Saturday, 17 December 2011

Pages~



**my fav.. kena buat versi perempuan ni..

Water~




Atau dalam bahasa Melayunya, AIR. Dan di sini saya mahu bercerita tentang air minuman. Ada yang panggil air kosong, air masak, air mineral dan macam-macam lagi. Tapi apa saja panggilan yg diberi, fungsi dan fizikalnya sama iaitu air minuman tanpa apa-apa tambahan perisa- Hanya H2O.. Tapi satu ketika dahulu, saya pernah keliru bila ada yang panggil air mati. Hmm?? Sungguh seram bila mendengarnya. Kenapa tak panggil air hidup je? Tidaklah kedengaran seram kan? Lagi pun, secara logiknya, kita minum air untuk hidup. Bukan untuk mati. Kan?? Hmmm, konfius.. Dan air itu membawa maksud kehidupan. Di mana ada air, di situ ada kehidupaan.




Berbalik kepada topik asal. Air minuman sangat penting untuk tubuh manusia. Tanpa jumlah air minuman yang secukupnya, tubuh dan organ-organ dalaman anda akan gagal berfungsi dengan baik atau berkemungkinan akan mengalami kerosakan yang serius. Untuk memastikan tubuh berfungsi dengan baik, anda perlu memastikan tubuh anda mendapat bekalan air minuman yang secukupnya. Bagaimanakah caranya ingin tahu sebanyak mana jumlah air minuman yang perlu anda minum setiap hari? Adakah anda tahu berapa liter air minuman yang perlu anda minum setiap hari untuk memastikan tubuh anda berfungsi dengan baik? Kalau tidak tahu, tengok sini..





Setiap anda memerlukan jumlah air minuman yang berbeza-beza mengikut saiz/berat badan dan aktiviti harian. Cara untuk mengetahui jumlah air minuman yang perlu anda minum sangat senang. Anda hanya perlu bahagikan jumlah berat badan dalam KG kepada 30 - Berat badan (Kg)/ 30 = Jumlah air yang perlu anda minum (Liter).

Contoh berat tubuh seorang lelaki: 70 Kg/ 30 = 2.3 Liter (Sehari)

Senang kan?





Tetapi di sini saya mahu memaklumkan bahawa, jumlah tersebut hanya relevan untuk anda yang melakukan aktiviti harian yang normal. Jika anda seorang yang aktif bergerak, selalu bersukan atau sentiasa terdedah kepada cuaca panas dan kerap berpeluh, anda memerlukan jumlah air minuman yang lebih. Biasanya tidak kurang dari 2 liter sehari dan tidak lebih dari 7 liter sehari, bergantung kepada aktiviti harian anda, tahap kelembapan udara sekeliling dan suhu persekitaran anda. Anda yang minum minuman beralkohol atau mengandungi kafein juga perlu menambah pengambilan jumlah air minuman.

Okey, sekarang anda sudah tahu berapa liter air minuman yang perlu anda minum setiap hari untuk memastikan tubuh dan organ-organ dalaman anda dapat berfungsi dengan baik, demi untuk mengelakkan berlakunya dehydration.





Apa itu dehydration?

Soalan pelik.. :) Dehydration bermaksud proses kehilangan air. Biasanya berlaku dengan cara kita berpeluh, kencing dan sebagainya. Jika anda seorang yang aktif, anda akan kehilangan lebih banyak air melalui cara-cara yang saya sebut tadi. Jadi, penting untuk anda menambah kembali bekalan air di dalam tubuh anda bagi mengelakkan berlakunya dehydration. Jika tubuh anda mengalami dehydration, maka anda perlu menambahkan kandungan air dalam tubuh anda. Seelok-eloknya, jangan biarkan tubuh anda sampai pada tahap ini. Jadi, sentiasa minum air. Dehydration boleh membahayakan tubuh anda. Kekurangan/kehilangan air dalam tubuh boleh mengakibatkan tubuh dan organ-organ dalaman gagal berfungsi dengan baik atau boleh juga membawa kepada kes organ-organ terus berhenti berfungsi. Ini sudah sampai tahap kronik.




TANDA-TANDA TUBUH ANDA MENGALAMI DEHYDRATION:

- Rasa sakit pada sendi dan otot.

- Sakit pada bahagian bawah belakang

- Sakit kepala

- Sembelit

- Air kencing berbau kuat dan berwarna pekat

- Rasa dahaga


Sebaik-baiknya anda perlu minum air sepanjang masa untuk memastikan tubuh anda tidak mengalami masalah. Jangan tunggu sehingga rasa dahaga kerana jika anda rasa dahaga, itu memberi tanda bahawa tubuh anda sudah pun mengalami dehydration.





BAHAYA TERLEBIH MINUM AIR:

Jika anda minum terlalu banyak air, ia akan membahayakan kesihatan anda. Malah ia juga boleh membawa maut. Lebih-lebih lagi jika anda sedang berdiet, berpuasa atau sedang mengurangkan jumlah pengambilan makanan seharian anda. Pengambilan air perlu balance dengan pengambilan garam dalam makanan. Umumnya kita tahu, tubuh kita memerlukan sejumlah garam bagi memastikan organ-organ dalaman dapat berfungsi dengan baik. Tetapi jika anda meminum air secara berlebihan, kandungan garam dalam tubuh menjadi cair dan berkurangan. Kandungan garam hilang melalui peluh dan kencing. Tubuh kita perlu menstabilkan kandungan garam dalam tubuh demi untuk mengelakkan berlakukan risiko serangan jantung yang boleh membawa maut. Jadi, minum air secukupnya. Bukan berlebihan. Menambah 1-2 gelas air tidak mendatangkan masalah. Tetapi jangan tambah sampai bergallon-gallon.. :)

 
10 KEBAIKAN MINUM AIR SECUKUPNYA:






Minum sejumlah air yang secukupnya benar-benar memberi kebaikan kepada tubuh kita. Ia dapat membantu untuk:


1- Mengurangkan berat badan

2- Mendapatkan kulit yang sihat, anjal dan kelihatan muda

3- Ubat semulajadi untuk sakit kepala dan sakit belakang

4- Baik untuk otak berfungsi dengan lebih produktif

5- Membantu dalam aktivit bersenam. Ia membantu mengelak berlakunya kecederaan sendi dan otot.

6- Membantu sistem penghadaman berfungsi dengan lebih baik

7- Dapat mengelakkan berlakunya kekejangan dan kecederaan dalaman tubuh.

8- Mengelakkan jangkitan penyakit/ virus/ bakteria

9- Membuang toksin dalam badan

10- Memberikan anda mood yang baik kerana tubuh anda terasa sihat, otak rasa cergas dan otot dapat bekerja secara efektif.


AIR MEMBANTU MEMPERCEPATKAN PROSES MENGURANGKAN BERAT BADAN:




Cara mengurangkan berat badan yang paling berjaya, paling senang, paling cepat dan paling murah ialah dengan meminum air minuman secukupnya. Benarkah?

Anda tentu pernah mendengarnya sebelum ini bukan? Jadi, benarkah? Ya, memang benar. Mari saya cuba jelaskan. Ada kajian menyatakan, dengan hanya meminum air kosong, kadar metabolisma tubuh akan meningkat sebanyak 30%. Ianya sungguh menakjubkan bukan? Untuk memastikan program mengurangkan berat badan anda berjaya, anda hanya perlu minum air kosong dengan secukupnya. Jika anda mempunyai berat badan yang berlebihan, anda hanya perlu menambahkan 2-3 gelas air kosong lagi dan mengamalkan program diet yang seimbang dan melakukan senaman. Kesannya dapat anda rasai dalam masa yang singkat.

Mungkin anda rasa minum air kosong ini sangat membosankan dan memenatkan kerana ia membuatkan anda rasa penat berulang alik ke tandas dan rasanya juga tidak membuatkan anda teruja. Tetapi percayalah. Ianya berbaloi. Anda tidak perlu minum air dengan kuantiti banyak sekali gus. Anda boleh minum dari masa ke semasa. Sehari anda diberi masa 24 jam kan? Jadi, aturkan jadual minum air kosong anda dengan bijak.

Di sini saya mahu kongsi tips memudahkan program mari minum air untuk kurus ini. Senang saja. Caranya:



1- Jika anda rasa bosan dan tidak suka minum air kosong yang tidak mempunyai rasa itu, ada boleh menambah rasa dengan sedikit perahan jus lemon, lime, orange atau apa-apa saja perisa semulajadi yang tidak mengandungi kalori. Pada saya, saya suka tambah sedikit perahan lemon dan sedikit serbuk lada. Mesti ada yang kata; Eeeiiiwww!! Hahaha.. Ini idea Beyonce. Mula-mula dengar dulu pun, saya tuduh otak dia tak betul. Tapi percayalah, sedap!! Cuka epal pun sedap.




2- Mulakan hari anda setiap pagi dengan minum segelas air kosong. Gelas yang panjang dan tinggi tu. Boleh masul 300 ML air rasanya. Macam gambar atas ni. Bangun tidur, celik mata, terus minum segelas air kosong. Saya suka air mineral dari singki dapur rumah saya. Huhuhu.. atau air mineral Spritzer. Kenapa? Sebab rasanya. Jika anda jenis suka cuba minum macam-macam jenis air mineral, anda akan dapat tahu apa beza rasanya. Tapi air mineral cap Jusco pun okey. Atau air mineral Kedai Mesra Petronas. Hahaha.. Evians? Hmmmmm, lagilah sangat best. Kalau anda ada stock air zamzam, lagi bagus.




3- Minum segelas air kosong sebelum setiap hidangan. Hidangan breakfast, lunch, tea time, dinner serta waktu-waktu senggang yang anda ada. Jadi, anda tak rasa berat sangat hendak minum 2 Liter air sehari. Kan?

4- Anda boleh cuba minum air suam. Biasanya, ada orang rasa, minum air suam lebih senang berbanding minum air bersuhu bilik. Terpulang. Citarasa masing-masing.




5- Minum air berais boleh mempercepatkan lagi proses pembakaran lemak dan kalori dalam tubuh anda kerana tubuh mendapat isyarat untuk memanaskan air berais itu. Secara asasnya, tubuh perlu bekerja membakar kalori untuk memanaskan air berais itu. Itulah yang kita mahu. Bakar kalori jahat itu. Huhu..


6- Sebaik-baiknya, cuba elakkan minum air kosong sebelum anda tidur. Ia bagi mengelakkan anda terjaga dan mengganggu waktu tidur anda kerana anda akan asyik-asyik terbangun hendak ke tandas.


Program diet minum air kosong ini ialah program menurunkan berat badan yang paling murah dan sangat effective. Tetapi ia perlu dilakukan dengan mengamalkan diet yang seimbang dan senaman yang berterusan.

 **Umum tahu, air sangat berkuasa dan mempunyai banyak khasiatnya. Malah pada saya, air ialah satu unsur yang mempunyai magik dan keajaibannya yang sangat istimewa dan tersendiri. Jadi, saya memang sangat sukakan air. Anda boleh google tentang magik dan ajaibnya air ini. Sebab saya tidak akan sentuh tentangnya, di sini.



Apa yang saya ingin katakan di sini, minumlah air secukupnya setiap hari kerana ia amat bermanfaat kepada tubuh anda. Serta untuk memastikan tubuh anda dapat berfungsi dengan lebih baik demi kesihatan anda. Dan penting juga untuk anda memastikan yang air minuman anda itu, bersih tanpa kotoran dan bendasing. Kerana, air yang kotor, akan memudaratkan kesihatan.




P/S: Stay Hydrated..



~LoveMeLoveMeNot~










Friday, 16 December 2011

Nickelback- If Today Was Your Last Day~

E+X= EX~

Bukan Exercise
Bukan Example
Bukan Experiment
Bukan Excuse Me!!

Tapi EX.. Boleh faham? Kalau tak faham, tengok sini. EX yang saya maksudkan ialah BEKAS/MANTAN (boleh ke guna perkataan mantan?) Huhuhu.. Dan topik EX yang ingin saya ketengahkan ini membabitkan soal cinta. Maka ia boleh jadi EX boyfriend/girlfriend/wife/husband dan sebagainya yang membabitkan hubungan cinta.




** Saya akan sebut beberapa nama samaran dalam entri ini kerana nama sebenar perlu dirahsiakan demi untuk privacy subjek yang tidak bersalah.

Satu petang yang hujan di dalam bilik hotel bersama kawan-kawan saya. Hujan memang best!! Tiba-tiba Pikachu yang sedang meniarap atas katil bersuara, sambil membaca sebuah majalah:

“Eh, ada kuiz la. Jom buat..”

“Kuiz apa?” Togepi tanya.

“Kuiz; Do you still love your EX?”

“Huh? Perlu ke buat kuiz tu?”

“Perlu ke tidak, tak penting. Tapi jom lah saja-saja buat.”

“Banyak tak soalan dia?”

“Ada.. 1,2,3... 15 soalan.”

Lantas Jigglypuff pula bersuara: “Macam best tu. Cuba baca soalan nombor satu.”

Maka Pikachu pun membaca: “Do you still love your EX?”

“Jigglypuff kata baca soalan nombor satu la.” Celebi menyampuk.

“Itu lah soalan nombor satu dia. Do you still love your EX??” Pikachu repeat soalan.

“Bongoksss punya kuiz. Buat apa nak jawab 15 soalan tu semua kalau soalan yang nombor satu pun kita dah boleh tahu jawapan?” Langsung Togepi mengomel-ngomel sambil tangan memintal-mintal hujung rambut..


Hahahahahaha...





Saya tumpang gelak. Malas nak layan dia orang sedang berkonflik dengan kuiz “ayam-ayam” itu. Layan Paradise Life lagi best!! Walaupun geng-geng Pokemon tu kata game Paradise Life ni tak mencabar langsung. Tak kesah lah. Janji boleh layan. Sebab saya dah bosan jadi petani di Farm Ville. Huhuhu.. Tapi sambil-sambil duk layan Paradise Life, saya tumpang-tumpang dengar juga perbualan 4 kawan baik saya itu. Langsung daripada sebaris soalan; Do you still love your EX? itu telah meleret sampai entah ke mana-mana. Jadi topik hangat dan menyengat pula.

Pikachu: “Siapa nak jawab dulu ni?”

Jigglypuff: “Aku.. aku..”

Huh!! Beria-ia betul. Saya tidak faham dan malas hendak faham. Cuma tumpang dengar dan tumpang gelak bila perbualan mereka kedengaran sangat-sangat lawak dan mengarut. Tapi sambil-sambil tumpang dengar dan gelak itu, tiba-tiba saya rasa topik tersebut seronok juga untuk dibincangkan. Lebih-lebih lagi bila ada beberapa persoalan muncul di fikiran. Rasa lucu juga sebenarnya bila terfikir untuk buat entri ni. Sebab?? Adoi! Tak ada masa sebenarnya nak fikir pasal EX. Tapi sebab ada yang membangkitkan isu ini, maka jom saya nak try kupas.





DO YOU STILL LOVE YOUR EX??

Satu soalan yang sukar untuk dijawab oleh sesetengah orang. Tetapi ada juga yang rasa senang untuk menjawabnya. Ianya berbeza mengikut situasi. Ada beberapa jawapan yang saya terima daripada “soal selidik” secara kecil-kecilan dengan 100 orang subjek. 50 orang subjek lelaki dan 50 orang subjek perempuan. Tak susah nak cari subjek. Laman sosial kan ada. Terima kasih kepada kawan-kawan di laman sosial. Melalui soal selidik itu;

60% menjawab- TIDAK
20% menjawab- YA
15% menjawab- TIDAK TETAPI MUNGKIN AKAN PURA-PURA CINTA LAGI DEMI UNTUK BALAS DENDAM
5% menjawab- SAYA TIDAK ADA EX

Untuk berdepan dengan hubungan yang putus bukan sesuatu yang mudah bagi sesetengah orang. Lebih-lebih lagi kalau anda masih mencintai EX anda dan berharap hubungan kalian boleh diperbaiki dan akan berjaya di masa hadapan. Jika kedua belah pihak masih saling mencintai dan bersetuju untuk memulakan kembali hubungan yang putus ditengah jalan, ia tidak mejadi masalah. Kira kawtim dah. Selesai masalah.

Tetapi bagaimana pula jika hanya sebelah pihak? Bagaimana kalau anda saja yang masih tergila-gilakan EX anda? Anda meneruskan hidup dengan menanggung rasa cinta dan rindu kepada EX anda. Dan setiap hari berharap suatu hari nanti hubungan kalian boleh kembali terjalin dan bahagia di penghujungnya. Tetapi EX anda sudah langsung tidak ambil tahu tentang anda. Malah sudah punya pengganti yang jauh lebih baik. Pasti anda sakit hati dan makan hati kan? Dan EX anda rasa;

"HIDUP SAYA LEBIH BAIK TANPA AWAK YANG SELALU CARI PASAL DENGAN SAYA, SUKA BUAT SAYA SAKIT KEPALA DAN MEMBUATKAN SAYA DEPRESS.."


Secara jujurnya, bila saya dapat jawapan yang MAHU BALAS DENDAM itu, saya jadi seram. Kenapa mereka mahu balas dendam? Dan untuk pengetahuan umum, 15% yang menjawab MAHU BALAS DENDAM itu berlaku kepada subjek yang ditinggalkan EX mereka. Adakah pengalaman ditinggalkan itu sungguh tragis hingga membuatkan mereka rasa mahu balas dendam? Mestilah kan? Kalau tidak, tak kan nak balas dendam ya? Jadi, harap maklum. Contoh;




“Dia kata saya gemuk dan tak sepadan dengan dia. Sebab tu dia minta putus. Tapi sekarang dia merayu nak kan saya balik sebab saya dah ada six-pack. Siap cakap muka saya dah nampak iras macam Aaron Aziz pulak. Perempuan tu memang tak masuk akal. Tapi saya layankan saja sebab saya akan pastikan nanti, dia rasa apa yang saya rasa dulu. Saya sudah maafkan dia, tetapi bila dia kata dia mahu kembali kepada saya, saya rasa dia memang sendiri cari pasal. Dia memang jenis suka cari pasal pun. Jadi sekarang dia cari pasal untuk beri peluang kepada saya "ajar" dia balik bagaimana rasanya dikecewakan..” - Phil Jones (huhu..)


Hmmm, jangan cari pasal dengan harimau yang terluka... :)

Yang menjawab TIDAK pula membabitkan subjek yang memutuskan dan yang diputuskan. Yang memutuskan biasanya memberi macam-macam alasan. Sehingga membuatkan yang diputuskan nekad tidak mahu kembali kepada EX mereka walaupun dirayu. Jawapan dan sebab;

“Dia kata saya bukan soulmate dia.” - Nicole Kidman

"Dia suka cemburu buta. Saya dah tak kuasa nak layan perasaan tidak selamat dia tu. Kadang-kadang saya tak faham apa yang dia cemburukan sangat. Dan yang peliknya, dia yang minta putus dengan saya selepas dia tuduh saya suka menggatal." - Shah Rukh Khan

“Dia kata kami tidak serasi dan rasa hubungan kami tidak akan ke mana. Jadi dia mahu putus. Saya sedih tapi saya redha.” - Bella Twilight




“Dah 3 tahun hubungan kami. Saya sayangkan dia tapi dia kata dia tak rasa pun saya sayang dia. Dia kata dia saja yang banyak sayangkan saya. Dia tuduh saya tidak adil dan minta putus.” - Wayne Rooney

“Dia tuduh saya curang. Padahal saya tidak pernah curang. Jadi kami putus sebab dia tuduh saya curang. Tak sampai seminggu, saya dapat berita, sebenarnya dia yang curang dengan saya.” - Christiano Ronaldo




“Dia selalu biadab dan bercakap kasar dengan saya. Saya rasa dia macam tidak hormat saya. Apa akan jadi kalau saya kahwin dengan dia? Saya tak mahu kahwin dengan perempuan yang tidak tahu hormat saya sebagai suaminya.” - Rio Ferdinand

“Dia memperkecil-kecilkan kebolehan dan maruah saya di depan kawan-kawan.” - Berbatov

“Dia tuduh saya suka tidur, membosankan dan hanya pentingkan keluarga/kawan-kawan. Jadi dia nak putus.” - Ryan Giggs

“Dia kata saya selalu tak ada masa untuk dia. Padahal setiap hari kami lunch sama-sama. Dia kata dia mahukan perhatian lebih dari saya. Saya dah tak larat hendak layan.” - Vidic

“Dia kata boyfriend kawan dia selalu berkorban dalam hubungan cinta dan sangat romantik. Dia mahu saya jadi macam itu. Saya rasa dia tak patut cakap macam tu. Saya boleh terima kalau dia gunakan ayat yang kedengaran lebih “terpelajar”. Maka saya jawab: Awak pergilah cari lelaki lain.. yang sanggup berkorban untuk awak. Semoga Berjaya. Dia menangis. Saya malas hendak layan dah.” - Nani




Sebenarnya banyak lagi jawapan yang saya terima dalam skop TIDAK. Tapi tidak larat hendak senaraikan di sini.


Bagaimana pula dengan yang menjawab YA? Subjek yang menjawab YA biasanya berdepan dengan kegagalan hubungan dalam situasi yang mungkin boleh dimaafkan atau rela bertolak ansur. Contoh;

“Kami putus sebab arwah mak dia tak suka saya. Sekarang mak dia dah jadi arwah. Jadi saya setuju untuk sambung hubungan cinta kami balik.” - Kim Kardashian

“Masa tu kami masih mentah. Dua-dua nak menang saja dan tak ada yang nak mengalah. Sekarang kami dah matang. Tuhan temukan kami balik dan kami buat keputusan untuk cuba sekali lagi.” - Jennifer Lopez

“Walaupun saya tahu dia curang dengan saya, saya nekad mahu maafkan dia dan beri dia peluang sekali lagi. Lagi pun, YA, saya masih cintakan EX saya tu. Dia handsome macam Brad Pitt.” - Angelina Jolie

“Saya yang tinggalkan dia dulu. Tapi lepas saya gagal dengan hubungan baru, saya kembali kepada dia. Dia pun setuju terima saya kembali sebab dia masih cintakan saya. Saya pun.." - David Beckham

Sekali lagi: DO YOU STILL LOVE YOUR EX??

Tanya diri anda sendiri. Dan cuba jawab dengan jujur;

Adakah anda sentiasa tertanya-tanya di mana EX anda sekarang?

Apa EX anda sedang buat?

Adakah EX ada merindui anda seperti anda merinduinya?

Adakah anda sedang berfikir bagaimana EX anda berdepan dengan situasi putus hubungan ini?

Adakah dia sedih macam anda?

Atau, adakah dia sedang meluangkan masa dengan kekasih baru?

Cantik/kacakkah kekasih barunya itu?

Adakah lebih baik daripada anda?

Jika soalan-soalan ini sering berlegar-legar di dalam kepala anda, maka sangat jelas sekali bahawa; YA, ANDA MASIH CINTAKAN EX ANDA!!

Tidak menjadi masalah jika kadang-kadang anda curious tentang apa yang EX anda sedang lakukan dan dengan siapa dia meluangkan masa dan bergembira. Tetapi jangan sampai perasaan curious itu bertukar menjadi obsess. Kelak, hanya anda yang akan merana dan sakit jiwa.

IANYA MENGARUT!!

Ya, sangat mengarut jika anda sudah sampai kepada tahap obsess terhadap EX anda. Bila ia terjadi, anda mula bertindak di luar kewarasan. Anda mula mengatur strategi yang pelik-pelik demi untuk mendapatkan kembali perhatian EX anda. Anda mula tunjukkan tanda-tanda cemburu bila melihat dia meneruskan hidup dengan gembira dan bahagia tanpa memikirkan anda. Jadi, anda mengatur strategi untuk mendapatkan kembali perhatian daripada EX anda.

JUJURLAH DENGAN DIRI SENDIRI.

Masih mencintai EX anda bukanlah sesuatu yang teruk atau mengarut. Tak salah. Boleh je. Tetapi, masalah yang timbul di sini ialah bila anda mengabaikan fakta dan perasaan sendiri tanpa memikirkan tentang baik dan buruknya bila anda masih mencintai EX anda. Ianya soal hati dan tentang perasaan. Sebagai manusia kita miliki kedua-duanya. Jadi, jujurlah dengan diri sendiri dan berfikir secara waras. Teruskan hidup. Kerana setiap yang berlaku ada hikmahnya. Tidak semestinya anda boleh memiliki kembali seseorang yang anda pernah cinta. Dan anda perlu ingat, setiap kesilapan tidak sepatutnya berulang. Jadi, teruskan hidup dan hargai cinta baru yang akan muncul dalam hidup anda nanti. Anda boleh berkata dengan jujur, tanpa sebarang dendam atau kecewa;

“Ya, saya masih cintakan EX saya. Tetapi saya perlu biasakan diri dan akan teruskan hidup tanpa dia kerana hidup saya adalah hak saya. Dan saya berhak mengecapi bahagia dengan cinta yang baru tanpa apa-apa dendam dalam hati.” - Lady Gaga

Tambahan: TIPS UNTUK MEMENANGI KEMBALI HATI EX ANDA:




Jangan memaksa. Beri dia ruang untuk cuba menerima anda kembali.

Berubah untuk kebaikan. Jika ada perangai anda yang tidak disukai EX anda, maka berubahlah. Dunia akan menjadi lebih aman jika manusia berubah menjadi lebih baik..;)

Jujur dengan diri sendiri.

Belajar menghargai dan menghormati.

Ceritakan kembali kenangan-kenangan indah yang pernah kalian kongsi. Mungkin dapat membantu memancing hatinya kembali.

Dan ingat!! jangan cuba beri apa-apa “cadangan” yang boleh membantutkan perasaan mereka untuk kembali kepada anda. Anda perlu buat mereka “rasa” perasaan itu. Bukannya “fikir” tentang perasaan itu.

KESIMPULAN:

Bila satu hubungan cinta putus, dua manusia akan mendapat gelaran EX. Sama ada yang memutuskan atau yang diputuskan, gelaran itu tetap sama. Yang membezakannya adalah, EX yang mana satu yang masih mencintai dan yang mana satu sudah tidak mencintai. Jelasnya di sini, yang masih mencintai akan menanggung kesengsaraan secara berpanjangan kerana cinta yang masih wujud itu hanya cinta di sebelah pihak. Jadi, apa saja jawapan anda; masih mencintai atau tidak, anda tetap perlu meneruskan hidup dan mencari kebahagiaan untuk diri sendiri..


KESIMPULAN SAYA:

Masih cinta atau tidak kepada EX tidak menjadi isu kepada saya. Apa yang penting ialah, apa yang dijanjikan pada masa hadapan. Tiada istilah U-Turn dalam hidup saya..




P/S: Jadi apakah penamat perbualan geng-geng Pokemon tadi? Pikachu, Jigglypuff, Togepi dan Celebi jawab TIDAK! Mereka ada sebab masing-masing bila menjawab TIDAK itu.. Dan owh, Beautyfly ini pun jawab TIDAK!! Kenapa? ... :)



~LoveMeLoveMeNot~

Wednesday, 14 December 2011

Man VS Woman Issue

20 Sebab Perempuan Akan Membenci Seseorang Lelaki




1) Suka meninggikan suara
2) Main kayu tiga
3) Suka 'cuci mata' (mata meliar melihat susuk tubuh wanita)
4) Suka mengongkong
5) EGO
6) Suka menipu
7) Perasan hebat/kacak
8) Mementingkan diri sendiri
9) Kurang memberikan perhatian terhadap hal/hati pasangan
10) Cemburu buta
11) Mata duitan
12) Obses/keterlaluan terhadap kerjaya/minat
13 Panas baran
14) Kaki merokok
15) Pengotor
16) Gelojoh
17) Terlalu pentingkan kawan-kawan
18) Tidak tahu menghargai
19) Suka putar belit
20) Suka kontrol macho


10 Sebab Lelaki Akan Membenci Seseorang Wanita




1) Suka bermanja tak kena pada tempat/menggedik
2) Suka mengonkong
3) Kerap merajuk
4) Cemburu buta
5) Membazir dalam membeli belah
6) Selalu control cun/ayu
7) Mengambil masa yang lama untuk habiskan makanan
8) Curang
9) Sering Merasakan diri sendiri saja yang betul
10 Selfish





Senarai di atas adalah di antara perkara-perkara yang kerap membuatkan wanita/lelaki membenci di antara satu sama lain. Nampak seperti perkara yang remeh tapi itulah hakikatnya. 

Tuesday, 13 December 2011

Monday, 12 December 2011

Teh Globe Amaranth~




     Globe Amaranth ialah sejenis bunga yang tumbuh di kawasan tropika. Maka, kita boleh jumpa pokok-pokok bunga Globe Amaranth ini dia Malaysia. Biasanya saya selalu tengok pokok bunga ini tumbuh secara liar di kawasan rumah nenek saya di kampung. Tak perlu tanam kerana ia akan tumbuh dengan sendirinya melalui proses pendebungaan yang berlaku secara semulajadi yang dilakukan oleh serangga-serangga seperti rama-rama atau lebah madu... atau melalui tiupan angin. Pokoknya biasa tumbuh setinggi 1-2 kaki dan bunganya berbentuk bulat dengan ukuran diameter 1 inci. Bunga Globe Amaranth ada perbagai warna iaitu merah, ungu, kuning, putih dan sebagainya. Kerana bentuk bunganya yang comel, kecil dan bulat, maka kami panggil ia BUNGA BUTANG BAJU. Dan bunga ini membawa maksud: Immortal Love. Cute?? ;)




     Baiklah, jom kita beralih kepada Teh Globe Amaranth. Ia salah satu teh bunga yang popular di minum di China kerana mempunyai banyak kebaikan dan khasiat. Walaupun ia dikenali sebagai teh kecantikan untuk wanita, tetapi ia juga boleh diminum oleh kaum lelaki tanpa rasa was-was. Jangan bimbang. Anda, kaum lelaki tidak akan bertukar menjadi wanita dan ia tidak mengganggu hormon dan sifat kelelakian anda. Malah, ia boleh membantu anda menjaga kulit kerana secara umumnya kita tahu, lelaki malas hendak menjaga kulit mereka dengan menyapu losyen atau krim.. Jadi, anda hanya perlu minum teh ini.. ;)




 Bau- Teh Globe Amaranth mempunyai bau seperti bau daun. Ia berbau segar semulajadi.

Warna- Bergantung kepada sebanyak mana anda menggunakan bunganya. Jika banyak, maka warnanya akan menjadi merah/ungu pekat. Jika sedikit, warnanya kelihatan cair/jernih dan “sweet”.

Rasa- Sedikit manis, lembut, segar semulajadi dan mempunyai not rasa yang elegent.



Khasiat dan Kebaikan:

1. Bagus untuk membuatkan kulit sentiasa kelihatan bersih dan segar.

2. Melembab dan menganjalkan kulit

3. Melambatkan proses penuaan

4. Membantu melegakan PMS

5. Bagus untuk merawat batuk dan selsema.

6. Merawat masalah sukar untuk bernafas.

7. Kaya dengan vitamin dan mineral.

8. Merawat masalah penglihatan.

9. Sebagai agen anti-bacteria.



Cara-cara menyediakannya:





     Bilas teko dengan air panas. Kemudian ambil segenggam bunga Globe Amaranth. Masukkan ke dalam teko dan tuangkan air panas bersuhu 90-95 darjah celcius sebanyak 500 ml. Rendam selama 5 minit dan selepas itu warna teh akan bertukar menjadi warna yang sangat cantik dan sweet. Kerana warnanya sukar untuk digambarkan, maka kami panggil warnanya dengan nama; Gorgeous-Pinky-Purple.. Memang Gorgeous!! ;)






     Apa yang hebatnya tentang Teh Globe Amaranth ini, anda tidak perlu menambahkan apa-apa perisa sepeti madu atau campuran bunga lain kerana teh ini memang sedap dinikmati begitu sahaja tanpa apa-apa campuran. Ianya sempurna semulajadi!! Jadi, ianya senang dan tidak menyusahkan.




      Maka ia adalah pilihan yang sangat sempurna jika anda mahu mula belajar minum teh bunga kerana teh ini memberikan satu pengalaman yang tenang dan menyenangkan untuk anda, sebelum anda beralih mencuba teh-teh bunga yang lain, yang rasanya mungkin lebih aneh dan “mencabar”. Selamat mencuba!


**Kepada wanita mengandung atau yang mempunyai masalah kesihatan, sila rujuk doktor anda terlebih dahulu sebelum mencuba teh ini.




~LoveMeLoveMeNot~