DI MEJA MAKAN TAPI MACAM DI MEJA SOAL SIASAT?
“Siapa Arisa Hana?”
Hmmm, soalan cepu emas di pagi hari Sabtu oleh ahli keluarga aku. Siapa Arisa Hana? Hakikatnya semua orang pun tidak tahu macam mana aku boleh kenal dengan Arisa Hana. Maka, lebih baik aku rahsiakan dulu macam mana aku boleh kenal dengan dia. Okey, aku bagi hint sikit.. Kami kenal dalam situasi yang tidak formal dan dia muncul secara tiba-tiba dalam hidup aku tanpa sebab yang kukuh. Misteri? Hmm, mungkin!
Tetapi pada mula-mula kemunculannya dalam hidup aku, hampir empat tahun lepas, aku tidak ambil kesah dan langsung tidak ambil berat pun. Aku cuma anggap ia perkenalan yang normal kerana dalam situasi aku sebagai seorang yang dikenali dan sentiasa menarik perhatian gadis-gadis ini, situasi ini ialah biasa. Setiap hari memang ada gadis-gadis yang tertarik dengan aku sampai aku naik bosan. Jadi, aku fikir munculnya Arisa Hana dalam hidup aku juga adalah “sesuatu” yang normal. Namun, lama kelamaan aku dapat merasai “sesuatu” yang tidak normal berlaku kepada hati aku. Hati aku seolah-olah mengalami satu fasa evolusi yang berperingkat-peringkat terhadap Arisa Hana. Ianya berkembang mengikut arus waktu. Dalam situasi ini, aku setuju dengan pendapat yang mengatakan masa bisa merubah segalanya. Daripada aku tidak ambil kesah langsung dan hanya menganggapnya sebagai kawan, sehinggalah sekarang ini, aku betul-betul ambil kesah tentang Arisa Hana. Aku mula mahu tahu segala-galanya tentang gadis itu. Dan aku mahu memilikinya.
“Oit! Mengelamun lagi.”
“Hah?” Cuitan pada lengan aku, mengejutkan aku dari lamunan. Kak Long pandang aku dengan pandangan pelik.
“Ma, abah.. anak teruna mama dan abah ni ada masalah berat ni. Memanjang je mengelamun.” Kak Long macam gaya hendak memulakan sesi membebel.
“Apa nya? Mana ada Bang Ngah mengelamun?”
“Tak mengelamun apanya? Orang tanya banyak-banyak kali dah, tapi fikiran dia entah terbang ke mana entah.”
“Tanya apa?” Aku keliru. Aku capai cawan berisi nescafe. Aku hirup perlahan kerana ia masih panas.
“Siapa Arisa Hana?”
“Ha, siapa Arisa Hana tu?” Mama copy soalan Kak Long. Abah pula pandang aku. Hafis dan abang Johan masih ralit makan bihun. Tapi seperti biasa, memang selalu pasang telinga dalam diam. Satu tektik penyamaran yang biasa kaum lelaki lakukan ialah, pura-pura tidak ambil tahu tapi sebenarnya nak tahu juga. Ini yang selalunya kaum wanita tidak tahu. Bila kami, kaum lelaki macam tidak mengambil perhatian, sebenarnya kami ada memberi perhatian. Contohnya jika lelaki sedang mencuci kereta, tidak semestinya lelaki tidak mendengar apa yang dibebelkan oleh emak atau isteri mereka. Melainkan kalau sedang mengelamun atau.. memang pekak.
“Cantik tak?”
“Apa tanya soalan macam tu?” Pada aku, soalan Kak Long itu tidak kedengaran bijak.
“Ceritalah sikit.” Kak Long mengacah lagi dengan soalan. Dia dah jadi macam wakil kepada yang lain-lain untuk bertanya soalan pelik-pelik kepada aku.
“Kawan saja lah.”
“Kawan? Macam pelik je.”
“Apa yang pelik?”
“Macam lebih dari kawan.”
“Ah, memandai-mandai je Kak Long ni. Bang Ngah kata kawan, kawan lah. Kak Long jangan nak buat tanggapan yang pelik-pelik.”
“Okey. Kita tengok lah nanti.” Kak Long senyum sumbing. Kemudian membuat isyarat mata kepada mama dan abah. Apa-apa entah kakak aku merangkap emak orang dan isteri orang ni.
“Kalau Arisa Hana tu ada masa, ajak lah dia datang rumah. Kita buat makan-makan.”
Erk? Aku pandang abah. Biar betul? Abah aku memang cool. Jarang memberi tekanan dan sentiasa memahami. Hanya lelaki yang faham lelaki. Aku bangga menjadi anak lelakinya dan mewarisi sifat abah aku yang cool.
“Bila tu nak ajak? Minggu ni?” Aduh, mama..
Hmmm, mama aku kurang cool. Suka mendesak sedikit. Sudah terang lagi tidak perlu bersuluh, memang 100% Kak Long yang copy ketidak-cool-an mama aku. Tapi.. walaupun mama tidak cool, dia tetap mama yang aku sayang. Cuma bila mama mula mendesak, aku jadi sesak nafas.
“Ma, raya lambat lagi ma. Bang Ngah jemput Arisa Hana time raya nanti ya?”
“Apa kena mengena dengan raya? Kenapa mesti nak tunggu raya?”
“Dia kawan Bang Ngah. Tak kan nak jemput datang rumah sesuka hati tanpa sebab?”
“Alah, jemput saja lah. Apa salahnya. Cakap mama dan abah nak jumpa.”
“Ma, tak boleh macam tu. Nanti menakutkan dia pula.”
“Nak takut apa? Family kita bukan jenis makan orang.” Mama makin mendesak. Kak Long, Hafis dan abang Johan ketawakan aku.
“Memang la family kita bukan jenis makan orang. Tapi mana ada orang suka-suka ajak anak dara orang datang rumah kalau tak ada keraian? Nanti Arisa Hana fikir bukan-bukan pula.”
“Kenapa pula nak fikir bukan-bukan?”
“Ma..” Aku mula rasa serba salah. Macam mana aku nak ajak Arisa Hana datang rumah jumpa keluarga aku? Mesti Arisa Hana fikir bukan-bukan. Sudahlah semalam dia dah menolak cinta aku.
“Sudah-sudah lah tu Cik Haryani. Berilah anak teruna awak tu masa.”
“Anak teruna awak ni kalau tidak didesak, dia main-main dan tak fikir pasal kahwin, bang. Kamu jangan ingat kamu tu semakin muda. Jangan nak main-main lagi. Dah tiba masa dah kamu kahwin dan ada anak. Bagi mama cucu.” Hmm, itulah motif dan modus operandi mama.
“Macam mana Bang Ngah nak kahwin? Calon pun tak ada.”
“Arisa Hana tu?” Mama ni memang cari peluang je nak “umpan” aku.
“Dia kawan Bang Ngah je.”
“Kawan istimewa kan?” Kak Long sengeh.
“Kak Long jangan nak campur.”
“Marah ke? Sup ayam tu? Setiap kali balik bawa buah tangan roti-roti dan kek-kek serta macam-macam tu?” Kak Long aku pula dah ganti tempat mama.
“Dia.. kawan.. Bang Ngah.. je! Apa peliknya kalau dia kirim buah tangan?”
“Ya ke? Itu maknanya dia nak beli jiwa family kita.”
“Astaghfirullahalazim! Kak Long.. apa beli jiwa-beli jiwa ni? Fitnah.. Berdosa besar.”
Aku betul-betul sesak nafas. Nasib baik abah ada untuk menenangkan keadaan. Itu pun selepas bermacam-macam soalan ditujukan bertubi-tubi kepada aku macam peluru M16. Bila kenal? Anak siapa? Kerja apa? Cantik ke? Kurus ke? Gemuk ke? Tinggi ke? Rendah ke? Putih ke? Hitam ke? Aduh! Apa ni? Dan akhirnya aku jawab;
“No komen...” Lantas aku minta diri untuk naik ke atas, ke bilik untuk berehat kerana aku rasa sakit kepala dan aku sekarang benar-benar sudah diserang demam. Tak tipu..
KENAPA BUKU MATEMATIK ITU KELIHATAN SEDIH?
Pagi Isnin. Keadaan di Beast Garage terkawal. Walau pun ada masa kami menghadapi waktu-waktu “kacau” dengan customer tetapi inilah bisnes dan inilah kehidupan. Yang tidak pernah sunyi dari masalah dan dugaan. Tetapi aku bersyukur kerana sekurang-kurangnya kami dapat mengawalnya walaupun ada masa agak perit.
“Kau nampak macam tak berapa sihat je Ris.” Sean menegur sebaik aku melangkah masuk ke bilik pejabat Beast Garage.
“Hmm, demam sikit ari tu. Tapi hari ni dah okey.” Aku gantung kunci kereta aku pada tempat yang memang sudah dikhaskan untuk kami semua gantung segala jenis kunci.
“Kau tak nampak macam dah okey. Kau nampak pucat. Balik je lah. Rehat dulu.”
“Tak apa lah. Lagi pun kereta putih tu nak kena siap cepat.”
“Budak-budak kan ada. Nanti aku suruh Danny dan Jack buat. Kau balik la rehat. Esok dah sihat kau datang. Kalau kau nak pergi klinik, aku boleh hantarkan.”
“Tak payahlah. Aku okey.”
“Kalau macam tu kau buat kerja kat dalam ni je lah. Tak payah turun bawah. Panas. Invoice dan D/O tu pun aku belum habis semak lagi. Kau semak semua tu. Biar aku yang turun bawah tengok kereta-kereta.”
“Aku lagi rela tengok enjin-enjin tu daripada mengadap kertas-kertas ni.” Sungguh aku tidak berapa gemar dengan kerja-kerja mengadap kertas ini.
“Aku tahu. Tapi kau tu kena rehat.” Sean, memang kawan baik aku yang peka dan sentiasa mengambil berat. Tiada apa perangai yang “cacat” padanya sebagai kawan baik aku.
“Hmmm.. Amy tak sampai lagi ya?”
“Dah sampai lah. Dia kat bawah.”
“Tak nampak pun tadi.”
“Nampak sangat kau ni tak sihat. Sebesar-besar Amy tu pun kau tak nampak. Dia pakai t-shirt warna merah lagi tu. Ris, kau balik je lah rehat.”
“Kau halau aku?”
“Lebih kurang lah. Jangan salah faham pula. Aku tak nak kau pengsan kat sini. Susah pula. Nak aku hantar kau balik ke?”
“Tak payah. Aku boleh drive lagi ni.”
Aku memandu pulang ke rumah selepas dihalau balik oleh Sean. Sampai di rumah, kepala aku terasa makin berdenyut-denyut. Tekak aku terasa kering. Aku ke dapur dan minum segelas air. Kemudian aku mencari-cari panadol di dalam laci kabinet. Dah habis ke? Hmm, ada pun.
Selepas menelan 2 biji panadol, aku masuk ke bilik tidur dan menekan butang ON penghawa dingin. Sempat aku melihat jam di dinding yang menunjukkan jam 10.30 pagi. Kemudian aku menuju ke bilik mandi untuk mencuci muka, tangan dan kaki. Selesai segalanya, aku tukar pakaian dan terus merebahkan diri atas katil. Kepala aku terasa berat. Aku perlu rehat dan tidur. Rehat dan tidur yang betul-betul. Tanpa mengambil masa yang lama, aku terus terlelap tanpa dipaksa-paksa.
KELEMAHAN YANG BERSIFAT MASKULIN.
Aku dapat dengar suara-suara manusia entah datangnya dari mana. Aku cuba mengamati butir bicaranya tetapi ia kedengaran agak sayup-sayup dan jauh. Langsung tidak jelas butir bicaranya. Perlahan-lahan aku cuba membuka mata yang terasa masih berat. Aku pegang dahi dan terasa pelik. Ada tuala lembab atas dahi aku? Apa ni? Siapa letak? Lantas aku mengalih tuala itu dari dahi dan meletakkan tuala itu ke atas meja sisi. Aku cuba capai botol air mineral yang sentiasa aku letak kan di atas meja sisi. Tabiat kebiasaan aku, aku mesti minum air kosong sebelum tidur dan sebaik aku bangun tidur. Namun botol mineral yang cuba aku capai itu terjatuh dan tergolek ke atas lantai. Nampak? Betapa tidak bertenaganya aku. Apa nak jadi ni?
“Awak?.. Awak okey ke?”
Tiba-tiba pintu bilik aku dibuka dan muncul... Arisa Hana? Betul ke ni? Aku mimpi ke? Aku cuba fokus kepada figura di depan aku. Dia semakin menghampiri aku dan menunduk mengambil botol mineral yang jatuh tergolek tadi.
“Awak buat apa kat sini?”
“Sean call saya. Dia cakap awak demam. Jadi, saya datang la. Nah..” Dia senyum sambil membuka penutup botol mineral tadi dan kemudian menghulurkannya kepada aku. Aku capai dan terus meneguk perlahan. Tekak aku terasa perit dan panas.
“Siapa jemput dan benarkan awak masuk rumah saya ni?” Aku sedikit bengang bila tiba-tiba teringat yang Arisa Hana dah mengecewakan hati aku beberapa hari lepas.
“Tak ada siapa yang jemput dan benarkan.” Dia senyum.
“Habis tu tak malu datang rumah orang tak dijemput? Rumah orang lelaki pula ni.” Aku mengensot. Cuba duduk bersandar pada kepala katil.
“Hmmm, panas lagi ni. Nak pergi klinik tak?” Dia sentuh dahi aku.
“Tak nak. Ish, apa sentuh-sentuh dahi orang ni? Sudahlah ceroboh rumah orang.. masuk bilik orang.. lepas tu nak cabul orang pula. Baik awak keluar sebelum saya menjerit.” Aku menjerit? Apa aku cakap ni? Gila betul.
“Apa-apa entah.” Arisa Hana pandang aku dan ketawa kecil. Dia sempat buat muka lucu. “Saya dah masakkan bubur nasi dan sup ayam. Sayur-sayuran pun ada. Haaa, buah-buahan pun. Sekejap saya ambil ya. Awak kena makan sikit. Lepas tu makan ubat. Baru boleh cepat sembuh.”
“Ris, ada rasa okey ke?” Tiba-tiba Sean muncul dan tercegat di muka pintu. Hmm, ada juga dia ni? Kacau! Kemudian Zoey pula muncul dan menjengah.
“Tak sangka abang Haris yang gagah dan perkasa ni pun boleh demam ya? Selalu nampak cool dan macho je. Kesiannya.” Zoey ketawa kecil.
“Dia tu, nampak je macho. Tapi ada juga masa-masanya dia lembik dan melepek macam ni.” Hmm, Sean tambah perisa untuk menyedapkan lagi rasa untuk sesi mengutuk aku ini.
“Tak apalah. Apa-apa pun abang Haris tetap cool dan handsome di mata Zoey.” Hmm, itulah yang aku hendak dengar. Aku senyum sekadar syarat kepada Zoey.
“Boleh tolong jangan ganggu pesakit tak? Sila keluar.. Tolong ya.. Terima kasih saudara saudari..” Arisa Hana bersuara dengan senyuman.
“Baik lah Cik Nurse.” Sean bersuara dan Zoey hanya mengikut. Arisa Hana kembali memberi perhatian kepada aku.
“Awak tunggu sekejap. Saya ambil makanan bawa masuk ya.”
“Tak payahlah. Saya boleh bangun.” Aku menolak. Bukan masanya aku hendak mengada-ngada dengan Arisa Hana. Lagi pun dia dah menolak cinta aku. Buat apa aku nak dimanja-manjakan oleh dia. Yang dia ni pun satu. Kenapa nak ambil berat tentang aku kalau dia tak cintakan aku? Aku pandang jam di dinding yang menunjukkan hampir jam 3.30 petang. Lama juga aku tidur tadi. Aku bangun dari katil. Arisa Hana berundur sedikit memberi ruang. Kemudian dia tercegat di tepi katil.
“Awak okey ke? Nak saya tolong apa-apa?” Wajahnya nampak risau dan mungkin sedang bersedia hendak menyambut aku kalau-kalau aku terpengsan. Kot! Dia fikir dia kuat sangat ke nak angkat aku kalau aku pengsan?
“Saya nak mandi. Awak nak tolong mandikan ke?” Sengaja aku hendak kenakan dia. Langsung Arisa Hana terkelip-kelip serba salah.
“Err.. Saya panggil Sean ya. Dia boleh tolong mandikan awak.”
“Tak nak. Saya nak awak mandikan saya.”
“Err...” Dia terkelip-kelip lagi. Aku rasa hendak gelakkan dia tetapi aku abaikan niat itu. Bukan masa hendak gelak-gelak. Mulai hari ini aku hendak serius saja bercakap dengan Arisa Hana.
“Keluarlah. Tutup pintu bilik tu sekali. Saya nak mandi ni.”
“Err, baiklah. Nanti kalau perlukan apa-apa awak panggil ya. Saya ada di luar. Nanti saya bawa masuk makanan.”
“Tak payah. Nanti saya keluar lepas saya selesai semuanya.”
“Baiklah.” Arisa Hana berlalu keluar dan menutup pintu bilik aku.
Aku capai tuala dan menuju bilik mandi. Kepala sudah tidak terasa sakit lagi. Cuma ada rasa sedikit berat. Tetapi aku rasa okey. Dalam diam aku senyum sendiri.
Di meja makan, Arisa Hana sedang mengadap aku yang sedang makan bubur nasi. Sean dan Zoey sibuk melayan PS3.
“Kenapa awak perlu buat semua ni?” Aku cuba berkomunikasi dengan suara yang perlahan. Tidak mahu Sean dan Zoey dengar.
“Buat apa?”
“Masak semua ni untuk saya? Ambil berat tentang saya?”
“Sebab awak tak sihat dan tak ada siapa yang jaga awak sekarang ni.”
“Sean ada.”
“Sean ada tapi tadi dia datang minta tolong saya.”
“Oh, kalau dia tak pergi minta tolong awak, awak tak tolong lah ya?”
“Tolonglah Haris. Ini bukan kali pertama saya buat semua ni untuk awak. Ini bukan kali pertama awak demam dan saya masakkan untuk awak. Cuma bezanya kali ni awak tak call saya pun beritahu awak demam.”
“Saya tak call beritahu sebab saya tak nak menyusahkan awak lagi.”
“Semenjak bila pula saya rasa semua ni menyusahkan?”
“Kita tak ada apa-apa hubungan istimewa kan. Jadi tak ada sebab untuk awak menyusahkan diri awak untuk saya.”
“Haris.. Apa ni?”
“Tolong jangan ambil berat pasal saya lagi. Ia lebih menyakitkan hati. Awak tahu saya cintakan awak kan?”
“Haris..”
“Dah lah.”
“Awak..”
Petang itu, aku suruh Arisa Hana balik saja. Buat apa dia masih dekat dengan aku sedangkan kehadirannya dekat dengan aku hanya membuatkan hati aku semakin sakit dan tersiksa? Bukan niat aku untuk menyisihkan Arisa Hana dari hidup aku. Aku tahu, kami sudah lama berkawan. Tetapi ketika ini, aku perlukan masa untuk bertenang dan berfikir. Aku perlu menguruskan emosi aku.
“Hey, kenapa kau suruh Arisa Hana balik macam tu je? Macam halau pula.” Sean mendesak dengan soalan.
“Aku bukan halau. Kau ingat dia tak ada kerja lain ke? Dia ada banyak kerja kat cafe tu. Bukan kerjanya nak jaga aku 24 jam.”
“Hmm, betul juga tu. Aku lapar lah. Bau sedap tu. Nak makan bubur nasi kau sikit boleh?”
“Tak boleh!.”
“Kedekut.”
“Kau tak sakit. Mana boleh makan nasi bubur. Lagi pun ini Arisa Hana masak untuk aku. Kau lapar, call Pizza atau McD.”
“Eeee, teruk.. Sakit-sakit pun nak kedekut. Tak pe.. Tak pe..” Sean cebik. Kemudian dia mula menyanyi-nyanyi kecil lagu Butterfly. “Best tak suara aku nyanyi lagi ni? Ada macam suara Jason Mraz?”
“Hmm, suara datuk Jason Mraz pun belum tentu. Dah, jangan nak nyanyi lagu mengarut tu."
"Lagu mengarut apanya? Lagu ni berseni.."
"Seni apanya? Senak! Kau makan la bubur nasi tu." Aku tahu lagu itu ada "seni". Tapi aku malas hendak melayan mood gembira dan seni Sean.
"Lagu mengarut apanya? Lagu ni berseni.."
"Seni apanya? Senak! Kau makan la bubur nasi tu." Aku tahu lagu itu ada "seni". Tapi aku malas hendak melayan mood gembira dan seni Sean.
“Eh, boleh?” Sean sengeh.
“Makan lah.”
“Hehe, aku makan ya. Hmm, nampak macam sedap.”
“Makan lah. Aku nak masuk bilik sekejap.”
“Okey. Pergi.. pergi..”
Aku pandang Sean yang nampak begitu gembira dapat makan bubur nasi. Lantas, aku meninggalkan dia menjamu selera di meja. Namun, langkah aku terhenti seketika.
“Err, Sean..”
“Apa?”
“Kau suka Arisa Hana?”
“Suka!” Sean sengeh sambil menyuap bubur nasi dan sayur ke mulut.
“Kenapa kau suka dia?”
“Kenapa? Hmmm.. sukar hendak diterangkan. Tapi bila aku tengok muka dia, aku rasa tenang. Bila tengok dia senyum, aku rasa macam terawang-awang. Tu belum lagi bila dia cakap dengan aku. Aku rasa...”
“Dah.. dah.. Cukup. Sean, kau dengar sini.”
“Apa nya?”
“Kau tak boleh suka Arisa Hana.”
“Kenapa?”
“Sebab aku suka dia.”
“Kau.. kau suka Arisa Hana juga Ris?”
“Ya.”
“Haris!” Sean yang sedang duduk di meja makan tadi terus terbangun.
Aku lega.. lega bila Sean tahu aku suka Arisa Hana. Apa motif aku beritahu Sean? Nanti aku cerita. Entah kenapa sekarang aku pula yang rasa hendak menyanyi lagu Butterfly. Sudah tiba masanya untuk aku fikirkan tentang fasa “gerak gempur” terhadap Arisa Hana.
... bersambung
~LoveMeLoveMeNot~
No comments:
Post a Comment