Sunday, 1 January 2012

Cinta Untuk Dijual- # 9~




PENGAKUAN TERENCAT.


Awak, saya suka awak.”

Seminggu berlalu selepas aku buat pengakuan itu kepada Arisa Hana. Dan seminggu juga berlalu tanpa panggilan telefon atau SMS daripada dia. Yang peliknya aku juga jadi tidak berani hendak menghubungi Arisa Hana. Kenapa dengan aku ni? Aku tak buat salah pun. Aku cuma buat pengakuan. Pengakuan tentang perasaan aku terhadap dia yang tiba-tiba berputik. Pembetulan. Bukan tiba-tiba berputik. Tapi sebenarnya sudah lama berputik. Cuma selama ini aku tidak berikan perhatian kepada perasaan aku ini kerana aku.. aku tidak punya keyakinan. Okey, kalau hendak kata aku pengecut, silakan. Tapi sekarang, aku bukan pengecut lagi.



Pengakuan tentang perasaan aku terhadap Arisa Hana seperti telah memakan diri aku sendiri. Penerimaannya tidak seperti yang aku harapkan. Dia terdiam. Memandang aku dan hanya tersenyum seperti biasa. Langsung tiada apa-apa tidak balas vokal. Aku mahukan jawapan daripadanya. Sekurang-kurangnya aku mahu dia menjawab-YA. Tidakkah dia tahu “Silent Treatment” ini bukanlah treatment yang bagus untuk aku? Ini tidak boleh jadi. Aku mundar mandir di dalam bilik pejabat. Sendirian sedang resah tidak tentu pasal. Berkali-kali aku pandang Blackberry Curveku yang terletak di atas meja. Ini tidak boleh jadi. Sampai bila aku nak berdiam diri? Sampai bila aku hendak terus bersikap seperti lelaki pengecut?



Nama aku Haris. Hari ini aku tidak seperti aku. Aku tidak pernah terfikir pun aku akan jadi begini. Bukan aku tidak pernah bercinta. Pernah. Beberapa kali. Dan yang beberapa kali tu semuanya berakhir dengan kegagalan dan ia tidak menjadi alasan untuk aku berhenti dari terus mencari cinta sejati. Aku tidak boleh menjadi gugup seperti sekarang. Tapi entah kenapa aku rasa gugup pula bila menghadapi situasi ini kali ini. Serius, ini bukan perangai aku. Selalunya aku sentiasa tenang dan berkeyakinan bila berdepan dengan perempuan. Gugup bila berdepan dengan perempuan memang bukan sikap original aku. Kalau tidak, mana mungkin selama ini aku digelar chick magnet. Chick Magnet mana boleh gugup dengan perempuan. Kan? Tetapi apa yang telah berlaku kepada diri aku sekarang ni? Lantas, tanpa berfikir panjang, aku capai Blackberry Curveku dan cuba menghubungi... siapa lagi? Arisa Hana lah.




GELANGGANG CINTA.


Aku hubungi Arisa Hana dan dia setuju untuk berjumpa dengan aku. Dia memang sentiasa setuju dan ada masa untuk jumpa aku. Kecuali waktu-waktu tidur dia. Tak kan aku hendak ganggu dia di waktu-waktu tidur dia kan? Jadi aku ajak dia jumpa lepas Maghrib di...



Kini aku berada di depan pondok pengawal rumah Arisa Hana. Bukan rumah yang dulu. Tapi rumah baru. Baru beberapa minggu dia berpindah ke rumah barunya ini. Jadi, melilau juga aku mencari tadi kerana ini kali pertama aku ke sini. Siap kena soal macam-macam lagi dengan pakcik guard kat bawah tu tadi. Sempat juga aku mengumpat pakcik tu dalam hati. Terasa macam pakcik itu menggelabah gila. Dah Arisa Hana dah beri arahan benarkan aku masuk, pakcik tu boleh nak soal siasat aku macam-macam pula.


“Pakcik bukan apa. Pakcik rasa muka anak ni familiar. Artis ke?”

“Eh, bukan pakcik.”

“Tapi pakcik macam pernah tengok anak ni la. Kat mana ya?”

“Mungkin pelanduk dua serupa, pakcik. Dalam dunia ni kan ada 7 orang yang muka serupa dengan kita.”

“Ya ke?”

“Hmm, saya dengar orang kata la. Tapi saya sendiri pun belum jumpa lagi orang yang serupa dengan saya.”

“Pakcik pun.. belum jumpa yang sama muka dengan pakcik. Entah-entah, sampai meninggal pun tak jumpa.”

E'eh pakcik ni. Apa cerita meninggal-meninggal ni? Pakcik guard sengeh pandang aku. Aku pula teragak-agak untuk senyum kepada dia. Tapi akhirnya aku senyum juga. Tak salah kan?

“Err, boleh saya masuk sekarang pakcik?”

“Oh, sila.. sila.. Minta maaf lah ya pakcik tahan kamu lama kat sini. Bukan apa.. pakcik memang rasa macam pernah tengok anak ni. Macam artis. Tapi rupa-rupanya bukan.”

“Bukan pakcik. Pakcik jangan call wartawan gosip pula. Susah.”

“Dah kamu bukan artis, buat apa pakcik nak call wartawan gosip? Buang masa. Sila.. sila..” Pakcik guard gelak. Aku pun tumpang gelak sikit-sikit. Kemudian aku minta diri untuk memandu masuk ke kawasan perumahan Arisa Hana.



Aku memandu mencari kawasan gelanggang bola keranjang. Gelanggang bola keranjang lagi? Hmmm, agaknya Arisa Hana memang sengaja beli rumah yang ada gelanggang bola keranjang kerana dia suka sangat bermain bola keranjang. Aku jumpa gelanggang itu. Kawasannya terang benderang di sinaran lampu. Aku parking kereta berhampiran gelanggang. Aku cuba bertenang. Aku keluar dari kereta dan menguncinya. Perlahan-lahan aku mengatur langkah memasuki gelanggang. Inilah kali pertama aku rasa gugup sangat melangkah masuk ke gelanggang bola keranjang. Apa ni? Gelanggang kosong pun nak menggelabah ke? Apa kena dengan aku ni? Selalu jumpa Arisa Hana tak menggelabah pun. Kenapa malam ni menggelabah pula? Bodoh! Bodoh!

“Hai.” Suara yang sangat dikenali menegur.



Aku sedikit terkejut bila ditegur dengan tiba-tiba begitu. Aku menoleh. Langsung memandang wajah yang amat dikenali itu. Panjang umur. Tuan empunya nama sudah muncul dengan senyuman sambil mengepit bola keranjang di ketiaknya dan tangan kanannya menjinjit sebuah bakul rotan. Aku terpaku seketika melihat senyuman itu. Sebenarnya, aku rindukan wajah itu. Seminggu tidak jumpa, aku jadi resah. Tanpa berlengah dia membaling bola keranjang kepada aku.

“30 jaringan. Siapa kalah kena belanja makan.” Dia tersenyum lagi. Kemudian ke tepi gelanggang dan meletakkan bakul rotan tadi di situ

“Siapa cakap saya datang sini nak main?” Aku baling balik bola itu kepadanya. Dia tangkap.

“Habis tu?”

“Awak tahu apa yang saya mahukan daripada awak kan?”

“Saya tak faham.” Dia mula berlari-lari dan membuat lontaran ke arah jaring dalam jarak 20 kaki. Masuk!



Kemudian dia mengejar kembali bola yang melantun-lantun itu. Membuat lontaran ke jaring sekali lagi dan berjaya menjaringkannya sekali lagi. Kemudian mengejar bola itu lagi. Dia melakukannya berulang-ulang kali tanpa mempedulikan aku. Aku sudah tidak boleh sabar lagi. 20 minit dia buat hal dia dengan bola itu dan tidak mempedulikan aku yang tercegat di sini. Ini tidak boleh jadi. Lantas aku merampas bola itu ketika dia cuba melontarnya sekali lagi.

“Cukup.” Aku menghampirinya beberapa langkah. Aku sedang serius dan aku mahu dia menerima situasi ini secara serius juga.

“Kenapa ni?” Dia cuba merampas bola dari peganganku. Tetapi aku tidak benarkan. Sekarang, dia kena beri perhatian kepada aku dan dengar apa yang aku hendak cakap. Dengan serius.

“Jangan nak mengelak Arisa Hana. Dengar apa yang saya nak cakap.”

“Kalau awak nak cakap perkara yang sama macam tempoh hari, tolong lupakan. Saya tak nak dengar.”

“Kenapa?”

“Haris, awak kena faham. Saya dan awak, hanya akan kekal sebagai kawan. Tidak lebih daripada itu. Tolong jangan rosakkan hubungan baik kita selama ini.”

“Siapa cakap saya nak rosakkan hubungan baik kita selama ni? Saya cuma nak upgrade hubungan kita ke tahap yang sepatutnya.”

“Hati-hati dengan perkataan upgrade itu. Hari ini awak boleh kata nak upgrade. Nanti, kemungkinan selang beberapa bulan, awak kata nak downgrade pula.”

“Apa masalah awak ni? Kenapa negatif sangat? Selama ini awak berkawan dengan saya, itu yang awak nampak? Awak nampak saya ada potensi untuk downgrade hubungan kita?”

“Saya tak maksudkan macam tu. Saya cuma kata, kemungkinan.”

“Bila awak cakap kemungkinan, itu macam awak dah buat tanggapan buruk terhadap saya. Awak tuduh saya berpotensi ke arah itu.” Suara aku sedikit meninggi. Geram betul. Sampai hati dia tuduh aku macam tu. Aku tak sangka. Macamlah dia baru kenal aku dua tiga hari.

“Ni kenapa awak nak marah-marah ni? Awak nak bergaduh pula dengan saya? Kalau macam ni lah gayanya, belum apa-apa lagi dah cari punca nak bergaduh.. simpan saja niat awak tu. Dalam dunia dan kehidupan ni, manusia sentiasa berubah. Masa manusia berubah, dia akan buat-buat lupa semua janji-janji dia.” Arisa Hana rampas bola dari aku. Kemudian dia berlalu. Siapa yang patut marah siapa ni?

“Awak.. tunggu. Apa awak cakap ni?” Aku memanggil tetapi dia langsung tidak endahkan aku. Malah langkahnya makin laju. “Awak! Arisa Hana..” Tak boleh jadi ni. Lantas aku terus mengekorinya dengan langkah yang laju juga. Aku perlu halang dia berlalu begitu saja sebelum dia keluar dari gelanggang ini kerana aku perlu selesaikan sesuatu yang aku telah mulakan.

“Lepas lah.” Arisa Hana cuba meleraikan genggaman tangan aku pada pergelangan tangannya. “Sakit lah.” Dia mula meronta. Aku tahu aku menggenggam tangannya dengan kuat. Aku memang sengaja. Aku kesian melihat wajahnya yang menahan kesakitan itu. Tapi kalau aku berlembut, mesti aku tidak dapat menghalang dia dari pergi.

“Awak, tolonglah jangan macam ni. Kenapa dengan awak ni? Kenapa awak tak macam biasa?” Aku cuba kaedah lembut pula. Selalunya pun aku tidak pernah berkasar dengan dia. Aku rasa bersalah bila menyakitinya tadi.

“Saya jadi tak macam biasa sebab awak pun tak macam biasa.”

“Saya jadi tak macam biasa ni pun sebab hati saya sudah berubah, tak macam biasa.”

“Semua ini tak sepatutnya berlaku Haris. Tolonglah. Janganlah macam ni. Kita tidak boleh jadi lebih daripada kawan.”

“Kenapa? Apa kekurangan saya? Apa yang awak tak suka tentang saya?”

“Awak tak ada apa-apa kekurangan. Awak okey. Semuanya okey. Tapi saya saja yang tak okey. Saya tak boleh.”

“Kenapa? Apa yang tak okey pasal awak? Awak ada cintakan lelaki lain?”

“Tak ada.” Dia pandang aku. Dari pandangan matanya aku tahu dia tidak menipu.

“Habis tu?”

“Ada ketika kita kena terima kenyataan yang bukan semua hubungan kawan antara lelaki dan perempuan itu boleh diupgrade.”

“Apa awak merepek ni?”

“Apa saya merepek? Awaklah yang merepek. Dah, saya nak naik rumah.”

“Tunggu.” Aku meraih tangan Arisa Hana. “Awak.. awak jangan nak tipu diri sendiri. Saya tahu awak pun sukakan saya. Maksud saya, awak juga cintakan saya. Mengaku saja lah. Tiada siapa yang akan cedera.”

“Ish, perasan! Lepaskan tangan saya. Lepas la.. Haris..” Arisa Hana memandang aku dengan pandangan merayu. Aku hela nafas perlahan. Cuba bertenang. Sukar untuk aku menerima kenyataan ini. Namun dalam terpaksa, aku harus melepaskan Arisa Hana. Aku tidak boleh terus memaksa dia. Aku cintakan Arisa Hana. Tetapi dalam cinta, tiada paksaan.

“Maafkan saya kalau saya menyakitkan awak.”

“Saya sentiasa maafkan awak. Saya nak balik rumah. Nah, ini untuk awak. Ada roti, kek dan sup ayam.” Arisa Hana hulur bakul rotan tadi. Dia pandang aku dan cuba tersenyum. “Pandu hati-hati nanti.” Dia berlalu..




DEMAM CINTA.


Kepala aku terasa berat. Aku tidak dapat bangun dari baringan. Aku sentuh dahi sendiri. Panas. Aku rasa aku demam. Confirm!! Dalam mamai aku dengar suara mama. Sesekali aku dengar suara abah. Dan juga beberapa suara lain. Hmmm, aku dengar suara mama yang tidak jelas butir bicaranya. Kemudian aku dengar suara adik aku menjawab dengan tidak jelas butir bicaranya juga. Suasana senyap seketika. Tetapi tiba-tiba...

“Bang Ngah, bangun. Mama suruh bangun. Dah subuh.” Hafis, adik aku tiba-tiba membuka lampu. Suasana bilik yang tadinya gelap menjadi terang benderang. Aku masih memejamkan mata kerana tidak tahan dengan silau dari lampu. “Bang Ngah.. bangunlah.”

“Hmmm.. Bang Ngah dah bangun ni.”

“Bangun apanya mata masih pejam. Bangun lah, sebelum mama sendiri yang naik, kejutkan. Mama pakai spray. Haaaa... Nanti basah.”

“Iya lah.. Dah bangun ni. Silau..” Aku masih memejamkan mata.

“Bangun... bangun.. “ Hafis mencuit pipi aku pula. Apa cuit-cuit pipi aku ni?

“Ish!” Aku tepis.

“Eh, panasnya.” Dia meraba-raba pipi aku lagi.


Serius cakap, aku musykil dengan Hafis di awal subuh ni. Selalunya dia tidak pernah hendak meraba-raba aku macam ini. Apa sudah jadi ni? Tetapi disebabkan aku sekarang tidak berdaya untuk menepis, aku biarkan saja. Kepala aku terasa makin menyucu-nyucuk.

“Ma, Bang Ngah demam ni. Panas betul.” Hafis melaung. Aku rasa macam nak pancung leher adik aku ni. Rasa macam ya. Bukan betul-betul. Aku sedang sakit kepala dan demam. Dia melaung-laung pula kat tepi telinga aku ni. Tertekannya aku subuh-subuh ni.

“Bang Ngah demam?”


Hmmmm, mama aku dah muncul. Selang beberapa minit abah aku pula menjengah. Kemudian Kak Long aku dan abang ipar aku. Aiman pun ada. Apa ni? Aku demam saja la. Belum nak mati lagi.

“Kamu main hujan ke semalam?”

“Tak.”

“Habis tu, macam mana boleh demam ni?”

“Ma, jangan tanya soalan bukan-bukan boleh tak? Manalah Bang Ngah tahu macam mana Bang Ngah boleh demam.”

“Ha'ah la. Awak ni pun. Dah budak ni nak demam, ada pula tanya macam tu. Kamu boleh bangun ke?” Abah aku yang sentiasa peka dengan masalah anak lelakinya ini bertanya.

“Boleh Bah. Bang Ngah boleh bangun. Pening kepala sikit je. Nanti okey la.”

“Okey apanya? Panas ni.” Mama selaku ibu yang penyayang menyentuh-nyentuh dahi aku.

“Sikit je ma. Nanti okey la. Demam sikit je.”

“Demam cinta ke?” Tiba-tiba Kak Long menyampuk sambil tersenyum sumbing. Aku pandang Kak Long. E'eh, dia ni..

“Betul ke demam cinta? Dah jumpa calon?” Mama teruja. Aduh!! Tolonglah mama. Tolonglah jangan panjangkan isu ni di waktu subuh-subuh ni.

“Taaakkkk..” Aku dah letih hendak melayan.

“Hmm, kalau macam tu bangun mandi dan solat. Lepas tu turun sarapan.” Mama pesan. Ada riak kecewa pada wajah mama aku itu.


SARAPAN PAGI YANG PERMAI, TETAPI HATI AKU TIDAK BERAPA PERMAI.


Semalam, selepas bertemu Arisa Hana di gelanggang bola keranjang dan dikecewakan oleh gadis itu, aku memandu pulang ke Bangi, rumah keluarga aku. Hampir 45 minit memandu, akhirnya aku sampai di perkarangan rumah keluarga aku. Rindu juga kepada mereka sebab minggu lepas aku tidak balik. Bukan aku tak nak balik. Tapi mama yang tak benarkan aku balik. Kata mama, tak ada siapa-siapa pun kat rumah minggu lepas.


Semasa aku sampai di perkarangan rumah keluarga aku, rumah nampak macam tak ada orang. Bukan nampak macam tak ada orang. Tapi memang tak ada orang pun. Mana semua orang pergi ni? Aku keluarkan Blackberry Curve dari poket seluar. Aku hubungi nombor mama. Tunggu hingga deringat tamat tetapi tidak dijawab. Aku hubungi Kak Long aku pula. Juga tidak berjawab. Apa ni? Semua orang berpakat tak mahu jawab panggilan aku ke? Aku malas hendak hubungi abah aku dan adik aku. Biarlah. Lagi pun aku ada kunci rumah ini. Aku kunci pintu kereta selepas aku capai bakul berisi roti dan macam-macam pemberian Arisa Hana tadi dan juga beg sandang aku.


Sebaik menjejak masuk ke dalam rumah, aku hidupkan semua lampu kerana keadaan dalam rumah sangat gelap. Di luar tadi, langit nampak macam ada ura-ura hendak hujan. Tak ada bintang langsung. Haaaa, dah hujan pun. Aku dengar bunyi guruh dan rintik-rintik hujan mula turun semakin lebat diiringi kilat sabung- menyabung. Bahaya ni kalau aku terus menjengah ke luar. Aku tutup pintu dan sempat menghidupkan suis lampu di luar rumah. Biar terang.


Tanpa membuang masa, aku melangkah naik ke tingkat atas selepas meletak bakul pemberian Arisa Hana tadi di dapur. Dia kata ada sup ayam tadi. Jadi aku jengah ke dalam bakul itu dan mengeluarkan sup ayam. Aku masukkan bekas berisi sup ayam ke dalam peti sejuk. Aku sudah tak ada mood hendak makan. Mana ada orang kecewa cinta ada mood untuk makan kan? Hmm, mungkin ada. Tapi bukan aku. Aku hanya mahu mandi dan selesaikan apa yang patut. Kemudian aku mahu tidur. Bunyi guruh sesekali mengejutkan aku. Hujan nampaknya semakin lebat dan tiada tanda-tanda mahu berhenti dalam masa terdekat. Dan memang semalam hujan tidak berhenti. Sampai aku terlelap pun hujan masih turun dengan lebat.


“Mengelamun!” Kak Long yang muncul dari belakang tonyoh kepala aku yang sedang duduk di meja makan

“Apa ni tonyoh-tonyoh kepala orang?” Aku geram. Sempat menjeling kepadanya.

“Hmm, gaduh.. gaduh.. depan makanan pun nak gaduh.” Mama bersuara ketika aku cuba hendak tonyoh kepala Kak Long aku balik. “Dah besar panjang pun nak bergaduh macam budak-budak.”

“Mama marahlah Kak Long. Kak Long yang tonyoh kepala Bang Ngah dulu.”

“Dia tu yang mengelamun.” Kak Long tak nak mengalah.

“Sudah! Malu lah sikit. Kamu tu dah ada anak. Kamu ni pula dah boleh jadi bapa orang.”

“Lagakan saja kepala Kak Long dan Bang Ngah tu mama.” Hafis menyampuk.

“Adik jangan nak jadi batu api. Nanti tiga-tiga abah lagakan kepala.”

“Lepas lagakan kepala, mandikan dengan air dalam kolam ikan kat luar tu.” Abang Johan, abang ipar aku pun tidak mahu ketinggalan. Lantas, kami semua memandang dia.

“Amboi! Suka-suka hati dia je nak mandikan kami adik beradik dengan air kolam ikan ya?” Kak Long konon-konon marahkan suaminya. Abang Johan ketawa. Dan kemudian mereka semua ketawa. Aku seorang saja tidak ketawa kerana aku tidak ada mood. Aku hanya senyum sumbing sambil menyuapkan bihun goreng ke mulut. Perlahan-lahan aku kunyah dan perlahan-lahan aku telan. Entah kenapa bihun yang ditelan terasa kesat dan terlekat dalam tekak aku. Aku capai gelas berisi air kosong dan minum. Kemudian aku cuba bertenang. Rasa macam tidak boleh hendak habiskan bihun yang mama goreng ni.

“Kenapa Bang Ngah? Macam tak ada selera je. Tak sedap ke?” Mama tegur.

“Sedap. Tapi Bang Ngah tak ada selera. Rasa tak sedap badan.”

“Kan mama dah kata kamu demam tu.”

“Demam sikit je. Nanti Bang Ngah makan panadol kejap lagi, okey.”

“Kak Long nampak ada sup ayam dalam peti tadi. Nak makan sup tu ke? Boleh panaskan.”

“Tak payah lah. Terima kasih.”

“Beli mana sup tu?” Mama tanya.

“Bukan beli.”

“Bang Ngah masak?”

“Tak.” Ish, mama ni. Anakmu ini tidak ada masa hendak masak sup ayam. Tak ada mood.

“Dah tu?”

“Arisa Hana bagi semalam.” Semua mata memandang aku. Aku pelik. “Kenapa pandang?”

“Siapa Arisa Hana?” Serentak, semua di meja makan bertanya.

“Err..” Aku diam. Apa yang perlu aku jelaskan?



.... Bersambung



~LoveMeLoveMeNot~

No comments:

Post a Comment