kau ni biar betul.” Aku pandang Sean, pelik campur bimbang. Biar betul mamat ni sedang bernafsu?
“Tak sangka kan manusia boleh bernafsu seperti kambing?”
“Wei, sudah-sudahlah tu. Jangan nak kambing sangat. Kau tu manusia. Jadi, tolong berkelakuan seperti manusia.. yang waras.”
“Aku tak sangka, macam ini rupa-rupanya rasa kambing sedang bernafsu. Rasa tenang dan langsung tidak ada tekanan. Rasa happy.”
“Apa-apa saja lah. Tolong kawal nafsu kau tu sikit.” Betul ke Sean sedang bernafsu ni? Haru!!
“Ris, kau tak suka dan tak guna cologne tu kan? Kau bagi aku boleh? Aku rasa baunya sesuai untuk aku. Bukan senang nak cari pewangi yang boleh hilangkan tekanan.”
“Tak boleh. Itu masih dalam proses eksperimen. Nanti...”
“Hai..” Sean tiba-tiba melambai dan langsung memotong kata-kata aku. Aku memandang ke arah yang Sean lambai. Hmmmmmmm!! Aku nampak Arisa Hana berjalan menghampiri kami sambil menatang sebuah dulang. Pastinya berisi pesanan kami tadi.
“Berdua pula hari ni?” Arisa Hana tersenyum memandang Sean. Kemudian memandang aku. Sambil tangan menghidangkan pesanan kami tadi. Seperti sudah sedai maklum. Dia letak croissant dan cappuccino di depan aku.
“Berdua lebih baik, Cik Arisa Hana” Sean menjawab. Dia masih tersengeh memandang Arisa Hana, Tanpa menghiraukan Bitter Panettone dan Lattenya.
“Ya, berdua lebih baik. Silakan makan.”
“Terima kasih Arisa Hana.” Sean sengeh lagi.
“Awak okey?” Arisa Hana memandang aku dan bertanya.
“Hmmm..” Aku angguk. Kemudian menghirup perlahan cappuccino.
“Arisa Hana tak nak tanya saya okey ke tidak ke?” Sean menyampuk.
“Awak nampak okey. Ceria.”
“Arisa Hana pun nampak okey. Cantik.”
Aku pandang Sean pelik. Dia ni biar betul. Apa dah jadi dengan Sean? Adakah cologne itu benar-benar memberi kesan bernafsu kepada Sean. Habis!! Namun aku biarkan. Terus menjamu selera dengan croissant yang aku sapu mentega.
“.. silakan duduk.” Sean bangun, menarik kerusi untuk Arisa Hana.
“Terima kasih.” Arisa Hana duduk dengan wajah tersenyum tetapi keliru dengan perangan pelik Sean.
Aku hanya memerhatikan gelagat Sean yang tidak seperti biasa. Sean yang selalunya bersopan dan pemalu, jadi miang pula pagi ni. Aku jadi musykil.
“Arisa Hana dah sarapan? Orderlah. Saya belanja. Tadi Luke kata Bitter Panettone ni sedap. Saya pun terus order satu.”
“Ya, saya tahu Panettone tu sedap.”
“Macam mana Arisa Hana tahu sedap?”
“Sebab saya dah cuba makan.”
“Ooohhh. Bila tu makan? Luke kata ini resepi baru?”
“Sean, itu resepi saya. Jadi saya dah cuba makan dulu.”
“Ooohhh.. Resepi Arisa Hana ya? Kalau macam tu, saya yakin memang sedap walaupun saya belum makan. Bau saja pun dah tahu sedap” Sean mengangguk-angguk kepala.
“Makan lah Sean. Jangan nak merepek panjang-panjang.” Arisa Hana senyum sambil menggeleng kepala.
Aku hampir mahu tergelak bila melihat riak pelik pada wajah Arisa Hana. Kesian Arisa Hana yang sedang keliru dengan perangai Sean itu. Aku cuba untuk bertenang dan berharap Arisa Hana juga turut bertenang melayan kerenah Sean. Yang si Sean ni pun satu hal. Apa masalah dia sebenarnya ni?
“Saya makan ya. Tapi sebenarnya dah tak rasa lapar dah. Sebab tengok Arisa Hana, langsung saya rasa kenyang.”
Aku tersedak dan terbatuk-batuk mendengar Sean berbicara dengan ayat-ayat jiwangnya yang menggelikan tekak aku ini. Sean langsung menggigit Bitter Panettone itu.. tanpa memotongnya dulu. Besar tu.. kenapa la tidak dipotong dulu dengan pisau tu? Rakus dan gelojoh betul. Aku geleng kepala memandangnya sambil masih terbatuk-batuk.
“Err, minum air mineral ni.” Arisa Hana buka penutup botol mineral dan hulur kepada aku. Botol mineral yang tadinya dia letak dalam poket apronnya. Aku minum. Berdehem beberapa kali, cuba melegakan tekak. Kemudian aku hulur kembali botol itu kepadanya.
“Terima kasih.”
“Kau tersedak kenapa bro? Ni mesti ada orang sebut nama kau. Mesti awek kau. Atau bekas awek kau.” Itulah Sean, dengan teorinya.
“Sean, awak ada salah makan apa-apa ubat ke?” Langsung Arisa Hana sudah tidak dapat bertahan lagi dengan kepelikan perangai Sean.
“Eh, tak ada lah. Kenapa Arisa Hana tanya macam tu? Kenapa dengan perangai saya?”
“Awak pelik, Sean. Haris.. apa kena dengan kawan awak ni?”
“Huh? Errr, entah.” Aku buat muka selamba. Aku terus menggigit dan mengunyah croissant yang berbaki.
“Oh ya. Cuba Arisa Hana bau kat sini.” Sean menghulurkan lengan dan menunjuk pada pergelangan tangannya.”
“Kenapa?”
“Baulah.”
Arisa Hana pandang aku. Mungkin mengharapkan bantuan atau penjelasan yang sepatutnya daripada aku tentang kepelikan perangai Sean. Aku geleng-geleng kepala, memberi isyarat supaya Arisa Hana jangan layan perangai pelik Sean. Tetapi Sean terus menggesa supaya Arisa Hana mencium bau di pergelangan tangannya. Lantas, dengan teragak-agak, dia cuba menghidu.
“Wangi tak?”
“Hmmm, wangi. Kenapa?”
“Haaaa, Haris! Tengok.. Arisa Hana pun kata bau wangi. Maknanya Arisa Hana sama dengan aku. Patutlah saya suka kat Arisa Hana.” Sean pandang Arisa Hana.
Biar betul Sean ni? Siap buat pengakuan secara terang-terangan lagi. Aku dah jadi panik.
“Apa ceritanya ni?” Arisa Hana menagih penjelasan daripada aku.
“Haris kata, orang yang suka dengan bau wangian ni, akan tertarik dengan yang sama-sama suka dengan bau ni. Jadi, saya dan Arisa Hana suka bau ni. Bermakna, kita akan saling suka sama suka. Saya suka Arisa Hana dan Arisa Hana akan suka saya juga.” Sean senyum gembira.
“Haris??” Arisa Hana makin inginkan penjelasan daripada aku.
“Hey, sudah-sudahlah tu. Aku main-main saja. Cologne yang kau guna tu bukan bahan eksperimen. Aku saja je main-mainkan kau.”
“Hah? Tapi botol tu tak ada label kan?”
“Aku tukar botol sebab botol asal retak.”
“Kau ni memang saja je nak kenakan aku ya?” Sean bengang.
“Apa cerita nya ni?”
“Haris ni, dia kata siapa yang suka bau cologne tu, mempunyai nafsu seperti kambing dan hanya akan tertarik kepada jenis yang sama kambing-kambing juga.”
“Haris!!” Sekarang Arisa Hana pula kelihatan geram dengan aku. Alamak. Aku cuma nak kenakan Sean. Sebab tu aku cakap pasal kambing tu. Namun aku cepat-cepat cuba menyelamatkan keadaan dengan ketawa. Dan akhirnya kami bertiga ketawa sama-sama sehinggalah tiba-tiba Sean mencuit-cuit kaki aku dengan kakinya di bawah meja.
“Ris, kat belakang kau.”
“Kenapa?”
“Kat belakang kau.” Sean memberi isyarat yang bukanlah isyarat sebenarnya. Aku menoleh, memandang ke belakang. Dan..
MASIHKAH ADA CINTA??
Situasi menjadi pelik. Arisa Hana senyum memandang aku dan kemudian bangun berlalu. Begitu juga dengan Sean yang beria-ia bangun berlalu sama, membontoti Arisa Hana. Tiba-tiba Sean patah balik. Mengambil Bitter Panettone dan Lattenya. Kemudian dia berlalu selepas membuat isyarat mata yang aku tidak faham.
“Awak apa khabar? Lama kita tak jumpa.”
“Alhamdulillah, khabar baik. Awak?” Aku pandang wajah yang duduk di depan aku. Perasaan aku bercampur baur. Aku keliru dengan perasaanku.
“Baik juga. Lama tak jumpa. Saya ada hubungi awak, tapi tak berjawab.”
“Hmmm.” Aku tidak tahu mahu kata apa. Memang aku sengaja tidak mahu menjawab panggilannya. Lagi pun, buat apa dia hubungi aku sedangkan dia sudah ada teman lelaki? Aku tidak ada masa hendak melayan. Aku senang dengan kehidupan aku selepas putus hubungan dengan dia.
“Bila awak balik Malaysia?”
“Dah dekat 8 bulan.”
“Sekarang buat modeling lagi?”
“Hmmm.. tapi Part time.”
“Kenapa part time?”
“Sebab saya ada kerja yang lain.”
“Kerja apa?”
“Bisnes sendiri. Masih baru lagi. Awak?”
“Macam biasa. Kerja makan gaji.”
Makan gaji? Seingat aku dia pernah kata mahu buat bisnes sendiri. Sebab cita-citanya itu jugalah dia tinggalkan aku. Dia tinggalkan aku dulu sebab katanya aku tidak mampu menyokong dan membantu dia untuk mencapai cita-citanya itu. Maka dia mahu beralih mencari lelaki yang lebih baik, katanya. Tapi sekarang, kenapa dia kerja makan gaji? Belum jumpa lagi ke teman lelakinya yang kaya raya, lebih baik dan mampu menjamin masa depannya itu? Aku abaikan persoalan yang bermain dalam kepala aku kerana aku tidak berminat hendak tahu tentang seseorang yang sudah tidak ada kena mengena dalam hidup aku lagi.
“Family awak apa khabar?”
“Alhamdulillah, semuanya sihat.”
“Saya rindukan mereka..”
Aku diam. Tidak tahu hendak kata apa. Dia rindukan keluarga aku? Perlukah aku jawab yang keluarga aku langsung tidak rindukan dia? Setelah apa yang dia lakukan kepada aku? Otak aku masih gagal memproses situasi apa yang muncul di depan aku sekarang ini. Ianya berlaku secara tiba-tiba. Sedang berfikir-fikir, aku nampak kereta Arisa Hana dipandu keluar dari perkarangan Bitter and Sweet Cafe ini. Dia hendak ke mana?
“Haris?”
“Err, awak sorang je ke ni?”
“Tak. Dengan kawan-kawan saya. Mereka dah masuk dalam.”
“Kenapa tak join mereka?”
“Saya nampak awak tadi. Jadi saya suruh mereka masuk dulu.”
“Oh. Mereka tentu sedang tunggu awak. Pergilah.”
“Awak halau saya ke?”
“Eh, bukan. Saya pun ada hal ni. Dah lewat. Sean pun sedang tunggu kat dalam. Awak masih ingat kawan saya Sean kan?”
“Ingat sangat.”
“Kami ada kerja. Nak ke bengkel.”
“Bengkel?”
“Ya. Saya buka bengkel. Dengan Sean dan Amy.”
“Amy pun?”
“Ya. Err, saya pergi dulu ya.”
“Okey lah. Kirim salam family awak ya. Cakap saya rindu sangat kat mereka.”
Aku mengeluh panjang. Patutkan aku sampaikan salam dia kepada family aku?
“Saya pergi dulu.”
“Okey. Gembira sangat jumpa awak.”
“Okey. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”
Aku bangun berlalu meninggalkan Molly. Sambil itu aku mengeluarkan Blackberry Curveku dari poket dan cuba hubungi Sean.
“Dah bayar? Hmmm.. Keluar sekarang. Aku tunggu kat kereta kau ni.” Aku menamatkan panggilan. Seketika aku nampak Sean keluar dan bertembung dengan Molly. Mereka bercakap-cakap seketika dan berpisah di situ. Sean berjalan menghampiri aku dengan wajah selamba.
“What a lucky day..” Sean senyum.
“Apa yang lucky?” Aku keliru.
“Kau tak rasa lucky ke? Kau jumpa Molly balik. Tak tanya dah kahwin ke belum ke?” Sean sengeh. Entah kenapa aku rasa bengang dengan soalan dia.
“Buka cepat pintu ni.” Aku membentak.
“Okey... okey. Kenapa angin ni bro?”
Aku diam. Malas hendak menjawab.
KEAGRESIFAN TERANJAK.
Sepanjang perjalanan ke Beast Garage aku diam. Sean juga diam. Mungkin bimbang aku naik angin dengan dia. Tetapi sesekali aku dengar dia ikut menyanyi lagu I Need You dendangan Marc Anthony. Macam ceria je mood mamat sebelah aku ni. Tiba-tiba aku rasa bersalah dengan Sean. Aku tak patut meninggikan suara dengan dia tadi. Dia tidak bersalah, walaupun aku bengang dia pakai jeans CK aku.
“Nanti sampai bengkel, buat biasa saja dengan Amy. Jangan tunjuk yang kau tahu pasal hal dia dengan Cash.”
“Baik bos.”
“Apa pasal panggil aku bos pula?”
“Saja. Selalu pun kau memang macam bos. Semua orang kat Beast Garage kena rujuk kau dulu sebelum buat apa-apa barang.”
“Kau pun bos. Ish..”
“Blok kereta anak Tan Sri yang kau hantar pi machine shop tu bila siap, Ris?”
“Vincent kata esok atau lusa. Tapi aku harap esok dah boleh siap. Blok siap cepat, kereta anak Tan Sri tu pun boleh kita selesaikan secepat mungkin.”
“Hmmm, Kerja keras lah beberapa hari ni nanti.”
“Hmmm.. Arisa Hana ada cakap dia pergi mana tadi?”
“Dia kata ke Syurga Kasih. Aku tengok banyak betul roti-roti yang Luke angkat masuk kereta Arisa Hana tadi. Syurga Kasih tu mana? Supermarket? Nak pergi jual kat sana ke?”
Ish, ada pula supermarket. Sean ni betul ke tidak?
“Oh, kau tak tahu ya?” Tiba-tiba aku rasa bangga sebab tahu apa itu Syurga Kasih. Sean tidak tahu. Aku senyum sendiri. Apa-apa entah aku fikir ni. “Syurga Kasih tu rumah anak-anak yatim. Arisa Hana sukarelawan kat situ.”
“Penyumbang lah ya?”
“Entah.”
“Kau tak tanya?”
“Tak perlu kecoh-kecoh lah kot. Nak buat benda baik, tak perlu heboh-heboh satu dunia.”
“Itu yang aku suka tu. Kau tahu tak Ris?”
“Tak tahu,”
“Meh sini aku nak beritahu.”
“Beritahulah.”
“Aku rasa macam aku dapat rasa satu perasaan yang aneh setiap kali aku tengok wajah Arisa Hana. Aku rasa macam dia memang diciptakan untuk aku. Jodoh aku. Kau tak rasa ke?”
Saat itu, aku tidak tahu rasa mahu cakap apa. Aku cuma rasa hendak tumbuk Sean. Banyaklah dia punya jodoh. Tiba-tiba aku stress tengok muka Sean. Seperti mana aku stress tengok muka Molly tadi.
Tentang Molly, aku tiba-tiba jadi keliru. Perasaan aku bercampur baur. Mungkin aku sudah tidak membencinya dan sudah memafkannya. Tetapi ada satu perasaan tidak selesa ketika aku berdepan dengannya tadi. Mungkinkah perasaan dikhianati? Atau diperbodohkan? Pita memori aku kembali berputar menayangkan pengalaman-pengalaman pahit selama aku bersama Molly dulu. Aku jadi penat. Benar-benar penat bila memikirkannya.
Tentang Molly, aku tiba-tiba jadi keliru. Perasaan aku bercampur baur. Mungkin aku sudah tidak membencinya dan sudah memafkannya. Tetapi ada satu perasaan tidak selesa ketika aku berdepan dengannya tadi. Mungkinkah perasaan dikhianati? Atau diperbodohkan? Pita memori aku kembali berputar menayangkan pengalaman-pengalaman pahit selama aku bersama Molly dulu. Aku jadi penat. Benar-benar penat bila memikirkannya.
… bersambung
~LoveMeLoveMeNot~
No comments:
Post a Comment